Memaparkan catatan dengan label Makanan. Papar semua catatan
Syarikat pemula niaga tempatan Carpe Ri Sdn Bhd bersedia menyahut cabaran dengan menawarkan pilihan pemasaran dan penjenamaan unik untuk syarikat menerusi produk aiskrim mesra alam keluarannya, ‘Float On Cone.'


Diasaskan bersama oleh Joon Tan dan Danieul Mudali, syarikat terbabit menawarkan aiskrim enak yang boleh digabungkan dengan warna menarik, sekali gus menjadi sajian pencuci mulut khusus serba unik serta menjadi sebahagian daripada tawaran penjenamaan syarikat pelanggan.

“Sebagai contoh, AirAsia atau Grab yang mana kami boleh menghasilkan konfeksi khusus yang memaparkan warna logo selain kisah mereka menerusi penggunaan bahan yang sesuai,” kata Tan.

Sejajar sasaran syarikat itu untuk melangkah bagi episod pertumbuhan seterusnya dan muncul sebagai syarikat bernilai US$100 juta (US$1=RM4.34) menjelang 2030, Tan dan Mudali teruja untuk menjalin kerjasama dengan pelanggan, khususnya restoran perkhidmatan pantas (QSR) global.

 Joon Tan

“Kami dalam proses rundingan dengan beberapa jenama di Filipina, Indonesia dan Malaysia. Namun, butiran itu tidak dapat didedahkan kerana terikat dengan perjanjian berkaitan,” kata Tan.

Menurutnya, 'Float On Cone' juga hanya melepaskan jejak karbon yang minimum kerana tidak memerlukan penggunaan kertas, cawan atau straw plastik.

Ini berikutan keseluruhan pencuci mulut itu boleh dimakan kecuali kertas kecil yang membaluti kon tersebut. Tan berkata pasaran utama produk itu adalah QSR seperti restoran makanan segera McDonald’s, Jollibee, A&W dan Marrybrown.

Beliau turut menyifatkan potensi komersial produk itu telah menarik pemacu syarikat pemula niaga Malaysia, Cradle Fund yang memilih Carpe Ri bagi program bimbingannya. Selain bercirikan mesra alam, enak dan unik, Tan berkata produk berkenaan juga dapat membantu mengurangkan kos pencuci mulut sejuk beku QSR sebanyak 25-40 peratus.

"Inilah sebabnya kenapa Cradle Fund Sdn Bhd dapat melihat prospek kami dan berpotensi untuk muncul sebuah syarikat bernilai US$100 juta dalam masa 10 tahun,” katanya.


Menurutnya, Carpe Ri juga sedang menunggu hak paten bagi produk ‘Float On Cone’ halal yang memberi mereka akses ke pasaran industri pencuci mulut sejuk beku tidak lama lagi. "Kami telah berdaftar dengan pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan akan melanjutkan usaha paten itu di serata dunia menerusi Perjanjian Kerjasama Paten (PCT).

“Malah, kami akan melakukan pendaftaran dengan PCT dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya. Menurut Tan, proses permohonan paten itu menjadi mudah kerana mereka mendapat bimbingan pakar runding antarabangsa yang berpengalaman.

Dari segi pengeluaran, beliau berkata Carpe Ri telah menandatangani urus niaga pengeluaran peralatan asal (OEM) dengan pengeluar rantau ASEAN dan tidak berhasrat membina sebarang kilang setakat ini.

“(Ini kerana) kami tidak mempunyai sebarang persaingan langsung dan merancang untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam industri itu.

“Misalnya, bagi pengeluar minuman ringan, kami akan menggunakan sirap mereka (bagi pembuatan aiskrim). Oleh itu, ia merupakan situasi saling memanfaatkan bagi semua pihak ketika kita berkongsi penjimatan menerusi rantaian nilai itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persaingan sedia ada.

Danieul Mudali

Carpe Ri telah terbabit dalam industri aiskrim sejak empat tahun lepas dengan meraih manfaat daripada perniagaan yang disifatkan sebagai ‘kalis’ dengan cabaran kemelesetan.

Ini termasuk memanfaatkan varieti durian kegemaran ramai Musang King yang menyaksikan syarikat itu menjual aiskrim Musang King ke pasaran Hong Kong dan muncul sebagai varieti paling mahal di wilayah tersebut.

"Perniagaan pencuci mulut sejuk beku itu tidak terjejas dengan masalah kemelesetan dan bernilai kira-kira US$100 bilion setahun dengan QSR dan kedai serbaneka mewakili 20 peratus daripada pasaran itu,” katanya.