Dunia Penuh Gosip
Setelah beberapa hari bermain teka-teki dan memberi bayangan di laman sosial media beliau sesuatu yang besar bakal belaku. Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya mengumumkan bakal mengadakan konsert solo berskala mega di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari 2026.



Konsert berskala besar itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun penglibatannya dalam dunia seni, sekali gus menandakan dedikasi, cinta serta keikhlasan terhadap muzik tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, penganjuran konsert tersebut bukan untuk memecahkan rekod kehadiran 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004. 

Berbekalkan senarai panjang lagu popular yang pernah dirakamkan sepanjang bergelar artis rakaman, Siti Nurhaliza akan merangkumkan pengalaman tiga dekad itu pada pementasan kali ini.



Konsert Legacy 30 dibawakan khas oleh Cuckoo dan pengatur utama AFFIN Bank. Pra-jualan eksklusif untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit AFFIN akan dibuka pada 1 Oktober 2025 jam 12 tengah hari hingga 3 Oktober 2025 jam 12 tengah hari.

Manakala, jualan tiket umum bermula pada 3 Oktober 2025 jam 3 petang menerusi laman rasmi www.ticket2u.com, dengan harga bermula RM69 hingga RM1,599 mengikut kategori tempat duduk.











TV AlHijrah melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai stesen televisyen pertama di Malaysia yang mematuhi sepenuhnya syarat Lesen Hiburan Awam Kanak-kanak dan Orang Muda di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.



Pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian pentadbiran, tetapi satu manifestasi jelas komitmen TV AlHijrah untuk mengangkat standard industri penyiaran negara. Ia membuktikan bahawa setiap program yang melibatkan penyertaan kanak-kanak dan orang muda di stesen ini dirancang, diterbitkan dan disiarkan dengan penuh tanggungjawab, selamat serta menepati garis panduan undang-undang.

Majlis penyerahan pengiktirafan ini disiarkan secara langsung menerusi program bual bicara pagi Assalamualaikum, yang turut menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Tuan Kamal Pardi, sebagai tetamu khas bersama Puan Hajah Nadzariah Mohamed, Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah.



Menurut Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Puan Hajah Nadzariah Mohamed, pengiktirafan ini adalah bukti sokongan berterusan stesen terhadap usaha menjaga kebajikan bakat muda dalam industri penyiaran.

“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini kerana ia membuktikan keupayaan TV AlHijrah untuk menyeimbangkan nilai syariah dengan keperluan industri penyiaran moden. Pematuhan terhadap Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1966 bukan sahaja menjamin keselamatan bakat cilik negara, malah mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai stesen televisyen yang mendidik dan membina masyarakat,” ujar beliau.



Puan Hajah Nadzariah turut menambah bahawa pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha TV AlHijrah memperkukuh penawaran kandungan berkualiti.

“TV AlHijrah komited untuk terus menghasilkan program yang memberi nilai tambah serta membimbing penonton, khususnya kanak-kanak dan remaja, ke arah kehidupan berakhlak dan berilmu. Dengan pengiktirafan ini, kami yakin dapat memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap jenama TV AlHijrah sebagai peneraju kandungan Islam yang relevan, progresif dan menyeluruh.

“Kami juga akan menjalin kerjasama berpanjangan dengan JTKSM bagi menyediakan latihan khusus kepada penerbit TV AlHijrah supaya semua warga kerja memahami sepenuhnya akta ini dan dapat mengaplikasikannya dalam penerbitan,” ujar beliau.



Sejak penubuhannya, TV AlHijrah konsisten menyediakan kandungan yang mendidik, menghibur dan membina jati diri. Dengan pencapaian ini, stesen berhasrat untuk memperkukuh reputasi sebagai penyiar Islam progresif yang bukan sahaja mematuhi undang-undang, tetapi juga mendahului inisiatif pemeliharaan kebajikan kanak-kanak dan remaja dalam bidang seni serta media.

TV AlHijrah yakin bahawa langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat penerbitan serta dalam usaha memperluaskan penawaran kandungan positif untuk generasi akan datang.

Dengan pengiktirafan ini, TV AlHijrah sekali lagi membuktikan peranan pentingnya sebagai peneraju kandungan bermanfaat, mendidik dan berimpak tinggi, seiring aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat MADANI yang berilmu dan berakhlak.







Sitara Hakimi dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan lima finalis lain menerusi persembahan bertenaga yang memukau juri dan penonton di Auditorium Sri Angkasa, malam tadi.



Hakimi, 33 tahun berkata, kemenangannya adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana persaingan sengit di pentas akhir.Naib juara pertandingan menjadi milik Sitara Azmirul, manakala Syaimaa meraih tempat ketiga.

Tiga lagi finalis, Ikmal, Saiful dan Ranisha, masing-masing menerima hadiah saguhati.Pertandingan anjuran RTM itu menampilkan enam finalis dengan format gabungan persembahan solo dan segmen ‘battle’.



Ia sekali gus membuktikan irama klasik tanah air terus relevan dan segar di pentas generasi baharu. Acara gilang-gemilang itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa serta Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.






Kita kini hidup dalam era bertumpukan maklumat, dengan kemajuan saintifik, teknologi canggih, peningkatan kesedaran, dan perkembangan ekonomi membentuk cara kita hidup dan menjaga diri sendiri. Memandangkan akses kepada penjagaan kesihatan bertambah baik dan perbincangan mengenai kesihatan kini menjadi topik perbualan umum, ada yang membuat andaian yang kemajuan yang dicapai bereerti masalah kesihatan kini semakin berkurangan. Namun begitu,  masalah kesihatan kardiovaskular masih merupakan cabaran besar di Malaysia. Malah, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada 2023, sakit jantung iskemia kekal sebagai punca kematian kedua tertinggi yang mengakibatkan 15.1% daripada semua kematian yang disahkan dari segi perubatan. 



Menurut Vipada Sae-Lao, Ketua Pendidikan dan Latihan Pemakanan – Asia Pasifik, Herbalife, “Apabila berbicara tentang kesihatan jantung, kita masih membayangkan warga emas yang sering kelihatan kurang sihat. Tetapi kajian mendapati bahawa dalam kalangan komuniti Asia, masalah berkaitan jantung semakin banyak dikesan pada usia yang lebih muda, kadangkala tanpa disedari dan juga dalam kalangan individu yang kelihatan cergas. Bebanan kerja moden, perubahan diet, tekanan semakin tinggi, dan gaya hidup tidak aktif, ditambah pula dengan petunjuk kesihatan yang sering diabaikan, menimbulkan kesan negatif kepada kesejahteraan keseluruhan kita secara senyap, khususnya kesihatan jantung.” 

Memahami cara sistem kardiovaskular berfungsi adalah langkah awal yang penting ke arah menjaga kesihatan jantung. Jantung manusia, walaupun kecil (saiz lebih kurang sebesar gengaman tangan) merupakan suatu otot luar biasa yang mengerakkan seluruh badan. Setiap denyutan menghantar darah yang kaya dengan oksigen ke setiap organ, tisu dan sel, sambil menyalur keluar sisa seperti karbon dioksida daripada badan anda. 

Sempena Hari Jantung Sedunia pada September 29, 2025, marilah kita meninjau lima amalan pintar untuk jantung yang boleh melindungi dan menguatkan kesihatan kardiovaskular anda. 

1. Pinggan sihat jantung

Mengamalkan diet yang sihat untuk jantung memerlukan sedikit perubahan yang dilakukan secara sedar setiap hari, dan amalan-amalan mudah berikut boleh membantu: 
Mengutamakan makanan lengkap: Makan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kacang dan bijian untuk mendapatkan dos vitamin, mineral, fitonutrien dan serat pemakanan harian yang menyokong kesihatan jantung anda.
Memilih lemak sihat: Cuba ambil lebih banyak minyak yang sihat untuk jantung seperti– minyak zaitun, biji rami, kacang tanah, avokado dan kacang walnut. Sementara itu, ikan berlemak (salmon, tenggiri dan tuna), biji rami, walnut, kuaci labu, dan kacang soya kaya dengan asid lemak omega-3, yang boleh mengurangkan risiko masalah jantung. Elakkan lemak trans dan lemak tepu. 
Hadkan gula dan garam: Obesiti (kegemukan) dan diabetes (kencing manis) adalah faktor risiko besar bagi sakit jantung, dan pengambilan gula yang tinggi ialah penyumbang utama kepada kedua-dua masalah kesihatan ini.  Mengehadkan pengambilan garam dalam diet anda juga faktor penting untuk mencegah tekanan darah tinggi, yang boleh meningkatkan risiko sakit jantung. Adunan rempah dan herba yang sesuai dalam masakan boleh mengelakkan keperluan menambah garam dalam makanan. 



2. Perubahan kecil, impak besar

Kehidupan yang aktif dari segi fizikal menyokong pengurusan berat badan, menambah baik penampilan anda dan juga meningkatkan kesihatan keseluruhan. Aktiviti fizikal meningkatkan peredaran darah dan kesihatan kardiovaskular. Senaman boleh meregangkan dan melebarkan salur darah dan meningkatkan aliran darah di seluruh badan, seterusnya membekalkan nutrien kepada jantung. Paling penting, ia menyokong pengeluaran semula jadi nitrik oksida (sejenis molekul yang penting untuk fungsi kardiovaskular optimum) oleh badan. Cuba lakukan aktiviti fizikal sederhana berat sekurang-kurangnya 30 minit seperti berjalan kaki, berlari, berbasikal atau berenang, setiap hari atau berjalan kaki singkat pada hari kerja yang sibuk. 
Mendapatkan tidur berkualiti yang secukupnya penting untuk kesihatan jantung. Ya, sebagai dewasa, kita perlu tidur 7-9 jam untuk membolehkan badan berehat dan dibaikpulih! 

3. Kurangkan untuk jantung lebih sihat!

Merokok adalah salah satu punca utama penyakit kardiovaskular kerana ia boleh merosakkan lapisan pelapik arteri dan menyebabkan pengumpulan bahan berlemak yang menyempitkan arteri. Malah asap sampingan boleh meningkatkan risiko anda mengalami strok sebanyak 30%. Rokok elektronik atau e-rokok juga meningkatkan risiko sakit jantung, maka mereka yang menggunakan e-rokok dalam percubaan untuk berhenti rokok secara konvensional perlu mempertimbangkan semula langkah ini. 
Bagaimanapun, yang pasti dengan berhenti merokok, anda boleh mengurangkan risiko mengalami penyakit kardiovaskular dengan ketara. 
Kurangkan pengambilan alkohol. Terlalu banyak alkohol menimbulkan kesan negatif terhadap kesihatan jantung, meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan obesiti. Di majlis sosial, petua mudah termasuk berselang minum air dan minuman alkohol, minum minuman tanpa alkohol kalori rendah, menikmati minuman ringan tanpa gula, atau minum dalam gelas lebih kecil untuk membantu anda mengurangkan pengambilan. 

4. Tekanan mungkin tidak boleh dielakkan tetapi cara anda menanganinya penting.

Kajian menunjukkan bahawa tekanan atau stres barangkali menyebabkan sakit jantung, kerana ia memberi kesan kepada tekanan darah dan paras kolesterol. Tekanan kronik juga boleh mencetus amalan kurang sihat seperti makan berlebihan atau merokok dan meningkatkan hormon tekanan seperti kortisol— seterusnya meningkatkan risiko sakit jantung. 
Luangkan masa untuk aktiviti yang menenangkan anda — seperti yoga, meditasi, pernafasan dalam atau kegiatan yang suka anda lakukan. Menguruskan tekanan bukan sahaja bagus untuk minda—ia cara yang berkesan untuk melindungi jantung dan memastikan badan anda dalam keadaan seimbang. Amalan yang dilakukan secara sedar didapati mengurangkan tekanan, menjadikan tidur lebih nyenyak, menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. 

5. Memantau Ukuran Penting

Menjejak ukuran kesihatan anda ialah satu daripada cara yang paling bijak untuk melindungi jantung. Pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting; untuk memantau tekanan darah, kolesterol dan paras gula darah anda. Pemeriksaan kesihatan tahunan juga tidak kurang penting untuk mencegah sebarang kejutan yang tidak diingini. 



Teknologi yang boleh dipakai seperti jam pintar dan penjejak kecergasan boleh membawa manfaat kepada anda dengan memantau parameter masa sebenar seperti kadar jantung, tekanan darah, paras glukosa, tempoh aktiviti dan corak tidur. Data ini kemudiannya boleh digunakan oleh profesional penjagaan kesihatan untuk menganalisis dan menjejak kesihatan kardiovaskular terutamanya bagi individu berisiko tinggi. 

Dalam dunia hari ini yang pantas berkembang, mengambil langkah-langkah mudah ini demi gaya hidup lebih sihat boleh membawa perbezaan bermakna kepada jantung anda. Sama ada anda memulakan atau mengukuhkan tabiat yang sedia ada, setiap perubahan positif boleh membawa impak bermakna. 

Ambillah langkah pertama anda hari ini! Sama ada menyesuaikan sukatan makanan dalam pinggan, kadar perubahan atau pendekatan yang digunakan, perubahan paling kecil sekali pun yang dibuat pada hari ini boleh membawa kepada masa depan yang lebih sihat.









Pertandingan nyanyian kanak-kanak berprestij, Kemuncak Bintang Kecil 2025, anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) kembali menghiasi pentas hiburan yang telah berlangsung di Auditorium P. Ramlee, pada 20 September 2025.



Sejak diperkenalkan pada 1986, Bintang Kecil menjadi wadah mencungkil bakat baharu dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, sekali gus melahirkan ramai nama besar dalam dunia seni tanah air.

Seramai 11 peserta dari seluruh negara termasuk Brunei dan Indonesia berentap merebut gelaran juara pada malam akhir tersebut. Antara yang layak ke pentas akhir ialah Kelvin Epoy dan Aleysha Shareef Van Der Horst (Sarawak), Nurul Hafizah Safri (Sabah), Cinta Suci Indah Urmila Abdullah (Johor), Megat Muhammad Qalif Megat Shazrin (Terengganu), Puteri Azalia Mohd Taufik (Kedah), Melissa Rose Afzan Saffuan (Pulau Pinang), Mayrisha Naaila Dyana Reyza Nyambong (Melaka), Tai Eimran Azlan (Selangor).

Serta dua wakil dari luar negara iaitu Ahmad Dasuki Qusyairie Roslani (Brunei Darussalam) dan Claudy Qaila Sakhi (Indonesia).

Pertandingan kali ini menawarkan hadiah lumayan dengan jumlah keseluruhan melebihi RM100,000, termasuk tajaan barangan kemas daripada La Vince Gold Jewellery Sarawak.

Juara pada malam itu milik Muhamad Qalif dari Terengganu yang membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta emas bernilai RM6,000. Manakala naib juara dimiliki oleh peserta Indonesi Claudy Qila dengan hadiah RM15,000 dengan emas bernilai RM5,000. Di tempat ketiga pula milik adik Mayrisha Naaila dengan hadiah bernilai RM10,000 serta emas bernilai RM4,000.

Lapan lagi peserta menerima hadiah saguhati bernilai RM5,000 setiap seorang bersama dengan kepingan emas bernilai RM700.







Sebelum ini selalu dilihat bersama atas urusan kerja namun kini kita boleh lihat pasangan Fattah dan Amira sebagai suami isteri. Ini setelah selesai majlis akad nikah yang dilafazkan pada tanggal 14 Feb iaitu pada harijadi Fattah yang ke 35.



Majlis pernikahan dan persandingan Fattah Amin dan Amira Othman berlangsung penuh indah dengan kehadiran keluarga, sahabat serta rakan artis terdekat. Amira sah bergelar isteri kepada Fattah hanya dengan sekali lafaz.

Amira menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas tujuh dulang hantaran sebagai simbolik penyatuan cinta mereka. Pasangan mempelai itu dinikahkan oleh Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri.



Saksikan Siaran Langsung Eksklusif Majlis Ijab Kabul Setulus Takdir: Fattah Amira melalui aplikasi Unifi TV 2.0, saluran Inspirasi pada 14 September 2025, jam 8 malam!

Bermula dengan majlis khatam Al-Quran Amira Othman dan pada belah malam pula majlis akad nikah yang sarat emosi hingga ke suasana resepsi yang serba elegan, setiap detik pasangan ini sempat dirakam menjadi kenangan berharga.

Pasangan pengantin tampil anggun dalam persalinan serba putih dengan rekaan busana Rizman Ruzaini yang digayakan oleh Fattah, sementara Amira pula menyerlah keayuan dalam persalinan putih rekaan Teh Firdaus. Lebih menarik, para tetamu yang hadir turut mengenakan busana putih bagi menepati tema yang dipilih.



Majlis turut mendapat sentuhan dekorasi daripada Reka Teemor, dengan pengasasnya, Rozana Mumtaz menjelaskan bahawa konsep Al-Zauj dipilih bagi menzahirkan hasrat pasangan yang mahukan pernikahan berkonsep Islamik serta harmoni.

Al-Zauj membawa makna ‘dua jiwa dipertemukan oleh Allah". Fattah dan Amira memang mahukan konsep Islamik, jadi kami ketengahkan tema ini dengan tambahan elemen senja atau sunset yang diselitkan bersama,” katanya.









Penganjuran Anugerah Industri Muzik ke 24 (AIM 24) menyaksikan lagu Jangan Mati Rasa Itu dendangan Aina Abdul telah dinobat sebagai Lagu Terbaik yang turut menerima Dana Kandungan Kreatif  sebanyak RM50,000.



Dalam masa yang sama, Aina juga merangkul kemenangan menerusi kategori Lagu Pop Terbaik, Vokal Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.

Belagu 2 telah dinobatkan sebagai Album Terbaik pada malam AIM 24 dan menerima juga Dana Kandungan Kreatif paling tinggi RM200,000. AIM 24 diadakan secara langsung di Arena Of Stars, Genting Highland pada Sabtu lepas dan dipancarkan secara langsung di TV2.

Selain itu, pemenang bagi kategori ‘Artis Baru Terbaik’, ‘Lagu Etnik Terbaik’, ‘Lagu Nasyid Terbaik’, ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Lagu Inggeris Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’, ’Lagu India Tempatan Terbaik’ dan ‘Video Muzik Terbaik’ turut menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu.



Buat pertama kali Dato Sri Siti Nurhaliza tidak menang satu pun kategori yang dicalonkan, namun Biduanita Negara tersebut tetap dijulang pada anugerah paling tertinggi dalam AIM 24 iaitu melalui Anugerah Sri Wirama. Adakah ini tanda-tanda bahawa Tokti akan mengakhirkan bidang nyanyiannya kerana anugerah ini adalah selalu buat penggiat yang dah terlalu banyak menabur bakti dalam industri. Sama-sama kita nantikan pengumumam beliau.

Senarai penuh pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) 2025

Anugerah Sri Wirama – Dato’ Sri Siti Nurhaliza

Album Terbaik – Belagu II – Dayang Nurfaizah
Lagu Terbaik – Jangan Mati Rasa Itu – Aina Abdul
Artis Baru Terbaik – Ryenald Guntabid – Lumangad Oku Dika
Vokal Lelaki Terbaik – Ryenald Guntabid – Lumangad Oku Dika
Vokal Wanita Terbaik – Aina Abdul – Jangan Mati Rasa Itu
Kugiran Terbaik – Mafidz – Teleportasi
Vokal Kumpulan Terbaik – Inteam – Nasab Nabi
Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik – Faizal Tahir & Dato’ M.Nasir – Campak Bintang
Lagu Perpaduan Terbaik – Bendera – Faizal Tahir
Lagu Etnik Terbaik – Cinta Setandan Pisang – Den Manjo & Eda Ezrin
Lagu Tradisional Terbaik – Canda Citra Cinta – Hazra
Lagu Nasyid Terbaik – Biar Satu Dunia Tahu – Faizal Tahir & Mirwana
Lagu Pop Terbaik – Jangan Mati Rasa Itu – Aina Abdul
Lagu Rock Terbaik – Saksama – Akim & The Majistret
Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik – Angkat – Mimifly
Lagu Rap/Hip-Hop Terbaik – Dannok – Salammusik feat. Namewee
Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama – Hasrat – Amir Jahari
Lagu Inggeris Tempatan Terbaik – My Home Is In Your Arms – Daiyan Trisha
Lagu Cina Tempatan Terbaik – Divorce In Ghana 在加納共和國離婚 – Firdhaus 菲道爾
Lagu India Tempatan Terbaik – Pothum – Sheezay & Hashmita
Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara – Bertengkar Manis – Rossa & Barsena Bestandhi
Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik – Masing Masing – Ernie Zakri & Ade Govinda
Kulit Album/Single Terbaik – Iman – Ismail Izzani
Rakaman Album Terbaik – Imaji (Deluxe Edition) – Aina Abdul
Rakaman Lagu Terbaik – Aura – Ernie Zakri
Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu – Rindu Menyapa – Dayang Nurfaizah
Video Muzik Terbaik – Voodoo – KRU
Lagu Paling Tinggi Distrim – Masing Masing – Ernie Zakri ft. Ade Govinda
Lagu Paling Tinggi Ditonton di TikTok – Santai – Faizal Tahir
Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube – Sayunk I Love You – Chombi








Bintang The Chosen One Xtra 2025, Iaman dan kumpulan Saputra berjaya merangkul gelaran juara selepas tampil dengan persembahan yang cukup memukau.



Di bawah bimbingan jurulatih Naqiu, persembahan bertenaga mereka menyampaikan lagu Ayuh, Evo, Joget Angan Tak Sudah dan Ya La Dan nyanyian asal Datuk Sharifah Aini menyerlahkan gabungan vokal mantap dan elemen seni pentas yang menghiburkan dan berjaya mencuri hati juri.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta trofi kejuaraan. Mereka turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Terbaik dan menerima tambahan RM10,000.

Naqiu pula selaku coach berjaya merangkul trofi ‘Coach Terbaik’ serta wang tunai sebanyak RM10,000.



Naib juara pula berjaya menjadi milik Rayyan dan Dahlya yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 30,000 dan trofi sumbang Astro.

Manakala tempat ketiga berjaya dimiliki oleh Alif dan Yusof dan layak menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 20,000 serta trofi sumbangan Astro.

Sementara itu, Iman dan Adawiya pula dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat serta membawa pulang wang tunai sebanyak RM 10,000 dan trofi sumbangan Astro.








Rakyat Malaysia kini semakin mengamalkan penjagaan kesihatan pencegahan, dengan 95% bersetuju bahawa ia penting untuk kesejahteraan diri. Ramai yang telah mula membuat perubahan positif, seperti memilih hidangan yang lebih sihat dan mengamalkan pengambilan suplemen dalam rutin harian mereka. Herbalife, sebuah syarikat, komuniti dan platform kesihatan dan kesejahteraan terkemuka, komited untuk meneruskan momentum ini.


Penemuan ini merupakan hasil dapatan Tinjauan Penambahan Makanan Bertanggungjawab Asia Pasifik (Asia Pacific Responsible Supplementation Survey) 2025, yang dijalankan pada Mei 2025 di 11 pasaran Asia Pasifik termasuk Australia, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam. Di Malaysia, seramai 1,000 responden telah berkongsi tabiat dan sikap mereka terhadap suplemen kesihatan, yang menunjukkan komitmen yang tinggi serta peluang yang jelas untuk memperkukuhkan pengetahuan dan sokongan.



Tinjauan tersebut mendapati bahawa 43% rakyat Malaysia mengambil suplemen setiap hari, dengan 64% daripada mereka mengambil lebih daripada satu jenis suplemen kesihatan. Kesihatan am dan imuniti kekal sebagai sebab utama pengambilan suplemen (59%), diikuti oleh tenaga dan fokus (39%) serta penjagaan kulit, rambut dan kecantikan (38%). Lebih memberangsangkan, 65% rakyat Malaysia menyatakan mereka yakin dengan keupayaan mereka untuk membuat keputusan pengambilan suplemen secara bertanggungjawab, meletakkan negara ini antara yang tertinggi di rantau ini bersama-sama Australia, Indonesia dan Filipina.



Pada masa yang sama, 82% rakyat Malaysia mengakui kepentingan membuat keputusan yang bijak mengenai pengambilan suplemen, dengan doktor dan pakar pemakanan menjadi sumber maklumat yang paling dipercayai (58%). Semasa membeli suplemen, tiga pertimbangan utama adalah cadangan daripada profesional penjagaan kesihatan (50%), keselamatan dan keberkesanan produk (49%), serta pensijilan kualiti produk (45%).

Steven Chin, Pengarah Kanan dan Pengurus Herbalife Malaysia dan Singapura, berkata, “Rakyat Malaysia menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kesihatan mereka, dan matlamat kami adalah untuk memberikan mereka alat, pengetahuan, dan sokongan yang tepat untuk meneruskan perjalanan mereka ke arah kesejahteraan yang lebih baik. Hasil tinjauan ini amat memberangsangkan kerana rakyat Malaysia semakin yakin dengan suplemen yang mereka ambil dan mula mendapatkan panduan daripada sumber yang dipercayai seperti profesional penjagaan kesihatan. Kami ingin memperkukuh usaha ini dengan terus bekerjasama dengan organisasi yang berwibawa, universiti serta pakar kesejahteraan bagi mempertingkatkan pendidikan pemakanan kepada orang ramai.



Untuk terus memacu momentum positif ini, Herbalife telah melancarkan Kempen “Check In” Kesejahteraan Kebangsaan 2025 dari Mei hingga Julai tahun ini. Inisiatif ini menjelajah ke 33 bandar dan pekan di seluruh negara, melibatkan lebih 8,000 rakyat Malaysia dengan menawarkan analisis tubuh badan secara percuma, panduan pemakanan seimbang, serta nasihat suplemen mengikut keperluan individu.



Kempen “Check In” Kesejahteraan Kebangsaan menjurus kepada turun padang mendekati masyarakat di lapangan dan memberikan panduan yang praktikal serta berasaskan sains yang boleh mereka amalkan dalam kehidupan seharian. Kami tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja. Kami menjelajah ke utara, selatan, pantai timur, serta merentasi Sabah dan Sarawak bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam perjalanan kesejahteraan mereka. Melalui rangkaian Pengedar kami, kami dapat meluaskan capaian kempen ini ke seluruh negara dan mendekatkannya dengan komuniti setempat.



Walaupun semakin ramai rakyat Malaysia mengamalkan penjagaan kesihatan pencegahan, negara kita masih berdepan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, serta beban berganda kekurangan zat makanan. Oleh itu, adalah penting bagi kami untuk menjangkau setiap pelosok negara, dari pekan kecil hinggalah ke bandar utama, bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk belajar, bertanya soalan, dan membawa pulang langkah-langkah mudah dan praktikal untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka,” tambah Steven.

Kempen berakhir dengan Pameran Kesejahteraan yang diadakan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Segamat, Batu Pahat, Melaka, Kuching, Sibu, Miri, Sarikei, Kota Kinabalu, Ipoh, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan.