Memaparkan catatan dengan label Maulidur Rasul. Papar semua catatan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Haji Idris Ahmad melancarkan sambutan Maulidur Rasul serta wajah baharu Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah di dalam rancangan Assalamualaikum hari ini.



Tema Manhaj Rabbani, Negara Harmoni dipilih dalam menterjemahkan lapan rancangan yang memanifestasikan kerinduan umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Sementara itu, Idris berkata kesemua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disarankan untuk saling berganding bahu mempromosikan lima Inisiatif Mantap bagi melengkapkan Keluarga Malaysia.



Gagasan yang merangkumi Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani, Pemantapan Sistem Pendidikan Islam, Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam, Inisiatif Pemantapan Institusi Masjid dan Surau dan Pemantapan Sosio Ekonomi Ummah ini bertepatan dengan apa yang dituntut di dalam ajaran Islam menerusi Maqasid Syariah.

“Empat belas agensi agama diamanahkan untuk melaporkan perjalanan Inisiatif Mantap ini agar perancangan dan pelaksanaan dapat berjalan seiring serta KPI 100 hari dapat dicapai. Setakat ini, saya sangat berpuashati dengan usaha kesemua agensi.

“Semua agensi perlu bekerja keras untuk mencari ‘Maisyah’ iaitu kehidupan, mengabdikan diri kepada Allah SWT serta pada masa yang sama meninggalkan legasi yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.” pesan beliau.



Idris turut menzahirkan harapan agar TV AlHijrah terus mencari kelainan agar stesen ini akan terus kekal menjadi pilihan rakyat.

“Masyarakat memuji siaran TV AlHijrah yang penuh bermaklumat. Maka usaha TV AlHijrah dalam menyampaikan kebaikan Islam kepada masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam harus dilaksanakan secara berterusan”.

Turut hadir pada majllis pelancaran program tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.



Beliau menzahirkan rasa syukur kerana Studio Digital TV AlHijrah telah melalui proses pembaharuan dari segi rekaan studio, set dan logo. Pembaharuan ini seiring dengan penambahbaikan kandungan rancangan yang lebih segar, mendidik, menghibur serta menjawab isu semasa menerusi penyelesaian dari perspektif Islam. 

Namanzee turut memaklumkan bahawa tradisi meraikan hari kebesaran Islam akan diteruskan pada bulan ini menerusi Kempen Maulidur Rasul.

 “Lapan seleksi rancangan istimewa akan dihidangkan kepada penonton bermula 7 Oktober 2021 sehingga 29 Oktober 2021. Manakala, kemuncak siaran yang membawa penonton memperingati sirah dan sunnah Baginda akan berlangsung pada 19 Oktober.



“Dokumentari Mosques Around The World yang memulakan siaran pada 4 Oktober, Isnin hingga Rabu jam 4 petang harus ditonton kerana ia adalah perkongsian maklumat tentang kepelbagaian masjid-masjid seluruh negara serta kajian tentang unsur budaya masjid sesebuah negara. 

Namanzee berkata, penonton juga tidak harus ketinggalan menonton Cinta Ilmu Istimewa Maulidur Rasul pada 18 hingga 20 Oktober, jam 7.30 malam. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim serta beberapa panel lain akan membincangkan topik keunggulan Baginda SAW, Perjuangan Rasulullah dan Kelebihan Umat Akhir Zaman.

“Selain itu, kami siarkan Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober, Selasa jam 9 malam. Konsert ini adalah simbolik curahan kasih dan kerinduan terhadap Baginda Nabi. Rancangan ini mengabungkan elemen bacaan Al-Quran, persembahan qhasidah, selawat buat Baginda serta monolog, sajak dan tausiyah. Antara personaliti tanah air yang akan kita tampilkan adalah kumpulan Raihan, Kumpulan Zayne, Daqmi, Naqiu, Ustaz Wadi Annuar, Ustaz Jafri Abu Bakar dan ramai lagi.



Antara rancangan istimewa lain adalah Sambutan Maulidur Rasul pada 18 Oktober jam 9 malam, Siaran Langsung Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia pada 20 Oktober jam 4.30 petang, Di Ambang Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober jam 6 petang, Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan pada 26 Oktober jam 9 malam dan Gema Haflah pada 30 Oktober jam 9 malam.







12 Rabiulawal 1442H  bersamaan 29 Oktober 2020 bakal bertandang kurang dari seminggu lagi. Tarikh istimewa ini sudah semestinya amat bermakna buat seluruh umat Islam kerana pada detik keramat ini telah lahirnya kekasih Allah, Muhammad Al-Amin. Lahirnya Baginda SAW bersama sinar Islam yang menyuluh seluruh alam dengan cahaya yang membezakan di antara hak dan batil.



Bagi mengingati kekasih Allah SWT ini, TV AlHijrah sekali lagi menjadi perintis utama di dalam sambutan Maulidul Rasul di kaca televisyen. Stesen berkonsepkan gaya hidup Islam ini akan melancarkan kempen memperingati Baginda SAW bermula 23 Oktober 2020 hingga 6 November 2020. Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata, “Sambutan Maulidur Rasul ini bertujuan untuk mengingatkan penonton TV AlHijrah tentang nilai murni dan pengajaran serta dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sepanjang kerasulan Baginda”.



“Ummah Rabbani Negara Harmoni adalah tema pilihan bagi sambutan Maulidur Rasul di kaca televisyen kami. Tema ini jelas membawa maksud mencintai Rasul SAW menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi pencetus idea dalam konteks dakwah, dan ia juga merupakan silibus dalam pentadbiran dan garis panduan kehidupan” jelas Namanzee.



“Kami sajikan barisan rancangan istimewa sepanjang Rabiulawal 1442H ini. Antara yang wajib ditonton adalah rancangan E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat, rancangan Sentuhan Kalbu Bersama Habib Ali, rancangan MY #QuranTime Istimewa, Dokumentari Jambatan Tim Sarok, Filem Istimewa Latitude 6, rancangan Kasih Kenyalang dan program siaran langsung Hijrah Berselawat.



Menurut Namanzee kesemua program segar ini memberi terjemahan yang sangat jelas kepada penonton bahawa agama Islam yang disampaikan oleh Rasulullah adalah Addin atau cara hidup yang menyuluh kegelapan manusia dengan mentauhidkan diri kepada Allah.



“Apa yang penting, kami mahu semaikan semangat dan fahaman yang meletakkan Rasulullah sebagai idola teratas dan terulung. Kehidupan Rasullullah samada dari segi sosial, ekonomi dan kekeluargaan dijadikan panduan sepanjang zaman” ulas Namanzee.

Selain daripada hidangan rancangan-rancangan istimewa tersebut, TV AlHijrah turut melancarkan pertandingan Resepi Juadah Anda bagi memenuhi masa lapang penonton yang bekerja di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan. Pertandingan ini memberi peluang kepada penonton untuk menghantar video masakan dan hidangan istimewa mereka untuk diadili juri dalaman TV AlHijrah. 13 video masakan terbaik, menarik dan kreatif akan disiarkan di dalam rancangan Assalamualaikum serta berpeluang memenangi sejumlah wang tunai.







Konsert Rapatkan Saf, sebuah program persembahan yang memaparkan lagu-lagu kerohanian serta tazkirah yang menggabungkan artis-artis dan pendakwah Nusantara bakal diadakan secara langsung dengan penuh gilang-gemilang di pentas AlHijrah Big Studio (ABS) pada 12 Rabiulawal 1439H bersamaan 1 Disember 2017.


Konsert Rapatkan Saf diadakan bagi mengangkat tema sambutan Maulidur Rasul dengan menggabungkan selawat, nyanyian, monolog ketuhanan dan zikir munajat dalam menzahirkan rasa kecintaan tidak berbelah bahagi kepada Baginda Nabi Muhammad SAW serta menyampaikan mesej Islam adalah agama keamanan dan penyatuan.



Konsert ini akan disiarkan selama dua jam tiga puluh minit bermula pada 9 malam hingga 11.30 malam. Buat julung kalinya, konsert ini bakal melakar sejarah bukan sahaja kerana disiarkan secara langsung di TV AlHijrah dan beberapa stesen penyiaran utama dalam negara, paling istimewa konsert islamik ini turut mendapat kerjasama penuh rakan-rakan penyiar antarabangsa.



Seiring dengan tema Go Global yang dipegang erat oleh stesen ini, tiga saluran antarabangsa iaitu Darshana TV India, ITV Networks Afrika Selatan dan UBONTV Indonesia juga berganding bahu menjadi rakan penyiar acara ini.



Konsert Rapatkan Saf  juga akan ditayangkan serentak di saluran televisyen utama negara iaitu saluran RTM TV1, Bernama TV, TV IKIM, dan saluran radio IKIM.fm (91.5).



Penyatuan kesemua penyiar utama dalam dan luar negara ini adalah merupakan satu pembaharuan idea dalam menghayati peribadi Rasululullah SAW, ketabahan serta kesungguhan Baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.



Konsert Rapatkan Saf menyajikan persembahan berbentuk islamik dan hiburan moden yang selari dengan era globalisasi buat penonton. Namun pada masa yang sama gabungan kesemua saluran utama dalam menyiarkan konsert ini secara serentak merupakan simbolik terbaik untuk menggambarkan konsep merapatkan saf, berganding bahu dan saling membantu sesama rakan-rakan industri penyiaran negara, barisan artis dan para pekerja dalam parameter syariat.



Objektif penerbitan Konsert Rapatkan Saf ini selain daripada mengingati Baginda Rasulullah, ia berperanan sebagai wadah terbaik dalam menyuntik dakwah melalui bait lagu dan monolog yang bakal dialunkan. Tambah menarik, ia juga mampu menzahirkan manifestasi kesenian islamik sebagai santapan rohani buat para penonton. 



Konsert Rapatkan Saf dilihat bakal menandingi konsert berprestij lain yang pernah dianjurkan sebelum ini. Ia membariskan artis-artis tersohor seperti Ramli Sarip, Lah Ahmad, artis religi Indonesia, Rijal Vertizone, Fikri Yasir, Kumpulan Raihan, Hafiz Hamidun, Wani dan juga penampilan pertama Datuk M. Nasir dan Hazama di TV AlHijrah dengan dendangan lagu-lagu pilihan seperti KepadaMu Kekasih, Maulaya, Sumayyah, Agung, Ya Rasulullah, Mahakarya Cinta, Phoenix Bangkit Dari Abu, Peristiwa Subuh dan lain-lain.


Turut memeriahkan adalah barisan pendakwah Nusantara seperti Habib Ali Zaenal Abidin, Ustaz Syed Kadir Al Joofre, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi , Ustazah Isfadiah Dusuki, PU Rozi Harun, Ustaz Zul Ramli dan Ustaz Luqman Nurhakim.

Konsert Rapatkan Saf yang dihoskan oleh Ustaz Fadzli Aziz dan diterbitkan oleh penerbitan dalaman TV AlHijrah yang diketuai oleh Puan Nurainah Nabeeha Hassan selaku Penerbit Rancangan. Selain itu, TV AlHijrah turut meyiarkan pelbagai rancangan menarik lain sepanjang Disember ini. Antaranya adalah Analisis Finaz Yunus, 3 Minit Ustaz, Masjid ke Masjid, Mimbar, Kalam Hikmah, Mai Ngaji, Negaraku #Table Talk SK, dan Ustaz Pilot.

Jadi, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Konsert Rapatkan Saf, pada Jumaat, 1 Disember 2017 tepat jam 9 malam. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini Konsert Rapatkan Saf dan barisan rancangan menarik Disember TV AlHijrah, penonton boleh melayari laman sesawang TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com. Maklumat turut boleh didapati di laman social Facebook dan Instagram TV AlHijrah.