Dunia Penuh Gosip - Open Floor Dunia Penuh Gosip: Open Floor - All Post
Memaparkan catatan dengan label Open Floor. Papar semua catatan
TV Hijrah kekal berada di hati penonton setelah lapan tahun bersiaran. Ini terbukti apabila dua rancangan siaran langsung yang disiarkan penghujung tahun lalu iaitu rancangan Pink Point & Sila Duduk Jangan Lari mendapat sambutan luar biasa dengan catatan peratusan tontonan yang meningkat dari hari ke hari..


Tahun ini, misi melebarkan sayap dakwah diteruskan oleh TV Hijrah dengan memperkenalkan sebuah rancangan keagamaan baru yang diberi tajuk Open Floor. Open Floor disiarkan sebanyak empat puluh episod bermula 4 Febuari 2019, setiap isnin hingga jumaat, jam 9 malam.

Penonton di rumah pastinya jatuh hati dengan kelainan dan keunikan konsep siaran yang dibawakan oleh rancangan Open Floor ini sepanjang satu jam siarannya. Secara kreatifnya, kumpulan penerbitan rancangan Open Floor menggabungkan sebahagian besar pedagogi utama Baginda Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah dan ilmu. Antara teknik-teknik yang digunapakai adalah metodologi kuliah dan syarahan, teknik bercerita dengan iktibar dan kaedah soal dan jawab.


Ini selaras dengan objektif utama penerbitan rancangan Open Floor ini yang mahu menjadikan rancangan ini sebagai sumber rujuk masyarakat terutamanya umat Islam sekaligus mendidik jiwa tauhid penonton agar tumbuh rasa kehambaan yang tinggi terhadap Allah SWT serta rasa cinta tidak berbelah bahagi buat Nabi Muhammad SAW.

Penceramah-penceramah terkenal seperti Ustaz Ashraf Suarin Al-Muqri, Ustaz Muhammad Rozi Harun, Ustaz Rahmat Ikhsan, Ustaz Aiman Al-Madany, Ustaz Muhammad Aidil Azwal Zainudin, Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman dan ramai lagi akan berkomunikasi santai secara dua hala bersama penonton yang hadir di studio untuk membincangkan topik-topik ilmiah yang menarik dalam bentuk halaqah.

Kesemua penceramah ini bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu atau dikenali sebagai muallim, bahkan mereka juga juga berperanan sebagai murabbi, mudarris, mursyid dan muaddib. Mereka mendidik penonton di studio dan di rumah kerana Allah dan dengan kaedah pengajaran yang berkesan dan bersifat kasih sayang.

Antara topik-topik yang akan dibincangkan di dalam rancangan Open Floor adalah Allah Ada Masalah Tiada, Bersyukur Jangan Kufur, Remaja Berjaya, Dugaan Kaya, Penjenamaan Diri, Gossip, Nafikan Halal Haram, Main-Main Solat dan banyak lagi topik istimewa lain yang pastinya menjadi makanan tambahan bagi meningkatkan energi kerohanian.

Selain daripada rancangan Open Floor, rancangan Inspirasi Bersama Dato’ Seri Vida juga akan ditayangkan setiap hari bermula 4 Februari ini pada jam 10 pagi. Inspirasi Bersama Dato’ Seri Vida adalah sebuah program bual bicara santai yang membicarakan topik-topik membina dan memberi motivasi kepada penonton untuk berjaya di dalam kehidupan.


Selama satu jam siaran, Dato’ Seri Vida ditemani panel tetap iaitu saudara Syamsul Debat berkongsi tips-tips istimewa tentang kemahiran keusahawanan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta pelbagai isu lain yang boleh menjadi panduan untuk terus berjaya di dunia dan akhirat.

Antara tajuk-tajuk perbincangan adalah Untung Dunia Untung Akhirat, Berdikari Mencari Nafkah, Susah Senang Diharung Bersama, Lebih Mulia yang Dekat, Dapat Dua Ganjara, Sibuk Hanya Alasan dan lain-lain.


TV Hijrah meletakkan sepenuh keyakinan bahawa rancangan Open Floor dan rancangan Inspirasi Bersama Dato’ Seri Vida mampu menjadi agen perubahan kepada masyarakat Malaysia. Jadi jangan lupa untuk sama-sama menimba ilmu di TV Hijrah februari ini.