Dunia Penuh Gosip - PTPTN Dunia Penuh Gosip: PTPTN - All Post
Memaparkan catatan dengan label PTPTN. Papar semua catatan
Program bual bicara interaktif Jom Simpan Bersama Tabung Pendidikan (Musim Kedua) kini sedang bersiaran di TV AlHijrah.


Berbekalkan isi kandungan rancangan yang diperluas serta ditambahbaik, Jom Simpan Bersama Tabung Pendidikan (Musim Kedua) dilihat mampu menjadi platform pilihan bagi mentransformasikan minda masyarakat Malaysia untuk membuat penabungan pendidikan buat anak mereka seawal umur sehari. Dengan rahsia sehari RM1, pelbagai faedah akan diperoleh dengan pakej penabungan yang disediakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).


Jom Simpan Bersama Tabung Pendidikan (Musim Kedua) disiarkan sebanyak lima episod, setiap Isnin, jam 9 malam bermula 15 Oktober 2018 yang lalu.

Tidak mahu terlalu serius dalam membincangkan tajuk-tajuk pilihan, Jom Simpan Bersama Tabung Pendidikan (Musim Kedua) dirakamkan di Pullman Putrajaya dalam set yang lebih santai dan menyegarkan.


Penonton berpeluang menyaksikan perbahasan yang menarik tentang topik-topik seperti Malaysia Kita Punya,  #ikutzaman, Pandainya! , Cash ke Cashless dan Gen D bersama panel-panel jemputan seperti Lah Ahmad, Imam Muda Asyraf, Mat Lutfi, Tuan Wan Ahmad Wan Yusoff (Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan Puan Hafiza (Minaz)

Menurut Puan Syafinah Othman, penerbit rancangan ini, “TV Hijrah dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepakat untuk terus mambantu penonton  memahami perihal tabung pendidikan dalam musim baru ini selepas mendapat maklum balas positif pada musim pertama dahulu.” katanya.


“TV Hijrah mengambil posisi dan bertindak menjadi agen penyampai maklumat untuk membuka mata masyarakat bahawa fungsi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukanlah hanya memberikan pinjaman semata-mata tetapi juga sebagai institusi penabungan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional.” tambah beliau lagi.

“Justeru, pemilihan Farah Diana Anuar selaku hos rancangan musim ini dilihat tepat dan terbaik memandangkan perwatakan beliau yang santai, bersahaja dan bijak membawa penonton untuk memahami visi dan misi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi tajuk-tajuk yang dibincangkan.” ujar beliau.


Tiga segmen utama dihidangkan kepada para penonton kali ini. Segmen pertama adalah Segmen Mari Menabung memberikan penonton input serta informasi berkenaan topik-topik mingguan yang dikupas pihak PTPTN. Segmen kedua adalah Segmen Apa Kata Mereka memaparkan rakaman pandangan orang awam yang diambil secara rawak di sekitar Kuala Lumpur. Manakala Segmen Yang Mana Satu pula merupakan segmen permainan spontan di antara panel-panel dan hos rancangan. Kedua-dua pihak akan menjawab secara rawak soalan timbal balik dalam masa yang ditetapkan.

Jangan lupa saksikan Jom Simpan Bersama Tabung Pendidikan (Musim Kedua),  setiap Isnin 9 malam  hanya di TV Hijrah.