Dunia Penuh Gosip - Tahun Baru Dunia Penuh Gosip: Tahun Baru - All Post
Memaparkan catatan dengan label Tahun Baru. Papar semua catatan
“Apakah azam tahun baharu anda?” 
“Tahun baharu, amalan baharu!”

Apabila menjelang tahun baharu, ungkapan sebegini sering menjadi sebutan ramai, bersama pelbagai nasihat tentang cara menetapkan matlamat dan membentuk rutin kesejahteraan yang boleh meningkatkan tahap kesihatan kita. Dalam dunia yang tidak pernah kekurangan nasihat kesejahteraan, suplemen yang sedang hangat di laman soal dan rutin ‘wajib buat’, memang mudah untuk rasa keliru dan akhirnya hilang fokus terhadap perkara yang benar-benar menyokong kesejahteraan diri.



Namun, bagaimana jika kita mengambil pendekatan yang sedikit berbeza bagi 2026? Daripada terus mencabar diri untuk melakukan lebih banyak perkara setiap tahun, bagaimana jika kita memilih dengan lebih bijak? 

Dr Vipada Sae-Lao, Ketua Latihan dan Pendidikan Pemakanan – Asia Pasifik, Herbalife, berkata: “Kesejahteraan bukan satu proses yang sama untuk semua. Apa yang berkesan untuk orang lain mungkin tidak sesuai dengan kesihatan badan atau gaya hidup anda.  Dalam artikel ini, matlamat saya adalah ringkas: untuk membantu anda menyemai azam yang bukan sahaja memenuhi keperluan asas anda tetapi juga disesuaikan dengan gaya hidup, tahap kecergasan dan kesibukan anda, agar anda boleh menjalani kehidupan yang lebih sihat dan seimbang.” 

Beralih Kepada Gaya Hidup Berasaskan Pencegahan

Penemuan awal daripada Tinjauan Pemakanan Tambahan Bertanggungjawab Asia Pasifik Herbalife 2025 (2025 Herbalife Asia-Pacific Responsible Supplementation Survey) mendedahkan bahawa penjagaan kesihatan menerusi pencegahan semakin diutamakan oleh rakyat Malaysia, mencerminkan perubahan ketetapan minda ke arah pengurusan kesejahteraan yang proaktif. 



Penekanan terhadap pencegahan dikukuhkan lagi dengan data terbaharu daripada Tinjauan Perhubungan Awam Memperkasakan Kesihatan & Ekonomi APAC 2025 (2025 APAC Health & Economic Empowerment PR Survey), yang mendapati bahawa 61% daripada responden Malaysia menarafkan kesihatan dan kesejahteraan semasa mereka sebagai sangat baik atau lebih baik, manakala 57% meramalkan penambahbaikan berterusan pada masa depan. 

Mengulas mengenai perkembangan ini, Dr. Vipada Sae Lao berkata, “Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Rakyat Malaysia semakin sedar tentang betapa pentingnya pendekatan proaktif demi manfaat kesihatan mereka.”

Jadi, apa yang harus kita lakukan? Bertentangan dengan kepercayaan umum, pelaburan dalam kesihatan diri tidak semestinya melibatkan perubahan ketara.  Malah, pelaburan kesihatan paling bijak ialah menerusi amalan yang konsisten, sihat dan berlandaskan sains bagi memastikan tubuh kekal berdaya tahan.  Pemakanan yang seimbang dan kaya dengan nutrien, melakukan aktiviti fizikal yang anda gemari, tidur lena yang memulihkan badan, minum air yang secukupnya dan kawalan tekanan atau stres yang berkesan adalah unsur-unsur penting untuk mengekalkan kesejahteraan. 

Pencegahan, pada asasnya, adalah usaha memberikan permulaan terbaik kepada diri kita pada masa hadapan.

Tubuh Anda Paling Memahami Keperluannya

Badan anda sihat apabila anda memberikannya apa yang diperlukan, dan bukan sekadar mengikut  trend semasa. 



Mulakan dengan mengamalkan diet yang mencerminkan metabolisme, keperluan pemakanan, matlamat kesihatan dan pilihan kebudayaan unik anda agar ia dapat disesuaikan secara semula jadi dalam rutin harian. Makanan yang berkhasiat merangkumi protein rendah lemak bermutu tinggi, karbohidrat sihat, asid lemak penting, serat, vitamin dan mineral, dan pelbagai jenis antioksidan  yang diperlukan untuk mengekalkan tenaga, memulihkan badan dan mencapai kesejahteraan keseluruhan. Pastikan anda minum air yang secukupnya, menguruskan tekanan dengan strategi praktikal dan menyokong kesihatan usus menerusi makanan yang kaya dengan serat, probiotik dan amalan makan secara sedar. Anggaplah langkah-langkah ini sebagai memberikan apa yang diperlukan oleh badan anda perlukan melalui pemakanan. 

Gabungkan pemakanan dengan pergerakan atau senaman yang anda gemari, iaitu sesuatu yang boleh anda lakukan secara konsisten, kerana senaman seharusnya mencergaskan badan, bukannya meletihkan diri. Beri keutamaan kepada tidur dan rehat berkualiti, yang memainkan peranan amat penting dalam metabolisme, keseimbangan hormon dan pemulihan. 
 
Sokongan berlandaskan Sains untuk Memenuhi Keperluan Anda 

Sambil anda menyesuaikan rutin kesihatan diri, anda perlu mempertimbangkan pemakanan tambahan atau suplemen dengan cara yang sama. Hasil Tinjauan Pemakanan Tambahan Bertanggungjawab Herbalife Asia Pasifik 2025 menyuarakan kebimbangan ramai rakyat Malaysia. Dalam kalangan 1,000 rakyat Malaysia yang ditinjau selidik, 43% mengambil suplemen setiap hari, manakala 63% melaporkan pengambilan lebih daripada satu jenis suplemen kesihatan. Walaupun begitu, 34% berkata bahawa mereka kurang yakin untuk memilih suplemen yang betul. 

Cara terbaik untuk menentukan pengambilan suplemen ialah dengan menjadikannya pelengkap kepada diet anda. Jangan hanya ambil apa yang sedang hangat diperkatakan oleh orang lain. Mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan atau pakar pemakanan berkelayakan untuk membantu anda memilih formula yang bermutu tinggi berlandaskan sains daripada sumber yang dipercayai untuk menyokong tahap tenaga, keimunan dan fungsi harian anda. Suplemen yang dipilih dengan penuh pertimbangan  boleh dijadikan sebahagian daripada rancangan kesejahteraan diri anda.

Menguruskan Tekanan: Faktor Penting Dalam Kesejahteraan Jangka Panjang 

Gaya hidup pantas yang diamalkan oleh sebahagian besar daripada kita sering kali bermakna masa kerja berpanjangan, corak pemakanan tidak tetap, tanggungjawab lebih besar, jangkaan lebih tinggi dan pendedahan digital yang lebih berleluasa. 



Tekanan yang tidak terurus dan berpanjangan memberikan kesan ketara terhadap sistem biologi di dalam badan, termasuk tindak balas imun, fungsi usus, kecekapan metabolisme dan kawalan hormon kortisol.

Amalkan kaedah pengurusan tekanan yang mudah seperti bermeditasi, rehat secara berkala semasa bekerja, mewujudkan rutin menenangkan pada waktu malam, rutin tidur yang konsisten dan mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan. 

Kajian mendapati bahawa hubungan keluarga dan komuniti yang kukuh merupakan penentu penting kebahagiaan dan panjang umur bagi penduduk dalam Zon Biru. Justeru menjalin hubungan peribadi yang erat dan keterlibatan dalam komuniti yang saling memberi sokongan adalah cara yang bermakna untuk mengekalkan komitmen kepada rutin kesejahteraan anda, sambil mengurangkan kesan psikologi tekanan harian. 

Teknologi Harian Yang Membantu Meningkatkan Kesihatan

Akhir sekali, gunakan teknologi untuk memudahkan anda memantau kemajuan anda. Aplikasi yang mudah digunakan boleh membantu menyelaraskan jadual anda yang sibuk.  Sama ada anda menggunakan aplikasi yang menjejak langkah, corak tidur, kandungan sajian dan pengambilan air, atau menggunakan peranti pengurusan diri yang mengukur parameter kesihatan utama yang disyorkan oleh penyedia penjagaan kesihatan anda, pelbagai pilihan praktikal boleh dimanfaatkan dengan hanya satu klik. Apabila digunakan secara konsisten, aplikasi mesra pengguna ini boleh memberikan maklumat jelas, struktur dan dorongan kecil yang menjadikan pilihan sihat lebih mudah dikekalkan dalam jangka panjang.


Selamat Tahun Baharu! Jadikan 2026 tahun yang sihat sejahtera bagi anda.





Sambil kita mengalu-alukan ketibaan tahun baharu, kesihatan dan kesejahteraan terus menjadi keutamaan bagi ramai penduduk di Asia Pasifik, termasuk rakyat Malaysia. Umur yang panjang bukan sahaja bermakna hidup lebih lama tetapi menjalani kehidupan yang cergas dan aktif. Menurut Dr. Vipada Sae-Lao, Ketua Latihan dan Pendidikan Latihan Pemakanan, Asia Pasifik, Herbalife



"Anda boleh meningkatkan kesejahteraan keseluruhan anda dengan mengambil pendekatan yang menyeluruh. Mulakan dengan mengambil langkah-langkah mudah dan praktikal yang akan memulakan perjalanan kesihatan dan kesejahteraan anda dan mendorong anda untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dalam jangka panjang.

Berikut ialah lima petua mudah untuk menjaga kesihatan dan memanjang umur.

Lebihkan Bilangan Langkah Anda Setiap Hari


Jangan memandang rendah manfaat senaman ringan seperti berjalan kaki untuk meningkatkan kesihatan keseluruhan. Berjalan kaki bukan sahaja akan meningkatkan kecergasan kardiovaskular, tetapi juga boleh menguatkan tulang dan otot anda, seterusnya meningkatkan ketahanan otot.



Kajian* mendapati bahawa senaman ringan seperti berjalan kaki selama sepuluh minit selepas makan boleh membantu penghadaman dan menurunkan paras gula darah. Justeru berjalan kaki selepas makan merupakan senjata rahsia untuk meningkatkan metabolisme dan menguruskan berat badan keseluruhan.
Aktiviti berjalan pantas secara berkala digabungkan dengan pemakanan sihat sangat berkesan untuk mengurangkan berat badan sekiranya penggunaan tenaga keseluruhan melebihi pengambilan kalori. 

Berjalan kaki turut membantu mengurangkan lemak yang mengelilingi organ dalaman pada bahagian abdomen, yang juga dikenali sebagai lemak perut atau lemak abdomen dan amat berbahaya kepada kesihatan kita. Malah, Garis Panduan Pemakanan Malaysia 2020 mengesyorkan aktiviti senaman selama 30 hingga 60 minit pada tahap intensiti sederhana seperti berjalan kaki pantas, lima hingga tujuh hari seminggu untuk kesihatan yang optimum.
  
Berjalan kaki bersama keluarga dan rakan-rakan lebih bermanfaat daripada berjalan bersendirian!

Kelebihan Latihan Rintangan


Semakin banyak kajian, seperti yang diterbitkan di Perpustakaan Perubatan Negara, menekankan betapa pentingnya latihan rintangan untuk meningkatkan kesihatan fizikal keseluruhan dan bagaimana membina dan mengekalkan otot tanpa lemak menjadi kunci kepada umur panjang dan metabolisme yang berfungsi secara berkesan. 



Apabila usia kita semakin meningkat, badan kita mula kehilangan jisim otot. Kesan ini bukan sahaja mengurangkan kekuatan tetapi juga mula mengurangkan ketumpatan tulang kita, kerana otot adalah struktur sokongan untuk tulang kita. Dengan melakukan latihan rintangan, dan seterusnya membina jisim otot tanpa lemak, kita bukan sahaja menyokong tulang kita, tetapi kita juga akan membakar lebih banyak kalori semasa berehat kerana otot membakar lebih banyak kalori daripada lemak, yang juga merupakan satu lagi faktor yang meningkatkan metabolisme.

Kita boleh menerapkan latihan rintangan dalam rutin harian mereka dengan melakukan senaman mudah seperti tekan tubi, bermula dengan tekan tubi dinding dan beransur maju ke lantai apabila kekuatan kita bertambah.

Kajian** menunjukkan bahawa latihan rintangan dan tindakan merangsang sintesis protein otot adalah faktor yang berpotensi memanjangkan umur. Para penyelidik mendapati bahawa senaman ini boleh mencegah perubahan fisiologi yang berkaitan dengan usia seperti kemerosotan kekuatan dan jisim otot, meningkatkan ketumpatan tulang, mengurangkan lemak badan, menguatkan sistem imun dan menggalakkan fungsi kognitif.

Penggunaan Protein


Salah satu sebab terbesar untuk mengambil protein ialah jisim otot merosot tiga hingga lapan peratus setiap dekad selepas umur 30 tahun dan kadar penurunan ini lebih tinggi selepas mencecah usia 60 tahun.



Tidak dinafikan bahawa anda memerlukan protein yang mencukupi untuk membina otot tanpa lemak. Tetapi makan lebih banyak protein sahaja tidak akan merangsang pembinaan otot. Anda perlu melakukan senaman rintangan yang ‘menggerakkan’ otot tersebut.

Proses pembaikan dan pertumbuhan otot (juga dikenali sebagai sintesis protein otot) berlaku apabila badan anda pulih daripada senaman. Salah satu cara terbaik untuk menggalakkan pertumbuhan otot ialah pengambilan 20-30 gram protein berkualiti tinggi selepas senaman latihan membina otot dan dalam setiap sajian yang anda makan.

Badan yang kurang berlemak atau jisim otot yang baik membantu melindungi tulang kita daripada kemerosotan atau penipisan. Badan kita menggunakan asid amino, yang merupakan blok binaan protein, untuk membaiki dan memulihkan otot. Pengambilan protein berkualiti tinggi diutamakan untuk proses ini. Beberapa sumber protein yang baik termasuk ikan bakar, ayam panggang, tauhu, tempe, dan telur. 

Menjaga Kesihatan Usus Anda


Kesihatan usus adalah salah satu aspek penjagaan badan yang paling jarang dibincangkan walaupun merupakan antara yang paling penting. Istilah "kesihatan usus" berkaitan dengan kewujudan mikrobiom yang berfungsi dengan baik dalam usus kecil dan besar, serta ketiadaan masalah penghadaman yang lampau.



Sambil kita menempuh liku-liku kehidupan, tekanan, ketidakseimbangan makan, pengambilan terlalu banyak gula, makanan digoreng dan sangat terproses, dan penggunaan antibiotik adalah faktor utama yang boleh mengganggu mikrobiom kita. Pada hakikatnya, kita perlu membina semula usus yang sihat untuk membantu kita dalam pelbagai cara:
Mengurangkan rintangan insulin
Mengekalkan sistem penghadaman yang sihat
Meningkatkan kesihatan imun (memandangkan 70-80% sel imun berada dalam usus)
Menyokong pengurusan berat badan

Antara makanan utama yang menggalakkan kesihatan usus optimum ialah:
Pelbagai buah dan sayuran yang kaya dengan sumber fitonutrien dan serat pemakanan.
Makanan yang ditapai seperti tempe, kimchi atau yogurt/dadih
•     Suplemen probiotik (untuk manfaat kesihatan imun, semak jenis produk dan bukti keberkesanannya)

Dapatkan Sokongan


Sertai komuniti berkaitan atau dapatkan sokongan dalam usaha anda menjaga kesihatan dan memanjangkan umur akan mendorong anda untuk menyerlahkan kreativiti dan mencapai matlamat anda. Hubungan peribadi sememangnya satu sumber motivasi, meningkatkan kemungkinan anda terus mengamalkan gaya hidup sihat dan menikmati hasilnya. Mengambil bahagian dalam program kecergasan secara berkumpulan seperti inisiatif "Bakar Sejuta Kalori" Herbalife atau berjalan kaki bersama masyarakat setempat boleh memupuk semangat kekitaan sambil memastikan anda hidup aktif. Persekitaran yang menyokong matlamat anda juga memberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan memanfaatkan pelbagai perspektif dan boleh membantu anda menentukan aktiviti yang paling sesuai untuk memenuhi matlamat unik anda. 

Umur yang panjang bukan hanya bergantung kepada usaha individu, tetapi juga dipengaruhi hubungan yang dijalin, dorongan masyarakat dan amalan baik yang dilaksanakan demi i kehidupan yang lebih sihat dan bahagia.









Tahniah buat pelakon dan pengacara yang banyak kontroversi tahun 2018, Elfira Loy dan pasangannya, Khairol Faris Anuar selamat diijabkabulkan di pagi hari pertama tahun baharu 2019. Pasangan merpati dua sejoli itu bergelar suami isteri selepas mengikat tali pertunangan selama empat bulan sahaja.


Tiada sebarang info lanjut mengenai majlis pernikahan itu yang dikongsi dengan peminat-peminatnya dilaman Instagram milik beliau. Majlis akad nikah berlangsung pagi tahun baru dan pasangan itu juga bakal melangsungkan lima majlis resepsi sepanjang bulan Januari.

Selain nikah, majlis resepsi pasangan itu akan dilangsungkan pada setiap hujung minggu bermula minggu ini. Elfira kelihatan menawan mengenakan persalinan rekaan pereka ternama, Rizman Ruzaini pada majlis akad nikah tersebut. 


Elfira juga memilih busana perkahwinan daripada beberapa pereka terkenal tempatan yang pernah berkerjasama dengannya sebelum ini. Selain Rizman Ruzaini, beberapa pereka fesyen lain yang dimaksudkan pernah menghasilkan gaun perkahwinan selebriti tempatan terkenal sebelum ini seperti Anzalna Nasir, Sharnaaz Ahmad dan Stacy.

Apa pun jodoh pertemuan itu semua ketentuan tuhan dan kita hanya mengikut takdir dan segalanya telah ditentukan oleh-Nya. Tahniah buat Elfira Loy dan suami tidak pula dinyatakan dimana mereka akan berbulan madu selepas majlis resepsi tersebut.