Dunia Penuh Gosip - Slot Perdana 9 Malam Dunia Penuh Gosip: Slot Perdana 9 Malam - All Post
Memaparkan catatan dengan label Slot Perdana 9 Malam. Papar semua catatan

TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran dakwah utama negara apabila memperkenalkan barisan program baharu bagi Slot Perdana 9 Malam tahun 2026 yang bakal bersiaran bermula Januari ini.




Penjenamaan semula slot ini menampilkan pembaharuan format, pengisian yang lebih interaktif serta pendekatan dakwah yang lebih dekat dengan realiti kehidupan masyarakat, selari dengan perubahan landskap media dan keperluan penonton masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata Slot 9 Malam kekal sebagai nadi utama penyampaian dakwah stesen itu, justeru penambahbaikan dilakukan secara strategik agar kandungannya bukan sahaja relevan, malah mampu memberi kesan mendalam kepada penonton.

“Bagi TV AlHijrah, dakwah tidak boleh bersifat statik. Ia perlu hidup, bergerak dan berinteraksi dengan realiti masyarakat. Slot 9 malam 2026 dibina dengan roh tersebut dengan menampilkan ilmu yang sahih, dialog yang jujur dan pendekatan yang dekat dengan kehidupan sebenar,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan baharu ini turut menekankan elemen interaksi dua hala agar penonton bukan sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya turut terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran dan perbincangan.

“Kami mahu penonton rasa mereka didengari, difahami dan dibimbing. Inilah teras dakwah TV AlHijrah, menyampaikan Islam dengan hikmah, empati dan kefahaman yang membumi,” jelasnya.



Antara program yang kembali dengan nafas baharu ialah Mai Mengaji, yang mula bersiaran pada 19 Januari 2026 setiap Isnin. Musim terbaharu ini tampil lebih istimewa dengan penglibatan Ustaz Husaini, di samping Ustazah Rozana dan Ustazah Aisyah Bain, sambil mengekalkan konsep pembelajaran Al-Quran secara santai yang diperkukuh dengan elemen interaksi lebih tersusun dan bermakna.

Penambahan segmen seperti Betulkan Bacaan Saya, tugasan mingguan serta penglibatan pelajar termasuk golongan mualaf menjadikan program ini lebih inklusif, praktikal dan berfokus kepada pembetulan serta pemantapan bacaan Al-Quran dalam kalangan masyarakat.



Slot Selasa pula diisi dengan Dakwah Live yang mula bersiaran pada 6 Januari 2026, dikendalikan oleh Ustaz Izzhar Nazri. Program bual bicara secara langsung ini memberi tumpuan kepada isu kekeluargaan, kemasyarakatan dan semasa melalui perbincangan di studio yang bersifat terbuka dan berfakta. Kandungan program diperkaya dengan segmen Vlog Spot yang turun ke lapangan bagi mendekati realiti masyarakat, selain interaksi dua hala bersama penonton menerusi panggilan telefon dan platform media sosial, sekali gus menjadikan dakwah lebih responsif dan kontekstual.

Bagi slot Rabu, program Analisis kembali bersiaran pada 7 Januari 2026 dengan pengendalian Amin Idris dan Talib Husin. Program ini memberi fokus kepada perbincangan isu semasa, sosial dan keagamaan secara lebih mendalam, kritikal dan berstruktur. Dengan penglibatan pakar serta tokoh berwibawa dari pelbagai latar belakang, Analisis berperanan sebagai platform wacana intelektual yang membantu penonton memahami isu secara seimbang, rasional dan berpandukan nilai Islam.



Melengkapkan penawaran slot 9 malam ialah program baharu Dari Hati Wanita yang mula bersiaran pada 15 Januari 2026 setiap Khamis. Dikendalikan oleh Ustazah Nazirah Abu Bakar, program ini menjadi ruang selamat dan berempati untuk wanita meluahkan serta membincangkan isu rumah tangga, kerjaya, emosi dan spiritual. Setiap perbincangan disulami panduan Islam yang praktikal dan menenangkan, selari dengan keperluan wanita moden yang berdepan cabaran pelbagai dimensi.

Mengulas lanjut, Namanzee Harris menegaskan bahawa gabungan ilmu, dialog dan realiti masyarakat yang dibawakan dalam slot 9 malam ini mencerminkan komitmen TV AlHijrah untuk terus menjadi platform dakwah yang progresif dan berimpak.



“Kami percaya dakwah yang berkesan ialah dakwah yang memahami konteks, mendidik dengan hikmah dan membimbing dengan kasih sayang. Slot 9 malam TV AlHijrah 2026 adalah manifestasi komitmen kami untuk terus relevan, segar dan berakar pada keperluan sebenar masyarakat,” katanya.

Dengan penawaran kandungan yang lebih tersusun, interaktif dan berfokus kepada isu semasa masyarakat, slot 9 malam TV AlHijrah 2026 dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh peranan stesen ini sebagai rujukan utama dakwah dan wacana Islam di Malaysia.