Di rantau Asia Pasifik (APAC) hari ini yang penduduknya semakin menitikberatkan soal kesejahteraan, semua produk semula jadi, termasuklah makanan tambahan atau suplemen, lazimnya dipercayai oleh pengguna kerana tanggapan positif tentang hubung-kaitnya dengan alam dan ketiadaan ramuan sintetik. Di pasaran APAC, idea bahawa makanan tambahan semula jadi sememangnya selamat dan berkesan juga semakin diterima umum. Malah, pengguna Malaysia sering menggunakan produk farmaseutikal, ramuan kesihatan tradisional, dan produk kecantikan dalam rutin harian untuk meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan penampilan masing-masing.
Bagaimanapun, persepsi ini boleh menimbulkan kesan yang tidak diduga. Sebagai contoh, di Malaysia di mana suplemen kesihatan boleh didapati secara meluas, ada produk yang tidak perlu mendapat kelulusan, lesen atau menjalani penilaian keberkesanan produk. Justeru tanggungjawab lebih besar diletakkan di tangan pengguna untuk membuat pilihan maklum. Memandangkan lebih ramai individu di rantau ini menggunakan produk tersebut untuk menyokong matlamat penjagaan kesihatan masing-masing demi mencegah penyakit, adalah amat penting untuk memahami bahawa label “semula jadi” tidak semestinya bermakna selamat atau berkesan.
Semula Jadi atau Sintetik, Sains Menentukan Keberkesanan
Sama ada semula jadi atau sintetik, keselamatan dan keberkesanan makanan tambahan bergantung kepada sebatian khusus, dos yang disyorkan dan potensi interaksi dengan bahan lain.
Dr. Alex Teo, Pengarah, Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik, Herbalife
Di Malaysia, ubat herba tradisional masih digunakan secara umum, di mana masyarakat majmuk kita bergantung kepada herba tempatan kerana dianggap membawa manfaat kesihatan. Walaupun ramuan herba boleh memberikan manfaat kesihatan sebenar, bahan-bahan ini tidak semestinya tanpa risiko. Sesetengah ramuan semula jadi mungkin berinteraksi secara tidak diduga dengan ubat atau menyebabkan kesan buruk apabila diambil secara tidak betul. Menurut tinjauan Kementerian Kesihatan, 31.6% daripada rakyat Malaysia tidak sedar tentang kemungkinan interaksi antara ubat tradisional dan moden.
Menurut Dr. Alex Teo, Pengarah, Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik, Herbalife, sebahgai contoh akar manis yang sering digunakan dalam ramuan tradisional dan sememang dikenali kerana ciri-ciri yang melegakan. Bagaimanapun pengambilan berlebihan, khususnya dalam bentuk suplemen pekat, boleh meningkatkan tekanan darah dan ketidakseimbangan elektrolit. Ini menunjukkan betapa pentingnya menggunakan ramuan semula jadi dengan berwaspada dan mengikut garis panduan yang ditetapkan, walaupun bagi produk yang dikenali umum.
Sebaliknya, makanan tambahan sintetik dirumuskan untuk menyerupai sebatian semula jadi dan menjalani ujian teliti bagi memastikan kesan yang dikehendaki dihasilkan dengan selamat. Walaupun terdapat perdebatan berterusan tentang kebaikan makanan tambahan semula jadi berbanding sintetik, kajian saintifik yang diterbitkan dan bukti ujian makmal dapat membantu meningkatkan kefahaman kita tentang nilai sebenar sesuatu makanan tambahan.
Menyanggah Mitos Makanan Tambahan Semula Jadi
Untuk membuat keputusan pemakanan yang serba maklum, pengguna perlu mempunyai kefahaman yang baik tentang maksud perkataan “semula jadi” dan apa yang bukan di dalam pentakrifannya. Berikut adalah lima salah tanggapan umum tentang makanan tambahan semula jadi dan petua tentang cara membaca penerangan dengan teliti.
Mitos 1: Semula Jadi Sepenuhnya Bermakna Selamat
Satu salah tanggapan umum ialah makanan tambahan semula jadi pada hakikatnya selamat kerana bukan ubat farmaseutikal. Sebenarnya, toksin seperti arsenik dan plumbum boleh didapati dalam tumbuhan tertentu dan memakannya tanpa pengetahuan yang betul tentang dos boleh menimbulkan kesan serius terhadap buah pinggang dan hati.
Mitos 2: Makanan Tambahan Semula Jadi Boleh Diambil Tanpa Had
Sesetengah orang percaya makanan tambahan semula jadi boleh diambil dalam jumlah tidak terhad tanpa risiko. Bagaimanapun, sebatian semula jadi sekalipun boleh menyebabkan tindak balas buruk jika diambil secara berlebihan. Sebagai contoh, vitamin larut lemak seperti A, D, E, dan K boleh terkumpul di dalam badan dan menyebabkan ketoksikan apabila diambil dalam tempoh berpanjangan.
Mitos 3: Makanan Tambahan Boleh Menggantikan Ubat
Adalah amat penting untuk memahami bahawa makanan tambahan bukan pengganti ubat preskripsi, terutamanya bagi menguruskan penyakit kronik atau isu kesihatan khusus. Langkah menangani masalah kesihatan dengan makanan tambahan dan tidak menggunakan ubat preskripsi bukan pendekatan yang betul. Suplemen seharusnya dilihat sebagai pelengkap kepada nasihat dan rawatan penjagaan kesihatan profesional dan bukannya pengganti.
Mitos 4: Makanan Tambahan dan Ubat Boleh Diambil Bersama Secara Bebas
Satu lagi salah tanggapan ialah makanan tambahan boleh diambil secara bebas bersama ubat preskripsi. Sesetengah makanan tambahan seperti ekstrak teh hijau pekat, boleh mengganggu ubat sakit jantung, manakala ramuan dalam suplemen bawang putih boleh berinteraksi dengan ubat penipis darah, mengurangkan keberkesanannya atau menyebabkan kesan sampingan yang serius. Justeru amat penting untuk terlebih dahulu menghubungi pengamal perubatan sebelum memulakan pengambilan makanan tambahan bersama ubat biasa anda.
Mitos 5: Makanan Tambahan Boleh Menggantikan Diet Sihat
Tiada suplemen yang boleh menggantikan diet yang seimbang dan berkhasiat. Makanan lengkap boleh memberikan kombinasi kompleks antara nutrien, serat dan sebatian lain yang tidak boleh dibekalkan oleh makanan tambahan. Walaupun makanan tambahan boleh menyokong kesihatan secara keseluruhan, pengambilannya harus dilakukan sebagai tambahan kepada diet yang sihat dan seimbang secara konsisten.
Pendekatan Saintifik kepada Makanan Tambahan
Sebelum anda mula mengambil makanan tambahan, sentiasa kaji pilihan suplemen anda secara kritikal. Makanan tambahan berkualiti menjalani ujian pihak ketiga dan mempunyai persijilan yang memastikan produk tersebut memenuhi piawaian ketat bagi keselamatan dan keberkesanan.
Keperluan kesihatan peribadi anda juga penting untuk menentukan makanan tambahan mana, jika perlu, yang sesuai untuk anda. Suplemen yang berkesan untuk seseorang mungkin tidak sesuai untuk orang lain. Rundingan dengan pakar penjagaan kesihatan amat penting untuk memastikan pilihan betul dibuat berasaskan profil kesihatan individu dan rawatan perubatan yang diterimanya, demi mengelakkan kesan negatif yang tidak diingini akibat interaksi antara ramuan makanan tambahan tersebut dengan ubat yang sedang diambil.
Dengan pelbagai pilihan suplemen yang ada, amat penting untuk tidak terpengaruh dengan perkataan “semula jadi” dalam keterangan produk. Sama ada produk semula jadi atau sintetik, yang penting ialah memberi tumpuan kepada kualiti, dos dan bukti saintifik. Dengan meninjau pilihan yang ada dengan teliti sambil menjalankan kajian anda sendiri dan berunding dengan pengamal penjagaan kesihatan, anda boleh membuat pilihan makanan tambahan bertanggungjawab yang membawa manfaat kepada kesihatan anda dalam jangka panjang.
Follow Us