Memaparkan catatan dengan label Astro Naura. Papar semua catatan
MIG Metrowealth merupakan sebuah syarikat penerbitan filem yang memulakan penglibatan secara langsung dalam menerbitkan filem dan drama tempatan sejak tahun 2000 sehingga kini. Berpegang pada slogan 'Bukan Janji Tapi Pasti', Metrowealth menjadi sebuah syarikat penerbitan yang prolifik yang mana telah menerbitkan lebih daripada 150 judul filem.


Diterajui oleh Mejar (K) David Teo, Metrowealth tidak hanya tertumpu pada penerbitan filem dan drama, malah turut menjalankan rangkaian perniagaan yang lain seperti pengurusan artis, pengurusan saluran rancangan televisyen, 'One Stop Centre' untuk penerbitan filem, pemasaran media sosial, pengiklanan, penerbitan rancangan reality dan banyak lagi. Metrowealth telahpun melebarkan sayap perniagaannya melalui beberapa buah negara Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Vietnam dan Brunei.


MIG buat julung kalinya berkerjasama dengan produksi penerbitan yang bertapak di Beijing China iaitu Shen Lan Time International Film untuk penerbitan sebuah program yang dikenali sebagai 'Cuisine On The Silk Road' atau dalam bahasa Melayunya 'Hidangan Laluan Sutera'. Program ini merupakan sebuah rancangan khas makanan halal yang dialih bahasa sepenuhnya kedalam Bahasa Melayu. Proses rakaman dilakukan oleh pihak MIG sepenuhnya dengan menggunakan kelengkapan proses penerbitan filem seperti studio, bilik mixing, penyunting, colour grading dan artis.


Bertapatan dengan konsep One Stop Centre yang diamalkan oleh MIG dalam penerbitan filem, begitu juga dengan proses penerbitan rancangan khas ini. Seramai 7 orang krew produksi dari pihak Shen Lan Time diterbangkan dari Beijing untuk sama-sama menjayakan proses rakaman alih bahasa ini. Sepanjang proses rakaman berlangsung, aspek komunikasi yang tidak sama sedikit menjejaskan proses rakaman namun ianya tidak menjadi satu masalah kerana pihak MIG menyediakan jurubahasa di studio.


Majlis pelancaran Rancangan Cuisine On The Silk Road, dirasmikan oleh Yang Berhormat Hajjah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama). Majlis turut dihadiri barisan kehormat seperti H.E. Bai Tian, Kedutaan Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Datuk Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, tetamu dari kedutaan China di Malaysia, jemputan-jemputan khas, rakan mediacetak dan elektronik serta artis-artis tempatan.


Cuisine On The Silk Road akan ditayangkan bermula 24 Oktober 2018 setiap hari Rabu jam 11.00 malam melalui saluran 125 Astro Naura. Program yang ditayangkan sebanyak 5 episod ini memaparkan kebudayaan, tradisi serta ramuan makanan Halal yang ada di China. Setiap espisod penonton akan disajikan dengan kepelbagaian serta keunikan makanan Halal yang dihasilkan dengan cara pembuatan yang tersendiri. Malah cara hidup masyarakat setempat serta lambakan makanan jalanan yang Halal turut dipaparkan melalui program ini.

MIG Metrowealth ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat Dato Haji Muhammad Chan dari Mohd Chan Food Sdn Bhd atas tajaan makanan pada majlis pelancaran tersebut. Juga ucapan terima kasih buat Jazznyta Rahim Makeup Artis yang turut sudi menaja solekan. Buat media cetak, elektronik serta blogger terima kasih kerana sentiasa menyokong dan pada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.