Dunia Penuh Gosip - Hari Raya Korban Dunia Penuh Gosip: Hari Raya Korban - All Post
Memaparkan catatan dengan label Hari Raya Korban. Papar semua catatan
Hari Raya Korban atau atau Hari Raya Aidiladha adalah antara hari kebesaran Islam yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya setelah berjaya menunaikan perjuangan ibadah yang cukup besar iaitu ibadah haji.


Tidak mahu ketinggalan untuk meraikan hari yang penuh hikmah dan sarat dengan kisah pengajaran ini, TV AlHijrah memilih untuk menyiarkan barisan rancangan-rancangan istimewa khas buat tontonan penonton setianya. Kembara Suci, adalah ‘tagline’ yang dipilih TV AlHijrah kali ini bagi merayakan sambutan Aidiladha 1440H.

Kembara Suci digunapakai sebagai asas penyiaran dan penerbitan kesemua rancangan istimewa Aidiladha TV AlHijrah. Ini bermaksud, rancangan-rancangan ini memaparkan kesungguhan, ketaatan, kesederhanaan dan kesyukuran hamba yang menagih kasih sayang dan keberkatan Ilahi dalam perjalanan menjadi Duyufurrahman

Antara rancangan-rancangan yang akan disajikan buat semua adalah Labbaikallah, Siaran Langsung Pertukaran Kain Kiswah Kaabah Di Mekah, Telefilem Nasi Dagang Lembu Korban dan Telefilem Animasi Arafah.

LABBAIKALLAH
Setiap Isnin-Jumaat/ 6 petang – 7 malam

Labbaikallah adalah sebuah program bual bicara interaktif perdana TV AlHijrah yang dinanti-nantikan oleh penonton setia stesen ini setiap kali tibanya musim haji. Tahun ini, penonton disajikan dengan pelbagai informasi serta  perkembangan terkini pelaksanaan ibadah Haji 1440H serta pelbagai tips dan panduan untuk Duyufurrahman.




Disiarkan secara langsung setiap Isnin hingga Jumaat, rancangan Labbaikallah tahun ini menampilkan Dato’ Dr. Izhar Ariff dan PU Rozi Harun sebagai hos rancangan yang akan membincangkan tajuk-tajuk seperti Bagai Bulan Jatuh Ke Riba, Taybah Yang Dirindui, Tiga Cara, Pohonku disahut, Tandus Tapi Mulia dan banyak lagi dalam dua puluh episod yang penuh warna warni. Istimewa, penonton juga berpeluang untuk memenangi hadiah berupa wang tunai dengan menjawab soalan kuiz terkumpul pada setiap episod rancangan.

Nasi Dagang Lembu Korban 
Sabtu / 10 Ogos 2019 / 10 malam

Telefilem istimewa Nasi Dagang lembu Korban mengisahkan Umaira, menantu Pak Hassan yang sedang hamil anak sulung secara tiba-tiba mengidam mahu menikmati hidangan nasi dagang dan rendang daging lembu sewaktu hari raya Aidiladha. Amira memberitahu dia hanya mahukan daging Johny, lembu kesayangan Pak Hassan untuk dimasak rendang.


Pak Hassan menjadi cemas lantas sanggup menyorokkan lembu kesayangannya, Johny agar tidak menjadi korban. Namun begitu, lembu kesayangannya itu tiba-tiba hilang. Usaha menjejaki Johny dilakukan secara sendirian oleh Pak Hassan. Malang sekali, bukan hanya Johny yang hilang, Pak Hassan juga hilang tanpa dapat dihubungi selama beberapa hari. Seluruh kampung heboh dengan misteri kehilangan Johny dan Pak Hassan.



Saksikan gelagat anak menantu Pak Hassan yang pastinya mencuit hati dengan pelbagai ragam dan telatah yang menghiburkan. Telefilem ini membariskan pelakon hebat tanah air seperti Shah Iskandar dan Mira Filzah Kazaruddin Saisi dan Hashimah Zaki.

SIARAN LANGSUNG PERTUKARAN KAIN KISWAH KAABAH DI MEKAH
Sabtu / 10 Ogos 2019 / 10.30 pagi - 7malam

Ramai yang pernah melihat kain kiswah namun tidak ramai yang tahu perincian kain penutup Kaabah ini serta bagaimana proses pertukaran kain kelambu Kaabah ini berlangsung saban tahun pada hari Arafah. Mahu berkongsi ilmu, TV AlHijrah memperuntukkan 8 jam siaran secara langsung untuk membawa penonton untuk sama-sama menyaksikan proses pertukaran kain kiswah Kaabah ini.

Turut diselitkan sepanjang siaran langsung ini adalah sejarah pembuatan kain kiswah, kisah pertukaran kain kiswah pada zaman sebelum kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW sehinggalah teknologi yang digunapakai untuk menyiapkannya.

TELEFILEM ARAFAH ANIMATED 
Isnin/ 12 Ogos 2019 / 10.30 pagi

Istimewa buat penonton cilik TV AlHijrah, animasi Arafah, akan disiarkan pada Selasa, 12 Ogos 2019 jam 10.30 pagi. Animasi menarik ini mengisahkan sekumpulan serangga yang berada di padang Arafah ketika musim haji. Makhluk kecil ini menjadi saksi kepada perjalanan suci umat Islam sepanjang mengerjakan Ibadah haji malahan mereka menjadi sangat arif dengan pergerakan jemaah haji serta berpengetahuan luas mengenai setiap ibadah yang dilaksakanakan. Saksikan mereka meneruskan kehidupan, mencari makanan dan bermain sewaktu musim Haji telah bermula.



Jangan lupa untuk terus setia bersama TV AlHijrah untuk menikmati siaran rancangan-rancangan istimewa  lain seperti rancangan Dikir Zikir Istimewa Aidiladha, Assalamualaikum, Konsert Ku Mohon, Halwa Jiwa, Ibrah Tanah Suci, Jejak Melayu di Haramain dan banyak lagi sepanjang cuti Aidiladha ini.