Memaparkan catatan dengan label Program Tv. Papar semua catatan
Umat Islam seantero dunia akan meraikan hari keputeraan Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W pada 12 Rabiulawal 1444H bersamaan 8 Oktober 2022 akan datang. Kecintaan dan ketaatan kepada Rasullullah adalah tuntutan agama dah harus dieksperesikan berlandaskan syariat Islam.



Tidak mahu ketinggalan di dalam usaha mendapatkan syafaat Baginda Rasullullah S.A.W, TV AlHijrah akan meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dengan menggunapakai tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran. 

Menerusi tema ini, TV AlHijrah beriltizam untuk bersama-sama Keluarga Malaysia mencintai serta memperingati tentang nilai murni, pengajaran serta dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sepanjang kerasulan Baginda.



Oleh yang demikian, sepuluh program utama akan ditayangkan bersempena sambutan istimewa ini. Program-program tersebut adalah Gema Haflah, Majlis Konvokesyen Khatam My #QuranTime, Hijrah Berselawat, Assalamualaikum Khas, Telefilem Sadaqallahul’azim, Jalinan Kasih, Dakwah Live Istimewa Maulidur Rasul, Akademi Daie Muda YADIM, Peristiwa Maulid, Studio AlHijrah dan Telefilem Sadaqallahul’azim.

Gema Haflah akan memulakan siaran pada Jumaat, 7 Oktober 2022, jam 9 malam dengan menampilkan barisan selebriti jemputan seperti Dato’ Nash, Lufya Omar, Mawi dan Hazwani Helmi. Kesemua mereka akan mengalunkan bacaan surah-surah pilihan seperti surah Al-Kauthar, Al-Mulk, Ar-Rahman, Quraish, Al-Maaun, Al-Fiil, Al-Baqarah dan Surah An-Nas dengan variasi maqam tarannum seperti Bayati, Nahawand, Hijaz, Jiharkah dan Soba.

Penggemar rancangan ladang ilmu My #QuranTime akan diraikan dengan Majlis Siaran Langsung Konvokesyen Khatam Tadabbur dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu, 8 Oktober 2022, jam 11.30 pagi. Majlis ini adalah kemuncak kepada sesi tadabbur 604 helaian Al-Quran yang telah bermula di TV AlHijrah semenjak tahun 2020.



Seterusnya, TV AlHijrah akan menyiarkan rancangan baru berjudul Jalinan Kasih pada jam 8.30 malam. Sepanjang dua episod siaran rancangan ini pada 8 dan 9 Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Bin Haji Ahmad akan turun padang menyantuni, beramah mesra serta melakukan aktiviti kerohanian bersama penghuni Penjara Kajang. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memberikan sokongan moral serta galakan untuk memperbaiki diri di masa hadapan.

Sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad diteruskan dengan rancangan Hijrah Berselawat pada jam 9 malam. Hijrah Berselawat membawakan qasidah-qasidah menarik terutamanya Humko Bulana serta Isyfaq Lana yang dilantunkan oleh Inteam, Faizal Tahir, Zaf VE, Pot Amir dan Mirwana. Penampilan istimewa, Ustaz Don Daniyal pula akan memberikan tausiyah mengenai sirah-sirah kehidupan Baginda Rasulullah.



Pada 9 Oktober, pagi Ahad penonton akan bermula seawal jam 7 pagi dengan rancangan Assalamualaikum Khas bersama Ustazah Muzayyanah Abdullah dan Ustaz Shamsul Hakim. Rancangan bual bicara pagi ini akan berkongsi kisah kepimpinan Rasulullah S.A.W sebagai panduan kehidupan seharian. 

Meneruskan siaran, telefilem Sadaqallahul’azim pula disiarkan pada jam 9 malam. Telefilem yang membariskan barisan pelakon terbaik tanah air seperti Ungku Hariz, Husna Mustaffa, Anna Dahlia, Zaidi Omar, Razak Ahmad dan Ezlynn Arifin berkisar tentang Solihin, seorang peguam yang dikenali ramai kerana banyak terlibat dengan pembelaan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan tokoh-tokoh kenamaan. Namun jauh di sudut hati, Solihin sedar bahawa kemasyhuran dunia tidak memberikan apa-apa jaminan. Hatinya kosong serta berasa kerdil kerana dia tidak tahu membaca Al-Quran. Solihin berbelah bahagi antara populariti dan tuntunan agama. Dia malu untuk belajar mengaji kerana takut popularitinya terjejas.



Dakwah Live akan disiarkan pada Rabu, 12 Oktober, jam 9 malam. Penonton akan bersama-sama Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Wasiril Aswad serta panel jemputan Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari bagi mengupas topik Rasulullah Aku Rindu. Perbincangan ilmiah ini pastinya akan menambah rasa cinta dan rindu buat Baginda.

Malam Khamis penonton akan diserikan dengan sebuah rancangan terbaik untuk tontonan seisi keluarga iaitu Akademi Daie Muda YADIM. Disiarkan bermula 13 Oktober, jam 9 malam, rancangan ini bermatlamat melahirkan ikon yang mampu menjadi tonggak tauladan buat masyarakat. Saksikan 28 orang peserta yang akan berentap secara sehat dalam merebut gelaran Daie Muda YADIM musim keempat.



Pada Sabtu, 15 Oktober, jam 9 malam, Peristiwa Maulid akan disiarkan. Rancangan ini berkonsepkan teater, nyanyian, qasidah dan penceritaan. Program ini akan menceritakan mengenai peristiwa kelahiran Nabi Muhamammad S.A.W sehingga peristiwa kewafatan Baginda. Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi akan menjadi pentausiyah di samping penglibatan artis-artis tanah air seperti, Lah Ahmad, Daqmi, Hafiz Hamidun, Lan Solo dan lain-lain.

Bagi menutup tirai kempen Maulidur Rasul di TV AlHijrah, Studio Hijrah akan disiarkan pada 17 Oktober, Isnin, jam 8.30 malam. Studio Hijrah merupakan sebuah program hiburan islamik yang memaparkan lagu-lagu ketuhanan di Malaysia dengan  genre pelbagai seperti rap, balada, pop, rock dan lain lain. Nyanyian akan disampaikan secara akustik agar lontaran dakwah dapat dibuat dengan lebih berkesan.



Siaran kesemua rancangan istimewa Maulidur Rasul di TV AlHijrah sudah semestinya mampu membantu penonton menghayati hari kelahiran Baginda S.A.W dengan lebih bermakna. Jadi, ayuh sama-sama baja rasa cinta buat Rasulullah di TV AlHijrah.








Ideal Systems hari ini mengumumkan ia telah mereka bentuk dan membina studio TV baharu di Kuala Lumpur untuk SUKE TV. Dilancarkan pada April 2022 SUKE TV ialah saluran beli-belah di rumah Free-To-Air dan saluran entrainment am di Kuala Lumpur, Malaysia. Saluran baharu itu disiarkan 24 jam, 7 hari seminggu di MYTV, platform Televisyen Terestrial Digital (DTT) nasional Malaysia serta penstriman ke peranti mudah alih di seluruh Malaysia.



Ikon hiburan Malaysia dan pengasas dan pengerusi SUKE TV Dato AC Mizal, berkata; “Sudah menjadi impian saya sebagai seorang artis untuk memiliki stesen TV sendiri, saya telah mengusahakan projek ini selama hampir 7 tahun, akhirnya dengan bantuan Ideal Systems, SUKE TV telah menjadi kenyataan kepada saya.

Studio SUKE TV terkini dan kemudahan penerbitan media direka untuk mencipta dan menghasilkan kandungan pengaturcaraan dan hiburan tempatan di studio Kuala Lumpur baharunya dan memberikan peluang unik untuk selebriti tempatan, tokoh masyarakat, pengaruh sosial, usahawan serta mikro penjual untuk mempamerkan produk mereka di SUKE TV dalam pelbagai rancangan baharu. Penonton akan dapat menonton pengaturcaraan melalui digital, dan platform dalam talian dan membuat pembelian segera melalui kod QR.



SUKE TV menganugerahkan projek itu kepada Sistem Ideal kerana Ideal boleh menyediakan kedai sehenti untuk reka bentuk dan binaan studio TV termasuk semua sistem penyiaran dan penghantaran Rangkaian TV sebagai projek kunci tunggal. Studio TV SUKE menggunakan infrastruktur NDI terkini dan kamera NDI yang disuap kembali kepada Tricaster TC1 daripada NewTek untuk menukar, merakam dan menjalankan studio maya dan dinding video LED Kslim terkini daripada Unilumin iaitu 4mX2.5m. Ideal telah menggunakan Xplayout untuk main, Xingest untuk Ingest dan YouPlay untuk main studio semuanya daripada Axel Technology dan juga menggunakan studio maya Aximmetry dan grafik 3D yang mempunyai pilihan untuk menjalankan enjin tidak sebenar yang juga didayakan NDI. Untuk penghantaran, pengekodan dan penyahkodan untuk sumbangan dan penstriman sistem akan menggunakan sistem pengekodan Kiloview SRT.

Sofiyant Neo, Pengarah Media & Kandungan Kreatif untuk Sistem Ideal berkata, “Saya telah bekerja rapat dengan Pengarah Teknologi kami Updesh Singh dan pasukannya untuk memanfaatkan teknologi terkini untuk membantu Dato AC Mizal merealisasikan impian mereka mencipta kandungan yang hebat dan memastikan pasaran impak dan kejayaan SUKE TV”.







Rangkaian siaran tempatan, SUKE TV, telah menjalinkan kerjasama bersama iQIYI, sebuah penyedia khidmat penstriman hiburan inovatif dalam talian, untuk menyiarkan kandungan SUKE TV secara eksklusif di platform iQIYI.



Sidang media dan majlis menandatangani perjanjian hari ini telah disempurnakan oleh Dato' AC Mizal, pengerusi SUKE TV; Dinesh Ratnam, Pengurus Besar iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei; Datin Emylia Rosnaida, Pengarah SUKE TV; selebriti-selebriti tempatan; dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli-ahli media.

Majlis tersebut telah menyaksikan kedua-dua pihak berkolaborasi untuk menyiarkan program-program SUKE TV di platform iQIYI untuk penonton di Malaysia dan Singapura. Melalui kerjasama ini, SUKE TV akan menjadi satu-satunya saluran TV di Malaysia dengan tab khusus di platform iQIYI. Penstriman tersebut akan tersedia secara percuma dan eksklusif untuk pengguna iQIYI. Antara kandungan terbitan SUKE TV yang boleh distrim di platform iQIYI termasuk rancangan drama bersiri Polkadot, Berita Latah, Tanya Je, Tomey Tomey, DAC PM YOU, DurianKimchi, Makan Tepi Lori, Pin Pin Sapa Tu?, Listen Up, dan Odah Billionaire. 



Perjanjian ini akan bakal membantu SUKE TV untuk terus mengukuhkan kedudukannya di Singapura, dengan menjangkau  capaian penonton yang lebih luas dan ini sekaligus akan memperkembangkan popularitinya merentasi sempadan.

“SUKE TV sangat berbangga dengan perkongsian ini dan juga dengan prospek perkembangan di luar Malaysia melalui perjanjian ini. Kerjasama ini telah terjalin pada masa yang tepat, dengan pertumbuhan perkhidmatan penyiaran selepas pandemik yang menghasilkan kepelbagaian kandungan merentas pelbagai genre. Saya yakin melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menggunakan teknologi dan kepakaran mereka untuk menghasilkan kandungan yang relevan dan lebih menarik untuk penonton. Ini adalah permulaan era baharu untuk SUKE TV, dan kami berharap untuk terus membangun dan mempelbagaikan tawaran kandungan kami dengan iQIYI,” kata Dato' AC Mizal, pengerusi SUKE TV. 

“Perkongsian eksklusif dengan SUKE TV ini mengukuhkan lagi matlamat bersama kedua-dua pihak untuk menyediakan kandungan tempatan yang berkualiti tinggi serta mempamerkan hiburan Malaysia terbaik kepada penontonnya. iQIYI sangat teruja untuk bekerjasama dengan SUKE TV, dan kami nantikan kandungan terkini dan menarik yang akan dibawa melalui jalinan ini ke platform iQIYI,” kata Dinesh Ratnam, Pengurus Besar iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei. 



SUKE TV telah menarik perhatian dunia hiburan tempatan sejak bersiaran secara rasminya pada April awal tahun ini. Dengan pelbagai kandungan inovatif merentas pelbagai genre, rangkaian itu terus menarik penonton dari seluruh negara dengan barisan kandungan mesra keluarga yang terdiri daripada komedi, drama dan banyak lagi. 

iQIYI ialah aplikasi penstriman video #1 paling banyak dimuat turun di Malaysia pada tahun 2021 dengan lebih 10 juta muat turun. Ia juga merupakan perkhidmatan penstriman yang paling pesat berkembang di negara ini dengan pertumbuhan asas pengguna sebanyak 15 kali ganda dalam tempoh dua tahun. Platform ini menyediakan pelbagai siri drama premium, filem, rancangan variasi dan anime dengan bahasa tempatan dan juga sari kata kepada penonton merentasi 191 negara.









TV AlHijrah terus komited dalam mengorak langkah memperkemaskan visi dan misinya dalam menjadi stesen peneraju utama penyampaian nilai Islam.



Terbaru, TV AlHijrah kini sedang menyiarkan sebuah program berjudul Rasulullah SAW Bersabda. Program ini adalah tajaan Yayasan Maghfirah, sebuah organisasi berdaftar secara rasmi dibawah Bahagian Hal Ehwal Undang–Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.  

Rancangan Rasulullah SAW Bersabda telah bermula siarannya pada 29 November 2021 lalu dan akan terus disiarkan pada setiap hari Isnin jam 8:30 malam, selama 10 episod siaran. Rancangan ulangannya pula akan disiarkan pada setiap Khamis, jam 5 petang.



Seperti yang diketahui umum, hadis berperanan penting sebagai sumber rujukan kedua selepas Al-Quran. Hadis juga berfungsi memperjelaskan Kalam Allah dan dilaksanakan melalui perkataan dan perbuatan Baginda Rasulullah.

Sedar akan peri pentingnya ilmu hadis sebagai sumber hukum kedua, rancangan Rasulullah SAW diterbitkan sebagai usaha mendidik masyarakat untuk menyelami ilmu hadis dengan lebih mendalam.



Secara ringkasnya, Rasulullah SAW Bersabda adalah sebuah rancangan bual bicara rohani yang meletakkan objektif utama untuk memperkenalkan masyarakat dengan ilmu-ilmu hadis.  Rancangan ini turut memberi penekanan kepada syarahan hadis yang dapat memberikan pencerahan yang lebih jelas terhadap permasalahan rakyat Malaysia pada zaman ini.

Dihoskan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, rancangan ini membawa misi besar iaitu membudayakan dakwah serta menggerakkan potensi ummah berpandukan hadis agar kita mampu menjadi khalifah terbaik di muka bumi Allah. Selain itu, ia turut melatih masyarakat untuk mengidolakan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan utama dalam kehidupan seharian.



Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi akan ditemani panel jemputan istimewa seperti Ustaz Zul Ramli Razali, Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, PU Amin, Adam Corrie, Azmi Saat dan ramai lagi bagi membincangkan tajuk-tajuk mingguan seperti Tekanan Kemiskinan, Berhemah Di Media Sosial, Berbuat Baik Kepada Bukan Islam dan pelbagai lagi.

Selain daripada rancangan Rasulullah SAW Bersabda, TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain pada bulan ini seperti Hijrahkan Laguku (Setiap Sabtu, 9 malam), Cinta Ilmu (setiap Isnin hingga Rabu, 7:30 malam), Analisis (setiap Jumaat, 6 petang), Tijarah (setiap Khamis, 5.30 petang), Syariat Tarekat Makrifat (setiap Rabu, jam 9 malam), Biografi Agung (bermula 16 Disember, setiap Khamis jam 8.30 malam) dan Gema Haflah (bermula 31 Disember, Jumaat, 9 malam).







Minggu kedua rancangan realiti hiburan Islamik terbitan TV AlHijrah iaitu Hijrahkan Laguku (HL) yang telah membuka tirai kedua pada malam tadi memberi kejutan apabila Faizal Ismail dan Bell Ngasri yang bertindak selaku hos rancangan mengumumkan kesemua lapan peserta mara ke minggu ketiga.



Keputusan ini dilihat bagaikan memahami kehendak penonton yang masih tidak puas melihat kesemua bintang HL berdakwah menerusi lirik dan melodi lagu.

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna Zulkarnaen Mokhtar berkata tiada penyingkiran bukan tanda selamat. Konsep rancangan ini masih kekal dimana hanya seorang penyanyi bakal bergelar juara HL.



"Minggu ini adalah minggu bonus kepada para peserta. Peluang tidak harus disia-siakan. Mereka perlu kembali pada minggu hadapan dengan lebih baik.

"Kami menjangkakan gaya penyampaian dakwah serta strategi menghijrahkan lagu dan melodi yang lebih mantap pada minggu seterusnya dengan tema berlainan yang pastinya lebih mencabar.



Episod kedua HL juga dilihat sedikit berbeza apabila pihak produksi menampilkan juri tambahan iaitu Hazamin Inteam.

"Minggu pertama HL dilihat sedikit tegang apabila media sosial kami dipenuhi dengan lambakan komen-komen netizen yang mahukan juri lain yang berpengalaman luas  dalam penggubahan lirik lagu ketuhanan selain Fauzi Marzuki.



"Kami yakini kredibiliti Fauzi Marzuki sebagai juri tetap. Namun kami ambil kira juga pandangan penonton yang mahukan penambahbaikan. 

"Minggu kedua dan seterusnya, kita tambah lagi seorang juri jemputan yang berpengalaman dalam rencah lirik lagu dakwah dan ketuhanan," jelas Zulkarnaen.

Bertemakan Growing Up, persembahan minggu kedua malam tadi meninggalkan kesan mendalam apabila separuh daripada artis memilih untuk membuka persembahan mereka dengan bacaan ayat suci Al-Quran serta potongan doa.



Zaf VE melantunkan doa buat ibu bapa. Shahir Zawawi pula membaca potongan ayat dari surah Ar-Rahman. Manakala Dato' Nash serta Rahmad Mega mengalunkan kalam Allah dari surah As-Shams dan Al-Baqarah.

Walau bagaimanapun, kekuatan vokal, lirik serta persembahan mantap Dato' Nash yang menyampaikan lagu Asli menambat hati juri lantas diumumkan sebagai juara persembahan dengan peratusan paling tinggi iaitu 77 peratus.



Juara mingguan membawa pulang wang tunai bernilai tiga ribu ringgit Malaysia. Namun, Dato' Nash menyumbangkan wang kemenangan tersebut kepada salah sebuah badan NGO yang akan dikunjunginya bersama pasukan CSR Hijrah Prihatin Hijrahkan Laguku iaitu Pusat Genius Kurnia.

Sementara itu, Shahir Zawawi yang menyanyikan lagu Kepadamu Kekasih mendapat markah kedua tertinggi (72 peratus) diikuti Iwan Shahman di tempat ketiga dengan lagu Solatlah Dulu (66 peratus).

Kesemua peserta diadili oleh tiga juri iaitu Fauzi Marzuki sebagai juri tetap manakala Hazamin Inteam dan Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Izhar Ariff pula sebagai juri jemputan.

Hijrahkan Laguku yang bersiaran setiap Sabtu, jam 9 malam mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Siaran ulangan HL turut boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.








Selepas sambutan menggalakkan dan respon positif penonton terhadap drama Dia Isteriku yang mengisi Slot Qalbu baru-baru ini, TV AlHijrah terus menambat hati penonton setianya dengan menyiarkan sebuah drama baharu terbitan Side Fx Sdn Bhd berjudul Ustazah Robotik.



Drama arahan Muhammad Muhammad Syuhaimi Zulkefli berjudul Ustazah Robotik ini disiarkan pada setiap hari Isnin dan Selasa, jam 6 petang bermula 8 November yang lalu. Drama 13 episod yang membekalkan mesej-mesej Islamik buat semua lapisan usia ini menggabungkan barisan artis terkenal dengan aura karakter berbeza seperti Puteri Sarah Liyana, Maisara Sufia, Zaki Azeman, Zarina Zainuddin, Esma Daniel dan ramai lagi.

Drama ini berputar sekitar kehidupan Asma yang sangat obses terhadap permainan robot.  Minat mendalam Asma ini adalah hasil pendedahan daripada ayahnya yang merupakan seorang jurutera robotik.



Malang tidak berbau, ayah Asma terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya. Kehilangan, kerinduan dan kekecewaan ibu Alya iaitu Tini terhadap peristiwa malang itu membuatkannya kurang senang terhadap minat Asma kepada robot.

Lantaran itu Asma memberontak dalam diam. Bagi Asma, berdampingan dengan robot seolah-olah ia sebagai penghilang rindu dan penghubung hatinya dengan arwah ayah tercinta. Tewas dengan kehendak Asma, Tini akur dan cuba mendorong minat Asma terhadap robot sehinggalah anak sulungnya itu berjaya menjadi jurutera robotik.



Dalam liku-liku hidupnya untuk mencapai impian, Asma jatuh hati dengan majikannya sendiri iaitu Muaz. Pada masa yang sama, ibu Muaz, Datin Sufinah menyusun rancangan menjodohkan Muaz dengan Ilya, adik Asma. 

Pertemuan tidak sengaja antara Datin Sufinah dan Ilya berlaku dalam satu majlis ilmu. Datin Sufinah jatuh hati saat melihat keayuan, kelembutan, sikap sopan dan peribadi baik Ilya yang berilmu agama.



Datin Sufinah yakin Ilya mampu mengendurkan sikap keras kepala anaknya, Muaz. Namun, Ilya menolak pinangan Datin Sufinah. Puncanya, salah satu robot ciptaan Asma bernama Adam memberitahu Ilya bahawa Asma sudah lama jatuh hati pada Muaz.

Ilya tidak sanggup merampas kebahagian kakaknya yang banyak berkorban mental dan fizikal setelah ayah mereka meninggal dunia.



Berjayakah Ilya menyatukan Asma dengan Muaz? Mampukah Ilya meyakinkan Datin Sufinah bahawa Asma adalah calon menantu terbaik serta ustazah robotik yang paling cocok untuk menjadi isteri Muaz?
Ayuh sama-sama saksikan kesudahan kisah Ustazah Robotik di TV AlHijrah. Drama ini memberikan mesej yang cukup jelas kepada penonton bahawa kita semua selaku khalifah di muka bumi yang Esa harus sentiasa memperkukuhkan pegangan agam, menguatkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar untuk menjadi yang terbaik.

Saksikan Ustazah Robotik setiap Isnin dan Selasa jam 6 petang di slot QALBU, TV AlHijrah.








Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Haji Idris Ahmad melancarkan sambutan Maulidur Rasul serta wajah baharu Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah di dalam rancangan Assalamualaikum hari ini.



Tema Manhaj Rabbani, Negara Harmoni dipilih dalam menterjemahkan lapan rancangan yang memanifestasikan kerinduan umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Sementara itu, Idris berkata kesemua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disarankan untuk saling berganding bahu mempromosikan lima Inisiatif Mantap bagi melengkapkan Keluarga Malaysia.



Gagasan yang merangkumi Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani, Pemantapan Sistem Pendidikan Islam, Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam, Inisiatif Pemantapan Institusi Masjid dan Surau dan Pemantapan Sosio Ekonomi Ummah ini bertepatan dengan apa yang dituntut di dalam ajaran Islam menerusi Maqasid Syariah.

“Empat belas agensi agama diamanahkan untuk melaporkan perjalanan Inisiatif Mantap ini agar perancangan dan pelaksanaan dapat berjalan seiring serta KPI 100 hari dapat dicapai. Setakat ini, saya sangat berpuashati dengan usaha kesemua agensi.

“Semua agensi perlu bekerja keras untuk mencari ‘Maisyah’ iaitu kehidupan, mengabdikan diri kepada Allah SWT serta pada masa yang sama meninggalkan legasi yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.” pesan beliau.



Idris turut menzahirkan harapan agar TV AlHijrah terus mencari kelainan agar stesen ini akan terus kekal menjadi pilihan rakyat.

“Masyarakat memuji siaran TV AlHijrah yang penuh bermaklumat. Maka usaha TV AlHijrah dalam menyampaikan kebaikan Islam kepada masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam harus dilaksanakan secara berterusan”.

Turut hadir pada majllis pelancaran program tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.



Beliau menzahirkan rasa syukur kerana Studio Digital TV AlHijrah telah melalui proses pembaharuan dari segi rekaan studio, set dan logo. Pembaharuan ini seiring dengan penambahbaikan kandungan rancangan yang lebih segar, mendidik, menghibur serta menjawab isu semasa menerusi penyelesaian dari perspektif Islam. 

Namanzee turut memaklumkan bahawa tradisi meraikan hari kebesaran Islam akan diteruskan pada bulan ini menerusi Kempen Maulidur Rasul.

 “Lapan seleksi rancangan istimewa akan dihidangkan kepada penonton bermula 7 Oktober 2021 sehingga 29 Oktober 2021. Manakala, kemuncak siaran yang membawa penonton memperingati sirah dan sunnah Baginda akan berlangsung pada 19 Oktober.



“Dokumentari Mosques Around The World yang memulakan siaran pada 4 Oktober, Isnin hingga Rabu jam 4 petang harus ditonton kerana ia adalah perkongsian maklumat tentang kepelbagaian masjid-masjid seluruh negara serta kajian tentang unsur budaya masjid sesebuah negara. 

Namanzee berkata, penonton juga tidak harus ketinggalan menonton Cinta Ilmu Istimewa Maulidur Rasul pada 18 hingga 20 Oktober, jam 7.30 malam. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim serta beberapa panel lain akan membincangkan topik keunggulan Baginda SAW, Perjuangan Rasulullah dan Kelebihan Umat Akhir Zaman.

“Selain itu, kami siarkan Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober, Selasa jam 9 malam. Konsert ini adalah simbolik curahan kasih dan kerinduan terhadap Baginda Nabi. Rancangan ini mengabungkan elemen bacaan Al-Quran, persembahan qhasidah, selawat buat Baginda serta monolog, sajak dan tausiyah. Antara personaliti tanah air yang akan kita tampilkan adalah kumpulan Raihan, Kumpulan Zayne, Daqmi, Naqiu, Ustaz Wadi Annuar, Ustaz Jafri Abu Bakar dan ramai lagi.



Antara rancangan istimewa lain adalah Sambutan Maulidur Rasul pada 18 Oktober jam 9 malam, Siaran Langsung Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia pada 20 Oktober jam 4.30 petang, Di Ambang Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober jam 6 petang, Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan pada 26 Oktober jam 9 malam dan Gema Haflah pada 30 Oktober jam 9 malam.







Slot Qalbu di TV AlHijrah sedang menyiarkan drama bersiri ketiga semenjak ia dilancarkan Jun 2021 lalu. Drama Dia Isteriku telah memulakan tayangannya pada 13 September lalu, setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang.



Drama 13 episod ini adalah kisah duri dalam daging di dalam keluarga Helmi dan Aisyah. Segalanya bermula apabila Elisha, anak kandung Aishah hasil perkahwinan terdahulu bersama Bahar datang tinggal bersama ibunya disebabkan Bahar dihantar bertugas ke Afrika Selatan.

Elisya mengalami sedikit kejutan budaya dan mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri. Manakan tidak, sewaktu tinggal dengan bapanya, hidup dia agak bebas dan dia tidak mempedulikan hukum hakam agama.

Suasana amat berbeza di rumah ibunya. Helmi dan Aishah mementingkan suasana kehidupan Islam dan penuh kasih sayang. Ini membuatkan Elisya rasa terkongkong dan memberontak.



Namun begitu, Helmi dan Aishah tidak pernah berbagi kasih sayang. Sebagaimana mereka mengasihi anak kandung mereka Ikhwan, begitu mendalam juga perhatian dan layanan diberikan kepada Elisya. Namun begitu, didikan dan kasih sayang Helmi disalah tafsir oleh Elisha. Dalam diam dia jatuh cinta dengan bapa tirinya. Dia berusaha berubah mengikut corak hidup sebagai muslimah sejati untuk menarik perhatian Helmi. Bukan itu sahaja, Elisya juga mula bertudung, menjaga solat dan jarang keluar rumah.

Perubahan sikap Elisya itu mengejutkan ramai kawan-kawannya terutamanya kawan baiknya Intan. Mereka tidak menduga Elisya yang selama ini begitu benci hidup terkongkong bertukar menjadi muslimah sejati.

Elisya tanpa segan silu memberitahu Intan bahawa dia berubah disebabkan bapa tirinya. Dia kini terpikat dan jatuh cinta dengan perawakan dan perwatakan Helmi. Keadaan bermula tegang apabila cerita Elisya terpikat dengan bapa tirinya mula tersebar dan menjadi gosip hangat sehingga menjejaskan hubungan Aisyah dan Helmi.



Dugaan demi dugaan berlaku terhadap keluarga Helmi dan Aishah. Kemuncak, tatkala Helmi menjelaskan kepada Elisya bahawa dia menyayangi Elisya seikhlas hati sebagai seorang bapa, Elisya bertindak nekad menjadi duri dalam daging dengan menyebarkan fitnah bahawa Helmi cuba berbuat tidak baik terhadap dirinya.

Aisyah percaya dengan fitnah Elisya. Bahar pula kononnya atas tanggungjawab sebagai bapa membuat laporan polis sehingga menyebabkan Helmi ditahan polis. Helmi tabah dan tetap menafikan segala tuduhan itu. Elisya yang bangga dapat membalas dendam terhadap Helmi secara tidak sengaja memberitahu Intan bahawa sesiapa yang menolak kehendak dan keinginan dirinya pasti akan menerima padah.

Mampukah Helmi membersihkan nama baiknya sekaligus membebaskan dirinya dari tahanan pihak polis? Adakah Aishah sanggup menerima Helmi kembali? Bagaimana pula Bahar berhadapan dengan anak kesayangannya Elisya setelah perkara sebenar terbongkar?



Jangan lupa untuk sama-sama menyaksikan drama Dia Isteriku terbitan Sha’s Media Sdn.Bhd yang diarahkan oleh Mazri Mustafa dan bagi mengetahui kesudahan kisah kisah peritnya fitnah dan manisnya sabar dalam kehidupan berkeluarga. Drama Dia Isteriku dilakonkan barisan pelakon hebat tanahair seperti Rozita Che Wan, Hafidz Roshdi, Shalma Eliana, Dato Fizz Fairuz dan ramai lagi.






TV AlHijrah terus melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan demi memastikan rancangan keagamaan yang membangun jiwa dapat dinikmati semua segmen masyarakat Malaysia.



Baru-baru ini TV AlHijrah telah membuat eksperimentasi dengan meletakkan jurubahasa isyarat bagi menyantuni masyarakat Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

Percubaan pertama telah dilaksanakan Julai lalu menerusi rancangan My #QuranTime. Program tadabbur Al-Quran ini disiarkan secara langsung selama satu jam iaitu bermula jam 12 tengahari hingga 1 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris memaklumkan bahawa TV AlHijrah adalah stesen televisyen pertama negara yang menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi rancangan agama.



“Saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan Yayasan Pendidikan Al-Quran Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah menugaskan salah seorang Felo Daie Pekak USIM, Azlina Mohamed Isa sebagai penterjemah bahasa isyarat.

“Beliau bukan sahaja menterjemah apa yang sedang dibincangkan olah panel rancangan My #QuranTime seperti kebiasaan yang dilakukan oleh penterjemah bahasa isyarat di stesen lain, tetapi beliau turut menterjemah ayat-ayat suci Al-Quran yang dilantunkan qari iaitu Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Ahmad Termizi Haji Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman. 

“Jadi di sinilah terletaknya keunikan stesen kami. Usaha ini memerlukan kepakaran, pemahaman serta penghayatan yang sangat tinggi.



“Tiada ruang untuk sebarang kesilapan kerana kita sedang menterjemahkan kalam Allah. Saya melihat penambahbaikan yang TV AlHijrah laksanakan ini sebagai hadiah istimewa buat rakan-rakan kurang upaya kategori pendengaran.

Tambah Namanzee, setelah kejayaan My #QuranTime, kesemua program musim baru di slot Deen yang dijadualkan siarannya Oktober depan adalah mesra OKU pendengaran.

Antara rancangan di slot Deen siaran 7.30 malam yang akan mempunyai jurubahasa isyarat adalah Cinta Ilmu dan Tawajjuh.



Kemudiannya akan diikuti oleh semua rancangan lain seperti Ngaji On The Go, Riwayat Akhir Zaman, Bila Hijab Terbuka, Kembara Masyar, Hakikat Takikat Makrifat dan E-Kaunter Netizen.

“Saya seru semua masyarakat OKU pendengaran untuk menonton TV AlHijrah. Kita sama-sama jadikan stesen ini sebagai ladang ilmu yang akan dituai hasilnya di akhirat nanti Insyaallah”, jelas Namanzee.

Penterjemah bahasa isyarat Azlina Mohamed Isa berkata kemunculannya di TV AlHijrah sangat disenangi rakan-rakan Orang Kurang Upaya (OKU) terutama kategori Orang Pekak. 

“Saya mengambil serius amanah yang diberikan TV AlHijrah ini kerana saya adalah suara rakan-rakan OKU pekak. Ini adalah jihad saya untuk menyebarkan dakwah melalui penterjemahan kandungan Islam di televisyen secara tepat, mudah difahami dan menarik.



“Pada waktu ini, isyarat berkaitan Al-Quran masih tidak banyak. Jadi saya perlu pantas berfikir dan memastikan apa yang saya terjemahkan tepat dengan bait-bait Al-Quran, kandungan rancangan serta apa yang diutarakan oleh para asatizah. 

Selaku salah seorang Felo Daie Pekak USIM, beliau tidak melihat cabaran menterjemah bahasa Al-Quran sebagai limitasi untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat OKU. Ini kerana beliau mengambil rujukan isyarat terjemahan Al-Quran dari pelbagai negara Arab sebagai panduan serta mengubahsuai mengikut konteks budaya komuniti OKU pendengaran di Malaysia.

“Menterjemah Al-Quran menggunakan bahasa isyarat adalah satu cabang ilmu yang harus diterokai demi pembangunan ummah. Semoga usaha TV AlHijrah meraikan komuniti orang kelainan upaya (OKU) pendengaran di Malaysia ini memanfaatkan mereka, jelasnya.







Semangat cintakan tanah air tidak sesekali akan luntur walau badai COVID-19 melanda negara. Malahan, ujian sebegini seharusnya merapatkan ukhuwah dan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat di negara kita.



TV AlHijrah mengajak seluruh segmen masyarakat untuk menonton siaran rancangan istimewanya sepanjang Kempen Merdeka berlangsung bermula 23 Ogos 2021 hingga 16 September 2021 akan datang.

Antara hidangan rancangannya adalah Pusaka Kita Maruah Kita, Malaysia #QuranHour, Ulama Kemerdekaan, Jauhari Merdeka, E-Kaunter Netizen Istimewa Merdeka, La Tahzan Istimewa Merdeka dan Assalamualaikum Khas Merdeka dan Hari Malaysia.



Kesemua barisan rancangan Kempen Merdeka ini memupuk semangat cintakan negara serta menterjemahkan solidariti dan perpaduan. Pusaka Kita Maruah Kita adalah sebuah program dokumentari yang disiarkan selama 13 episod pada setiap Rabu, jam 9 malam.

Dokumentari ini diterbitkan dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta diarahkan oleh Areel Abu Bakar, pengarah berbakat yang pernah memenangi Anugerah Daniel A.Craft Festival Filem Asia New York. Beliau juga adalah pengarah bagi filem Geran yang ditayangkan di TV AlHijrah tahun lalu.



Para pencinta seni bela diri silat harus menonton dokumentari ini kerana selain mengangkat nilai budaya beracuankan tradisi, mereka juga berpeluang untuk mengenali 13 jenis silat Melayu, 13 senjata orang Melayu serta 13 tokoh orang lama dalam ilmu persilatan Melayu.

TV AlHijrah turut menyiarkan Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos, jam 12 tengahari bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64.Selama satu jam siaran, agenda berinteraksi dengan Al-Quran membawakan formula bagi menyembuh dan merawat Malaysia dengan solusi daripada Ilahi melalui Surah Al-Mulk dan juga tujuh Surah Musabbihat.



Sekiranya mahu mengetahui tentang biografi tokoh agamawan Melayu, ayuh sama-sama saksikan Ulama Kemerdekaan siaran Isnin dan Selasa, jam 7.25 malam.

Selain berkongsi tentang biografi 13 ulama Melayu seperti Tok Kenali, Tok Ku Paloh, Kiyai Haji Salleh, Tuan Guru Haji Zainal Abidin dan ramai lagi, kapsul infografik ini turut memaparkan kisah peranan mereka dalam menyebarkan dogma Islam dan perjuangan memerdekakan tanah Malaya.



Dokumentari Jauhari Merdeka sedikit berbeza. Jika rancangan Ulama Kemerdekaan disiarkan dengan penampilan 13 tokoh ulama Melayu, rancangan Jauhari Merdeka pula memberi fokus kepada kisah perjuangan Sheikh Abdullah Fahim.

Selain keunggulannya dalam bidang falak, nama beliau juga tercatit di dalam lipatan sejarah sebagai figura yang mencadangkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Rancangan ini bersiaran pada 31 Ogos, jam 5 petang.



Seterusnya, tiga program sedia ada yang digemari penonton akan menyiarkan episod istimewa merdeka iaitu E-Kaunter Netizen Merdeka, La Tahzan Istimewa Merdeka dan Assalamualaikum Khas Merdeka dan Hari Malaysia.

E-Kaunter Netizen Merdeka disiarkan pada 31 Ogos, 7.30 malam. Syamsul Debat sebagai hos akan bersama-sama dengan Datuk Ziela Jalil, Anne Abdullah dan Liza Abdullah dalam berkongsi rasa dan erti kemerdekaan.



La Tahzan Istimewa Merdeka bersama Abby Fana dan Faizal Ismail akan membincangkan tajuk Merdekakah Kita tepat jam 9 malam, 31 Ogos akan datang.

Assalamualaikum Khas Merdeka dan Hari Malaysia siaran 31 ogos dan 16 September, jam 7 hingga 9.30 pagi pula akan membawa tema Malaysia Prihatin dari sudut pandang Al-Quran. Turut dimuatkan juga panggilan menerusi aplikasi Skype bersama frontliner dan karyawan yang terkesan dek COVID-19.

Selamat menonton dan ayuh raikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bersama TV AlHijrah.








Ramadan tahun ini sudah hampir tiba ke penghujungnya. Umat Islam seluruh pelusuk dunia kini berlumba-lumba melakukan pecutan akhir dalam melipatgandakan amalan pada sepuluh malam terakhir bulan yang mulia ini.



Tidak mahu ketinggalan, TV AlHijrah mengajak penonton setianya untuk memanfaatkan fasa terakhir Ramadan ini dengan sama-sama mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran menerusi sebuah program khas iaitu Khatam Al-Quran Perdana.

Khatam Al-Quran Perdana adalah sebuah rancangan yang akan disiarkan secara langsung pada Ahad, 27 Ramadan 1442H bersamaan 9 Mei 2021. Rancangan ini akan membawa penonton untuk sama-sama bertadarus melengkapkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang telah mula dilakukan bermula awal Ramadan yang lalu.



Rancangan ini diterbitkan sebagai kemuncak kepada kesemua rancangan-rancangan istimewa Ramadan yang disiarkan di TV AlHijrah dengan mengangkat tema Andai ini Ramadan Terakhir.

Apa yang menarik, rancangan ini dijangka bakal melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya ia akan disiarkan terus menerus selama dua belas jam siaran bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.



Paling istimewa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan hadir ke Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah untuk menyertai kemuncak Khatam Al-Quran Perdana yang dijadualkan bermula selepas waktu Asar. Selain sama-sama mengalunkan kalam Ilahi, beliau juga akan menyampaikan tazkirah serta membaca doa kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia.

Program Khatam Al-Quran Perdana akan membariskan gabungan Qari tempatan dan selebriti tanah air dalam mengalunkan bacaan suci Al-Quran seperti Sheikh Mahmoud Al-Wosabi, Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Tirmizi Ali, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Nabil Ahmad dan Dr. Ahmad Sanuzi Azmi.
Selain itu, Zizi Kirana, Amie Sofia, Diana Amir, Farah Diana Anuar, PU Rozi Harun, Chef Nabil Salleh turut sama mengambil bahagian.



TV AlHijrah menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk menonton siaran langsung rancangan Khatam Al-Quran Perdana ini. Bagi penonton yang berminat untuk menyumbangkan bacaan, mereka boleh turut serta dalam rancangan ini secara maya menerusi aplikasi Zoom. Maklumat lanjut tentang penyertaan boleh didapati di laman sesawang TV AlHijrah www.tvalhijrah.com.

Jadi, jangan ketinggalan untuk menonton rancangan ini. Ayuh kita sama-sama hidupkan malam-malam akhir Ramadan dengan bacaan Al-Quran, zikrullah, qiamullail dan doa munajat.