Protein sering dikaitkan dengan atlet, rutin senaman di gim atau sasaran berat badan, tetapi peranannya dalam tubuh kita jauh melangkaui prestasi semata-mata. Bagi orang dewasa yang aktif, protein merupakan asas harian yang menyokong kekuatan, tenaga, pemulihan dan kesejahteraan keseluruhan. Sama ada seseorang kerap berlatih, kekal aktif melalui pekerjaan, atau sekadar ingin berasa lebih kuat dan berdaya tahan, pengambilan protein yang konsisten memainkan peranan penting dalam menyokong gaya hidup aktif.
Protein Di Luar Gim
Menurut Dr. Krissy Ladner, Pengarah Prestasi Sukan dan Pendidikan Pemakanan di Herbalife, protein menyediakan blok binaan yang diperlukan untuk mengekalkan dan membaiki tisu otot.
“Setiap kali kita bergerak, mengangkat berat, berjalan atau bersenam, serat otot menghadapi tekanan. Protein membantu badan pulih daripada tekanan tersebut dan menyesuaikan diri dengan mengekalkan jisim otot tanpa lemak. Proses ini beransur menyokong kekuatan fizikal, daya pergerakan dan kesihatan metabolisme, yang semunya penting untuk kekal aktif pada apa jua peringkat usia,” jelas Dr. Ladner.
Protein juga menyokong kesihatan metabolisme. Jisim otot tanpa lemak ialah tisu yang aktif dari segi metabolik, dan dengan itu memainkan peranan dalam cara badan menggunakan tenaga. Menyokong fungsi otot menerusi pengambilan protein yang secukupnya membantu mengekalkan metabolisme yang sihat dan menguruskan berat badan dalam jangka panjang apabila digabungkan dengan pemakanan seimbang dan pergerakan yang kerap.
Pengambilan Konsisten Sepanjang Hari Penting
Salah satu salah tanggapan umum ialah protein hanya penting selepas senaman berat atau apabila seseorang mahu menambah jisim otot. Hakikatnya, badan kita mendapat paling banyak manfaat apabila protein diambil secara konsisten sepanjang hari. Garis Panduan Diet Malaysia 2020 menekankan bahawa kekurangan protein boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia, sama ada akibat pemakanan yang tidak seimbang atau masalah kesihatan. Keadaan ini boleh menjejaskan tumbesaran,melemahkan sistem imun serta menyebabkan kehilangan jisim otot. Akibatnya, risiko bantut dalam kalangan kanak-kanak dan kerapuhan fizikal dalam kalangan warga emas turut meningkat .
Pengambilan protein dalam setiap waktu makan membantu mengekalkan tahap tenaga yang stabil, menyokong pemeliharaan otot dan mengawal selera makan. Makanan yang mengandungi protein secukupnya lebih mengenyangkan dan mengurangkan jurang tenaga yang boleh berlaku apabila makanan mengandungi terlalu banyak karbohidrat terproses sahaja.
Pendekatan ini juga menyokong pemulihan daripada tekanan fizikal harian. Menggandingkan protein dengan karbohidrat selepas melakukan aktiviti membantu mengembalikan simpanan tenaga sambil menyokong pemulihan otot. Jika diamalkan secara konsisten, tabiat ini boleh meningkatkan daya tahan tubuh dan mengurangkan rasa sakit otot, sekali gus memudahkanuntuk kekal aktif.
Memilih Kualiti dan Kepelbagaian
Pengambilan protein yang berkualiti dan terpelbagai amat penting. Protein berasaskan haiwan yang rendah lemak seperti ikan, ayam, telur dan hasil tenusu rendah lemak menyediakan asid amino penting dalam bentuk yang sangat biotersedia. Pilihan berasaskan tumbuhan seperti kekacang, makanan bersumberkan soya, kacang-kacangan, biji-bijian dan bijian penuh menyumbang kepada bekalan protein dan juga serat dan fitonutrien. Menggabungkan pelbagai sumber membolehkan kita memenuhi keperluan sambil menyokong kualiti diet keseluruhan.
Usaha memenuhi keperluan protein menerusi sajian harian sahaja kadang kala sukar dalam jadual kehidupan moden. Pagi yang sibuk, hari kerja panjang dan corak pemakanan yang prihatin terhadap pengambilan kalori boleh menimbulkan jurang. Snek protein, minuman smoothie dan shake yang mudah diambil boleh membantu menyokong bekalan tanpa memerlukan pengambilan jumlah besar atau kalori berlebihan, terutamanya pada hari kita sibuk dan mengejar atau makan lewat.
Protein dan Penuaan
Sambil usia semakin lanjut, badan kita secara semula jadi menjadi kurang cekap untuk mengekalkan jisim otot, proses yang boleh bermula seawal pertengahan umur. Kemerosotan beransur-ansur ini boleh menjejaskan kekuatan, keseimbangan, dan daya pergerakan jika tidak ditangani. Pengambilan protein konsisten membantu menyokong pengekalan dan pembaikan otot, yang memainkan peranan kritikal untuk kekal aktif, berdaya tahan dan berdikari seiring peningkatan usia.
Usaha mengekalkan otot tanpa lemak bukan sahaja berkaitan dengan prestasi; hakikatnya menyokong fungsi harian. Aktiviti mudah seperti menaiki tangga, mengangkat barang dapur atau berjalan kaki dan berdiri memerlukan kekuatan otot. Protein yang secukupnya, digabungkan dengan pergerakan yang kerap membantu badan kita menyesuaikan diri kepada tekanan fizikal dan mengekalkan keupayaan fungsi sepanjang hayat kita.
Kesimpulan
Walaupun pengambilan protein yang disarankan ialah sekitar 0.83 g/kg berat badan/hari , matlamat pengambilan protein bukannya secara berlebihan, terhad atau mencapai kesempurnaan. Kuncinya ialah mengamalkan secara konsisten. Pilihan yang dibuat setiap hari, seperti menambah protein dalam sarapan, mengimbangi sajian dan merancang lebih awal untuk hari-hari yang sibuk akan memberi kesan besar dalam jangka masa panjang.. Protein bukan sahaja untuk atlet atau mencapai matlamat khusus. Protein merupakan nutrien harian yang menyokong pergerakan, pemulihan dan kecergasan jangka panjang. Apabila yang diambil secara konsisten dan seimbang, protein berkesan menyokong kehidupan yang aktif dan cergas.



0 comments: