Dunia Penuh Gosip - AJL 40 Dunia Penuh Gosip: AJL 40 - All Post
Memaparkan catatan dengan label AJL 40. Papar semua catatan
Juri sepakat telah memilih lagu Tiwikarma sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40. Ini sekali gus menepati ramalan apabila persembahan penuh dramatik dan teatrikal mereka berjaya memikat hati juri pada malam kemuncak acara berprestij itu, di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.



Lagu ciptaan komposer Zai Hamzah dan Hemo Globin dengan lirik oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam itu mengetepikan sembilan buah lagu lain yang turut sama bersaing dalam malam kemuncak tersebut.

Kemenangan ini membolehkan kumpulan K.O.I membawa pulang hadiah utama RM100,000 beserta trofi.

Tempat kedua dimenangi lagu Tak Adil dendangan Aisha Retno ciptaan bersama Aisha Retno & Radi serta lirik Aisha Retno berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.



Manakala, lagu Lumangad Oku Dika nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Ryenald Guntabid meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM30,000 serta trofi.

Trofi Vokal Terbaik menjadi milik Marsha Milan menerusi Tangisan Seorang Pendosa, sekali gus melayakkan penyanyi itu membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Tidak kurang mencuri perhatian, Aina Abdul diangkat sebagai penerima Persembahan Terbaik dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee menerusi lagu Kamu selepas tampil dengan konsep gunung berapi penuh dramatik.

Lebih manis, Aina turut diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Asia Song Contest 2026, sekali gus mencipta sejarah sebagai wakil sulung negara dalam edisi pertama pertandingan berkenaan.

Lagu lain yang turut sama bertanding pada malam AJL40 adalah Cak Cak Cekuk – Wani Kayrie, Ke Mana Ni – Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik, Semacam Pandora – Hazama, Lemah – Dayang Nurfaizah dan Nurcinta – Amir Masdi.