Dunia Penuh Gosip - Madani Dunia Penuh Gosip: Madani - All Post
Memaparkan catatan dengan label Madani. Papar semua catatan
Bukan di dewan. Bukan di pentas mewah. TV AlHijrah memilih masjid, tempat ibadah dan penyatuan ummah, sebagai lokasi sambutan ulang tahun ke-15 perjuangan penyiaran Islamnya.



Buat julung kalinya, ulang tahun TV AlHijrah diraikan dalam suasana terbuka bersama masyarakat menerusi Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025. Acara ini akan berlangsung pada 27 hingga 29 Jun 2025 di Masjid Jamek Beserah, Kuantan, Pahang.

Kemuncak sambutan akan diadakan pada malam Jumaat, 27 Jun 2025 menerusi program siaran langsung eksklusif Hijrah Berselawat dari pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam. Program ini menghimpunkan elemen selawat, tausiyah dan persembahan seni Islamik yang menyentuh jiwa. Ia dikendalikan oleh dua pengacara utama, Syamsul Debat dan Shamsul Ghau-Ghau, dengan pendekatan santai namun penuh dengan mesej dakwah.



Barisan pendakwah yang akan mengisi program termasuk PU Rozi Harun, Ustaz Tariq Jaffri, Ustaz Hassan Basri Ali, Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali dan Ustaz Nadir Al Nuri. Persembahan selawat dan nasyid pula akan disampaikan oleh Al-Maqari, Lah Ahmad, Zaff VE dan Usop Kopratasa. Gabungan ini dijangka mewujudkan suasana rohani yang menginsafkan serta memperkukuh semangat hijrah dalam kalangan penonton dan pengunjung.

Selain program siaran langsung, TV AlHijrah turut menyediakan reruai interaktif sepanjang tiga hari karnival. Reruai ini menjadi platform interaksi dua hala antara stesen dan masyarakat. Antara pengisian menarik ialah sesi pertemuan bersama personaliti TV AlHijrah, kuiz keagamaan, permainan silang kata jawi serta edaran cenderamata eksklusif sempena ulang tahun ke-15.



Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris menyatakan bahawa sambutan ini mencerminkan pendekatan baharu TV AlHijrah dalam menyantuni masyarakat.

Kami tidak menyambut ulang tahun ini di tempat tertutup atau hanya bersama warga dalaman. Kami memilih untuk bersama masyarakat Indera Mahkota dalam suasana yang memperkukuh ukhuwah dan nilai Islam. Inilah wajah sebenar TV AlHijrah. Kami berdakwah melalui pendekatan yang mendidik, menyentuh dan merakyat.

Lima belas tahun ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada peranan yang lebih besar. TV AlHijrah akan terus berkembang bukan sahaja sebagai penyiar, tetapi sebagai pemudah cara kepada masyarakat dalam membina kefahaman Islam yang progresif, rahmah dan menyatu. Kuncinya ialah kami perlu kekal dekat dengan ummah.



Kami sajikan kepada masyarakat yang hadir di Karnival Al-Falah MADANI dan juga penonton di rumah program Hijrah Berselawat yang akan berlangsung pada 27 Jun ini jam 9 malam. Program ini sangat istimewa kerana ia bukan sekadar siaran langsung. Ia adalah malam muhasabah, kebersamaan dan kesyukuran terhadap sebuah perjuangan dakwah yang kini memasuki usia 15 tahun. 

“Saya yakin Hijrah Berselawat akan menjadi malam kebersamaan yang menghimpunkan suara dakwah, selawat dan seni Islami dalam satu medan jiwa. Kami mahu rakyat rasai dakwah ini secara langsung. Semua bukan hanya menonton, tetapi menghayati,” jelas beliau.

Karnival Al-Falah MADANI yang diadakan bersempena sambutan Maal Hijrah 1447 Hijrah turut menampilkan pelbagai program melibatkan tokoh agama, selebriti dakwah, kuliah perdana, rakaman Forum Hal Ehwal Islam, Jelajah MADANI Ulama dan Umara, sesi bantuan komuniti serta aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan. 



Program ini dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh negeri Pahang dan kawasan sekitarnya, menjadikannya antara acara komuniti Islam terbesar di Pantai Timur tahun ini.

TV AlHijrah menjemput seluruh masyarakat hadir memeriahkan karnival ini. Bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai sebahagian daripada semangat hijrah.









Dakwah dan kreativiti merupakan dua elemen penyiaran yang sangat sinonim di TV AlHijrah dalam usaha mengurus dan membangunkan masyarakat MADANI yang celik rohani.



Terbaru, sebuah rancangan kerohanian berjudul Pesan disiarkan di TV AlHijrah untuk memastikan dakwah di media massa kekal segar dan relevan. Rancangan ini juga adalah inisiatif bagi membantu masyarakat Malaysia khususnya, mengenali Islam dari sudut pandang yang lebih mudah.

Pesan disiarkan pada setiap Jumaat, jam 6.30 petang selama 13 episod siaran. Sepanjang 30 minit rancangan ini disiarkan, penonton akan ditemani Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, seorang figura hebat dalam bidang dakwah, yang juga merupakan sosok ilmuwan hebat kelahiran Kelantan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, TV AlHijrah amat komited dalam memastikan cabang ilmu akidah, fiqah, ibadah dan akhlak disebarkan secara lebih meluas. 



Dalam meniti arus kemodenan, pendekatan dakwah perlulah seiring dengan persekitaran supaya penyampaian dakwah sentiasa dilaksanakan mengikut dan kehendak al-Quran dan al-Hadith.

“Oleh yang demikian, rancangan ini dilihat mampu menjadi inisiatif untuk membangunkan kesedaran ummah supaya terus mematuhi segala syariat yang diketengahkan oleh Islam. 

“Pada masa yang sama, Pesan memberi inspirasi kepada kita untuk menjadi insan yang lebih baik, yang sentiasa menyampaikan ilmu, dakwah & pesanan dalam menghadapi cabaran semasa dan menjalani kehidupan seharian,” jelas Namanzee.



Menurut Namanzee lagi, rancangan yang menggunapakai konsep dakwah bil hikmah ini akan mengupas  topik-topik menarik serta menyubur fikrah Islam seperti Hebatnya Dirimu dengan Kalimah Lailahaillallah, Rezeki Ketentuan Allah, Uruskannya dengan Usaha, Ikhtiar, Doa, Tawakal, Mulakan Dakwah dengan Tumpuan kepada Akidah, Mengingati Mati Meningkatkan Motivasi untuk Berbuat Baik, Indahnya Islam untuk Umat Manusia, Letakkan Dunia di Tangan dan Bukan di Hatimu, Tanamkan Sabar dalam Memperbaiki Diri, Islam Itu Mudah, Elakkan Dakwah Menjadikannya Sukar dan banyak lagi tajuk menarik lain.

Di akhir setiap episod rancangan, kita mahu penonton tidak menjauhi agama Islam malah bersama-sama menyebarkan kebaikan buat manusia dan menjauhkan kemudaratan baik dalam urusan agama mahupun keduniaan.

“Mudah-mudahan Pesan menjadi salah satu program dakwah pilihan nombor satu penonton Malaysia dan menjadi asbab untuk kita semua memperbaharui niat untuk menjadi seseorang yang mulia disisi Allah dan Rasul,” akhiri Namanzee.