Rancangan Baru Di TV AlHijrah APE CERITA KOME?

Nama Kazim Elias bukan lagi asing sebagai pendakwah hebat di Malaysia. Jika dahulu, beliau diberi kepercayaan oleh TV AlHijrah untuk mengemudi rancangan 30 minit bersama Ustaz Kazim Elias, kali ini TV AlHijrah meletak sepenuh keyakinan bahawa rancangan baru dengan judul APE CERITA KOME? kendalian Datuk Ustaz Kazim Elias bakal menjadi penanda aras baru kandungan ceramah eksklusif kontemporari.


Rancangan APE CERITA KOME? disiarkan di TV AlHijrah selama 16 episod siaran bermula pada 7 November 2016, setiap Isnin dan Selasa, jam 9 malam Rancangan APE CERITA KOME? dilihat sebagai salah satu inisiatif pihak TV AlHijrah dalam mengetengahkan rancangan edu-tainment, iaitu rancangan berbentuk kuliah agama menerusi medium penyampaian yang santai dan mudah diterima serta diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat.


Manakan tidak, Datuk Ustaz Kazim Elias dengan gaya bersahaja menggunakan pendekatan talaqqi berkitab, mengupas tajuk perbincangan bersama penonton yang hadir untuk menonton dan bertanyakan soalan. Kitab Muhimmah & Mawa'idz al Badi'ah menjadi rujukan utama Datuk Ustaz Kazim Elias dalam setiap episod rakaman yang dijalankan di beberapa tempat iaitu di Pusat Pengajian Al-Barakah, Masjid Annur Batu 8 Ulu Kinta Perak dan juga di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, Dato & Seri Di Raja Dr. Zambry bin Abdul Kadir.


Datuk Ustaz Kazim Elias terkenal kerana mempunyai personaliti yang kuat dengan elemen humor terkawal. Beliau bertutur dan menjawab sebarang persoalan penonton penuh hikmah. Oleh yang demikian, kupasan tajuk perbincangan yang berkisar sekitar adab kekeluargaan, hubungan suami isteri, kelebihan & kekurangan dalam sebuah rumah tangga dengan penggunaan loghat perak dilihat amat dekat di hati orang ramai dan berkesan dalam menyampaikan ilmu.


Antara tajuk-tajuk menarik sepanjang 16 episod siaran ini adalah Status Suami Isteri? Kasih Suami? Kewajiban Isteri? Sampai ke Jannah? Adab Lazim Isteri? Kecuaian Suami? dan banyak lagi. Episod pertama mendapat respons hangat penonton menerusi komen-komen membina di laman sesawang TV AlHijrah dan juga di Facebook


Keupayaan beliau mengupas tajuk Isteri Nusyuz? disampaikan secara bergurau tetapi halus menikam. Turut disentuh, solusi dan cadangan untuk memperkemaskan lagi institusi kekeluargaan. TV AlHijrah meletak keyakinan bahawa rancangan APE CERITA KOME? ini mampu menjadi satu medium dan landasan untuk para penganut agama Islam lebih memahami dan mendalami tentang agama Islam.






0 comments: