Memaparkan catatan dengan label Jabatan Alam Sekitar. Papar semua catatan
Jabatan Alam Sekitar Selangor dengan kerjasama Mondelez International (Malaysia) telah menganjurkan program menanam pokok bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2019 peringkat negeri Selangor yang telah diadakan di SK Seksyen 27 Shah Alam.


Program yang diadakan buat julung kalinya di negeri Selangor bagi Jabatan Alam Sekitar dan Mondelez Malaysia ini amat bertepatan dengan tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang ditetapkan oleh United Nations Environment Program (UNEP) iaitu ‘Beat Air Pollution’.

Tema yang membawa pesanan yang jelas kepada semua komuniti dan masyarakat supaya semua pihak dan individu memainkan peranan dalam memastikan dunia menjadi lebih sihat dan baik untuk didiami.

Bertepatan juga dengan pemilihan sekolah SK Seksyen 27 Shah Alam dimana ianya terletak di kawasan yang berhampiran dengan kilang – kilang, menjadikan program ini amat sesuai dilakukan untuk memupuk kesedaran terhadap orang ramai akan pentingnya keperluan menanam pokok untuk membantu menghindarkan pencemaran udara.


Menurut Tuan Haji Shafee’e bin Yasin, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor “Masyarakat perlu berperanan sebagai mata dan telinga dalam usaha membanteras jenayah alam sekitar dan perlu bertindak melaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar dan agensi lain seperti Majlis Bandaraya Shah Alam sekiranya terdapat salah laku yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Justeru, masyarakat pada hari ini haruslah berganding bahu dengan agensi kerajaan dan mengorak langkah menjadikan Hari Alam Sekitar Sedunia sebagai hari yang penuh bermakna dalam usaha melestarikan alam sekitar. Di peringkat Negeri Selangor ini, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya di mana pada tahun ini Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor menganjurkannya bersama dengan Mondelez International ( Malaysia)".


Antara objektif mengadakan Hari Alam Sekitar Sedunia ini antara lainnya adalah meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Negeri Selangor tentang tanggungjawab pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar sekaligus menjadikan ianya suatu budaya dan juga Menggalakkan penglibatan orang awam khususnya pelajar-pelajar sekolah dalam Negeri Selangor dalam program-program pemuliharaan alam sekitar selaras dengan matlamat Hari Alam Sekitar Sedunia 2019;

Raja Zalina binti Raja Safran, Pengarah Komunikasi Korporat Mondelez  menjelaskan “ Kerjasama bersama Jabatan Alam Sekitar ini amatlah ditunggu oleh pihak kami dalam mereliasikan hasrat global Mondelez yang sememangnya mempunyai beberapa objektif yang berkaitan dengan pembangunan lestari terhadap alam sekitar. Beberapa usaha telah dijalankan oleh pihak Mondelez di setiap negara dalam mengurangkan kesan pencemaran dan mememerangi perubahan iklim dengan menetapkan sasaran berasaskan sains dalam mengurangkan pelepasan oksigen.”

Program menanam pokok ini juga merupakan kesinambungan terhadap salah satu aktiviti Mondelez International dalam memupuk semangat pekerja dalam mencintai alam sekitar. Aktiviti yang diberi nama Plantation Plus ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan dengan mengajak para pekerja untuk menyumbang pokok untuk ditanam di kawasan yang bersesuaian bertepatan dengan taglinenya – Satu Pokok, Satu Pekerja, Setiap Tahun. Pada tahun ini, semua syarikat Mondelez di  negara- negara di bawah serantau benua Asia, Timur Tengah dan Afrika mensasarkan untuk menanam lebih 6500 pokok keseluruhannya.


Raja Zalina juga menambah “Sebagai sebuah syarikat snek terkemuka di dunia, apa sahaja yang kami lakukan kami pasti akan merujuk kembali kepada strategi utama syarikat kami iaitu Snacking Made Right. Ianya menjadi pemangkin kepada kami untuk membuat snek yang disukai ramai, untuk dinikmati pada masa yang tepat dan dibuat dengan cara yang betul. Jadi apabila merujuk kepada cara yang betul, kami  juga akan pastikan syarikat kami akan menyumbang kepada segala aspek termasuklah terhadap komuniti dan juga memberi impak yang positif terhadap alam sekitar.”