Memaparkan catatan dengan label Rancangan. Papar semua catatan
Semangat cintakan tanah air tidak sesekali akan luntur walau badai COVID-19 melanda negara. Malahan, ujian sebegini seharusnya merapatkan ukhuwah dan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat di negara kita.



TV AlHijrah mengajak seluruh segmen masyarakat untuk menonton siaran rancangan istimewanya sepanjang Kempen Merdeka berlangsung bermula 23 Ogos 2021 hingga 16 September 2021 akan datang.

Antara hidangan rancangannya adalah Pusaka Kita Maruah Kita, Malaysia #QuranHour, Ulama Kemerdekaan, Jauhari Merdeka, E-Kaunter Netizen Istimewa Merdeka, La Tahzan Istimewa Merdeka dan Assalamualaikum Khas Merdeka dan Hari Malaysia.



Kesemua barisan rancangan Kempen Merdeka ini memupuk semangat cintakan negara serta menterjemahkan solidariti dan perpaduan. Pusaka Kita Maruah Kita adalah sebuah program dokumentari yang disiarkan selama 13 episod pada setiap Rabu, jam 9 malam.

Dokumentari ini diterbitkan dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta diarahkan oleh Areel Abu Bakar, pengarah berbakat yang pernah memenangi Anugerah Daniel A.Craft Festival Filem Asia New York. Beliau juga adalah pengarah bagi filem Geran yang ditayangkan di TV AlHijrah tahun lalu.



Para pencinta seni bela diri silat harus menonton dokumentari ini kerana selain mengangkat nilai budaya beracuankan tradisi, mereka juga berpeluang untuk mengenali 13 jenis silat Melayu, 13 senjata orang Melayu serta 13 tokoh orang lama dalam ilmu persilatan Melayu.

TV AlHijrah turut menyiarkan Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos, jam 12 tengahari bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64.Selama satu jam siaran, agenda berinteraksi dengan Al-Quran membawakan formula bagi menyembuh dan merawat Malaysia dengan solusi daripada Ilahi melalui Surah Al-Mulk dan juga tujuh Surah Musabbihat.



Sekiranya mahu mengetahui tentang biografi tokoh agamawan Melayu, ayuh sama-sama saksikan Ulama Kemerdekaan siaran Isnin dan Selasa, jam 7.25 malam.

Selain berkongsi tentang biografi 13 ulama Melayu seperti Tok Kenali, Tok Ku Paloh, Kiyai Haji Salleh, Tuan Guru Haji Zainal Abidin dan ramai lagi, kapsul infografik ini turut memaparkan kisah peranan mereka dalam menyebarkan dogma Islam dan perjuangan memerdekakan tanah Malaya.



Dokumentari Jauhari Merdeka sedikit berbeza. Jika rancangan Ulama Kemerdekaan disiarkan dengan penampilan 13 tokoh ulama Melayu, rancangan Jauhari Merdeka pula memberi fokus kepada kisah perjuangan Sheikh Abdullah Fahim.

Selain keunggulannya dalam bidang falak, nama beliau juga tercatit di dalam lipatan sejarah sebagai figura yang mencadangkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Rancangan ini bersiaran pada 31 Ogos, jam 5 petang.



Seterusnya, tiga program sedia ada yang digemari penonton akan menyiarkan episod istimewa merdeka iaitu E-Kaunter Netizen Merdeka, La Tahzan Istimewa Merdeka dan Assalamualaikum Khas Merdeka dan Hari Malaysia.

E-Kaunter Netizen Merdeka disiarkan pada 31 Ogos, 7.30 malam. Syamsul Debat sebagai hos akan bersama-sama dengan Datuk Ziela Jalil, Anne Abdullah dan Liza Abdullah dalam berkongsi rasa dan erti kemerdekaan.



La Tahzan Istimewa Merdeka bersama Abby Fana dan Faizal Ismail akan membincangkan tajuk Merdekakah Kita tepat jam 9 malam, 31 Ogos akan datang.

Assalamualaikum Khas Merdeka dan Hari Malaysia siaran 31 ogos dan 16 September, jam 7 hingga 9.30 pagi pula akan membawa tema Malaysia Prihatin dari sudut pandang Al-Quran. Turut dimuatkan juga panggilan menerusi aplikasi Skype bersama frontliner dan karyawan yang terkesan dek COVID-19.

Selamat menonton dan ayuh raikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bersama TV AlHijrah.








TV Hijrah kekal berada di hati penonton setelah lapan tahun bersiaran. Ini terbukti apabila dua rancangan siaran langsung yang disiarkan penghujung tahun lalu iaitu rancangan Pink Point & Sila Duduk Jangan Lari mendapat sambutan luar biasa dengan catatan peratusan tontonan yang meningkat dari hari ke hari..


Tahun ini, misi melebarkan sayap dakwah diteruskan oleh TV Hijrah dengan memperkenalkan sebuah rancangan keagamaan baru yang diberi tajuk Open Floor. Open Floor disiarkan sebanyak empat puluh episod bermula 4 Febuari 2019, setiap isnin hingga jumaat, jam 9 malam.

Penonton di rumah pastinya jatuh hati dengan kelainan dan keunikan konsep siaran yang dibawakan oleh rancangan Open Floor ini sepanjang satu jam siarannya. Secara kreatifnya, kumpulan penerbitan rancangan Open Floor menggabungkan sebahagian besar pedagogi utama Baginda Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah dan ilmu. Antara teknik-teknik yang digunapakai adalah metodologi kuliah dan syarahan, teknik bercerita dengan iktibar dan kaedah soal dan jawab.


Ini selaras dengan objektif utama penerbitan rancangan Open Floor ini yang mahu menjadikan rancangan ini sebagai sumber rujuk masyarakat terutamanya umat Islam sekaligus mendidik jiwa tauhid penonton agar tumbuh rasa kehambaan yang tinggi terhadap Allah SWT serta rasa cinta tidak berbelah bahagi buat Nabi Muhammad SAW.

Penceramah-penceramah terkenal seperti Ustaz Ashraf Suarin Al-Muqri, Ustaz Muhammad Rozi Harun, Ustaz Rahmat Ikhsan, Ustaz Aiman Al-Madany, Ustaz Muhammad Aidil Azwal Zainudin, Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman dan ramai lagi akan berkomunikasi santai secara dua hala bersama penonton yang hadir di studio untuk membincangkan topik-topik ilmiah yang menarik dalam bentuk halaqah.

Kesemua penceramah ini bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu atau dikenali sebagai muallim, bahkan mereka juga juga berperanan sebagai murabbi, mudarris, mursyid dan muaddib. Mereka mendidik penonton di studio dan di rumah kerana Allah dan dengan kaedah pengajaran yang berkesan dan bersifat kasih sayang.

Antara topik-topik yang akan dibincangkan di dalam rancangan Open Floor adalah Allah Ada Masalah Tiada, Bersyukur Jangan Kufur, Remaja Berjaya, Dugaan Kaya, Penjenamaan Diri, Gossip, Nafikan Halal Haram, Main-Main Solat dan banyak lagi topik istimewa lain yang pastinya menjadi makanan tambahan bagi meningkatkan energi kerohanian.

Selain daripada rancangan Open Floor, rancangan Inspirasi Bersama Dato’ Seri Vida juga akan ditayangkan setiap hari bermula 4 Februari ini pada jam 10 pagi. Inspirasi Bersama Dato’ Seri Vida adalah sebuah program bual bicara santai yang membicarakan topik-topik membina dan memberi motivasi kepada penonton untuk berjaya di dalam kehidupan.


Selama satu jam siaran, Dato’ Seri Vida ditemani panel tetap iaitu saudara Syamsul Debat berkongsi tips-tips istimewa tentang kemahiran keusahawanan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta pelbagai isu lain yang boleh menjadi panduan untuk terus berjaya di dunia dan akhirat.

Antara tajuk-tajuk perbincangan adalah Untung Dunia Untung Akhirat, Berdikari Mencari Nafkah, Susah Senang Diharung Bersama, Lebih Mulia yang Dekat, Dapat Dua Ganjara, Sibuk Hanya Alasan dan lain-lain.


TV Hijrah meletakkan sepenuh keyakinan bahawa rancangan Open Floor dan rancangan Inspirasi Bersama Dato’ Seri Vida mampu menjadi agen perubahan kepada masyarakat Malaysia. Jadi jangan lupa untuk sama-sama menimba ilmu di TV Hijrah februari ini.