Dunia Penuh Gosip - Ustazah Robotik Dunia Penuh Gosip: Ustazah Robotik - All Post
Memaparkan catatan dengan label Ustazah Robotik. Papar semua catatan
Selepas sambutan menggalakkan dan respon positif penonton terhadap drama Dia Isteriku yang mengisi Slot Qalbu baru-baru ini, TV AlHijrah terus menambat hati penonton setianya dengan menyiarkan sebuah drama baharu terbitan Side Fx Sdn Bhd berjudul Ustazah Robotik.



Drama arahan Muhammad Muhammad Syuhaimi Zulkefli berjudul Ustazah Robotik ini disiarkan pada setiap hari Isnin dan Selasa, jam 6 petang bermula 8 November yang lalu. Drama 13 episod yang membekalkan mesej-mesej Islamik buat semua lapisan usia ini menggabungkan barisan artis terkenal dengan aura karakter berbeza seperti Puteri Sarah Liyana, Maisara Sufia, Zaki Azeman, Zarina Zainuddin, Esma Daniel dan ramai lagi.

Drama ini berputar sekitar kehidupan Asma yang sangat obses terhadap permainan robot.  Minat mendalam Asma ini adalah hasil pendedahan daripada ayahnya yang merupakan seorang jurutera robotik.



Malang tidak berbau, ayah Asma terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya. Kehilangan, kerinduan dan kekecewaan ibu Alya iaitu Tini terhadap peristiwa malang itu membuatkannya kurang senang terhadap minat Asma kepada robot.

Lantaran itu Asma memberontak dalam diam. Bagi Asma, berdampingan dengan robot seolah-olah ia sebagai penghilang rindu dan penghubung hatinya dengan arwah ayah tercinta. Tewas dengan kehendak Asma, Tini akur dan cuba mendorong minat Asma terhadap robot sehinggalah anak sulungnya itu berjaya menjadi jurutera robotik.



Dalam liku-liku hidupnya untuk mencapai impian, Asma jatuh hati dengan majikannya sendiri iaitu Muaz. Pada masa yang sama, ibu Muaz, Datin Sufinah menyusun rancangan menjodohkan Muaz dengan Ilya, adik Asma. 

Pertemuan tidak sengaja antara Datin Sufinah dan Ilya berlaku dalam satu majlis ilmu. Datin Sufinah jatuh hati saat melihat keayuan, kelembutan, sikap sopan dan peribadi baik Ilya yang berilmu agama.



Datin Sufinah yakin Ilya mampu mengendurkan sikap keras kepala anaknya, Muaz. Namun, Ilya menolak pinangan Datin Sufinah. Puncanya, salah satu robot ciptaan Asma bernama Adam memberitahu Ilya bahawa Asma sudah lama jatuh hati pada Muaz.

Ilya tidak sanggup merampas kebahagian kakaknya yang banyak berkorban mental dan fizikal setelah ayah mereka meninggal dunia.



Berjayakah Ilya menyatukan Asma dengan Muaz? Mampukah Ilya meyakinkan Datin Sufinah bahawa Asma adalah calon menantu terbaik serta ustazah robotik yang paling cocok untuk menjadi isteri Muaz?
Ayuh sama-sama saksikan kesudahan kisah Ustazah Robotik di TV AlHijrah. Drama ini memberikan mesej yang cukup jelas kepada penonton bahawa kita semua selaku khalifah di muka bumi yang Esa harus sentiasa memperkukuhkan pegangan agam, menguatkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar untuk menjadi yang terbaik.

Saksikan Ustazah Robotik setiap Isnin dan Selasa jam 6 petang di slot QALBU, TV AlHijrah.