Herbalife Ganding Bahu dengan UiTM Untuk Perkasakan Usahawan Muda Malaysia | Dunia Penuh Gosip

Herbalife Ganding Bahu dengan UiTM Untuk Perkasakan Usahawan Muda Malaysia

Herbalife, sebuah syarikat dan komuniti kesihatan dan kesejahteraan yang terkemuka, bertekad menggalakkan pembangunan usahawan belia di Malaysia dengan menganjurkan Program Keusahawanan sulungnya bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebagai sebahagian daripada inisiatif perintis untuk mendidik golongan muda Malaysia tentang pelbagai peluang ekonomi dalam bidang kesihatan dan pemakanan.



Kerjasama antara Herbalife dan UiTM dijalin berteraskan wawasan yang dikongsi bersama: melengkapkan golongan belia dengan pendidikan menyeluruh yang menyokong perkembangan kerjaya dan memperkayakan kesihatan. Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di UiTM sentiasa berusaha melahirkan pelajar yang serba boleh, dan inisiatif ini menekankan misi tersebut, berbekalkan sokongan daripada Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Keusahawanan Malaysia UiTM.



Program keusahawanan tersebut, yang dilancarkan baru-baru ini di kampus UiTM Shah Alam membabitkan latihan kemahiran keusahawanan penting, selain memberikan pencerahan dan ilmu untuk membuka perniagaan berkaitan pemakanan, sambil disokong oleh reputasi global Herbalife dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan. Bimbingan bermakna daripada tenaga pengedar Herbalife melibatkan sesi bimbingan peribadi, interaksi berkumpulan dan latihan dunia sebenar, akan memastikan setiap pelajar mendapat manfaat daripada pengalaman terkumpul dan tunjuk ajar individu. 

Program perintis ini disertai sejumlah 80 pelajar siswazah, dengan matlamat masa depan untuk meluaskannya kepada kesemua 34 kampus UiTM di seluruh negara. 



Steven Chin, Pengarah Kanan/Pengurus Besar Herbalife Malaysia dan Singapura berkata, “Kami sukacita untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan UiTM menerusi inisiatif terbaharu ini, mencerminkan usaha Herbalife untuk membantu pelajar memanfaatkan peluang ekonomi menerusi tunjuk ajar, latihan, bimbingan dan ilmu keusahawanan. Memandangkan trend yang semakin meningkat ke arah keusahawanan dalam kalangan Gen Z dan golongan milenial seperti yang dilihat daripada Tinjau Selidik Usahawan Muda Asia Pasifik 2021, di samping peningkatan kadar obesiti Malaysia dan minat dalam penuaan sihat, program ini bertujuan membantu merapatkan jurang maklumat, dan dalam pada itu memberikan alat dan ilmu keusahawanan kepada anak-anak muda sambil membentuk ketetapan minda keusahawanan yang diperlukan untuk membina perniagaan dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan." 



Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, menambah, "Kami sentiasa berusaha menambah baik pengalaman pembelajaran pelajar-pelajar yang membawa perubahan bermanfaat bersama industri. Program usaha sama dengan Herbalife ini menyediakan gabungan unik kepakaran keusahawanan praktikal, sambil menekankan kepentingan kesihatan, kecergasan dan kesejahteraan yang sering kali diabaikan."



Ts. Dr Nik Roselina Nik Roseley, Pengarah Pusat Keusahawanan Pelajar, Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM Shah Alam, mengulas, "Kerjasama dengan Herbalife adalah satu pendekatan berpandangan jauh kepada pembangunan pelajar, dengan menggabungkan keusahawanan dan gaya hidup sihat. Ini merupakan langkah strategik yang bakal melengkapkan pelajar dengan dua kemahiran iaitu ilmu perniagaan dan kesejahteraan diri untuk bersiap-sedia menghadapi cabaran pada masa depan."



Nurul Hanis Nisha Binti Abdul Halim, pelajar yang turut serta daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di kampus UiTM Shah Alam berkongsi pengalamannya di majlis pelancaran tersebut: "Inisiatif ini telah membuka mata kami kepada peluang yang ada di depan kita, sejajar dengan kerjaya yang bakal kami ceburi dalam bidang Sains Sukan. Menimba ilmu keusahawanan di sini bukan sahaja membantu memulakan perjalanan keusahawanan kami sendiri, tetapi juga memberikan gambaran jelas tentang permintaan di pasaran-pasaran yang berkenaan untuk membuat persiapan lebih baik untuk membina kerjaya selepas menamatkan pengajian.

Program Keusahawanan UiTM Herbalife, menggabungkan kesihatan dan peluang perniagaan, dan sesungguhnya memperlihatkan komitmen kedua-dua institusi untuk membina masa depan yang cerah dan mampan bagi golongan belia Malaysia.







0 comments: