TV Alhijrah Raih Pengiktirafan Stesen Televisyen Pertama Di Malaysia Patuhi Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak Dan Orang Muda | Dunia Penuh Gosip

TV Alhijrah Raih Pengiktirafan Stesen Televisyen Pertama Di Malaysia Patuhi Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak Dan Orang Muda

TV AlHijrah melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai stesen televisyen pertama di Malaysia yang mematuhi sepenuhnya syarat Lesen Hiburan Awam Kanak-kanak dan Orang Muda di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.



Pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian pentadbiran, tetapi satu manifestasi jelas komitmen TV AlHijrah untuk mengangkat standard industri penyiaran negara. Ia membuktikan bahawa setiap program yang melibatkan penyertaan kanak-kanak dan orang muda di stesen ini dirancang, diterbitkan dan disiarkan dengan penuh tanggungjawab, selamat serta menepati garis panduan undang-undang.

Majlis penyerahan pengiktirafan ini disiarkan secara langsung menerusi program bual bicara pagi Assalamualaikum, yang turut menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Tuan Kamal Pardi, sebagai tetamu khas bersama Puan Hajah Nadzariah Mohamed, Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah.



Menurut Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Puan Hajah Nadzariah Mohamed, pengiktirafan ini adalah bukti sokongan berterusan stesen terhadap usaha menjaga kebajikan bakat muda dalam industri penyiaran.

“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini kerana ia membuktikan keupayaan TV AlHijrah untuk menyeimbangkan nilai syariah dengan keperluan industri penyiaran moden. Pematuhan terhadap Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1966 bukan sahaja menjamin keselamatan bakat cilik negara, malah mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai stesen televisyen yang mendidik dan membina masyarakat,” ujar beliau.



Puan Hajah Nadzariah turut menambah bahawa pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha TV AlHijrah memperkukuh penawaran kandungan berkualiti.

“TV AlHijrah komited untuk terus menghasilkan program yang memberi nilai tambah serta membimbing penonton, khususnya kanak-kanak dan remaja, ke arah kehidupan berakhlak dan berilmu. Dengan pengiktirafan ini, kami yakin dapat memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap jenama TV AlHijrah sebagai peneraju kandungan Islam yang relevan, progresif dan menyeluruh.

“Kami juga akan menjalin kerjasama berpanjangan dengan JTKSM bagi menyediakan latihan khusus kepada penerbit TV AlHijrah supaya semua warga kerja memahami sepenuhnya akta ini dan dapat mengaplikasikannya dalam penerbitan,” ujar beliau.



Sejak penubuhannya, TV AlHijrah konsisten menyediakan kandungan yang mendidik, menghibur dan membina jati diri. Dengan pencapaian ini, stesen berhasrat untuk memperkukuh reputasi sebagai penyiar Islam progresif yang bukan sahaja mematuhi undang-undang, tetapi juga mendahului inisiatif pemeliharaan kebajikan kanak-kanak dan remaja dalam bidang seni serta media.

TV AlHijrah yakin bahawa langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat penerbitan serta dalam usaha memperluaskan penawaran kandungan positif untuk generasi akan datang.

Dengan pengiktirafan ini, TV AlHijrah sekali lagi membuktikan peranan pentingnya sebagai peneraju kandungan bermanfaat, mendidik dan berimpak tinggi, seiring aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat MADANI yang berilmu dan berakhlak.







0 comments: