Saksikan Konsert Rapatkan Saf Sempena Sambutan Maulidur Rasul Di TV AlHijrah | Dunia Penuh Gosip

Saksikan Konsert Rapatkan Saf Sempena Sambutan Maulidur Rasul Di TV AlHijrah

Konsert Rapatkan Saf, sebuah program persembahan yang memaparkan lagu-lagu kerohanian serta tazkirah yang menggabungkan artis-artis dan pendakwah Nusantara bakal diadakan secara langsung dengan penuh gilang-gemilang di pentas AlHijrah Big Studio (ABS) pada 12 Rabiulawal 1439H bersamaan 1 Disember 2017.


Konsert Rapatkan Saf diadakan bagi mengangkat tema sambutan Maulidur Rasul dengan menggabungkan selawat, nyanyian, monolog ketuhanan dan zikir munajat dalam menzahirkan rasa kecintaan tidak berbelah bahagi kepada Baginda Nabi Muhammad SAW serta menyampaikan mesej Islam adalah agama keamanan dan penyatuan.



Konsert ini akan disiarkan selama dua jam tiga puluh minit bermula pada 9 malam hingga 11.30 malam. Buat julung kalinya, konsert ini bakal melakar sejarah bukan sahaja kerana disiarkan secara langsung di TV AlHijrah dan beberapa stesen penyiaran utama dalam negara, paling istimewa konsert islamik ini turut mendapat kerjasama penuh rakan-rakan penyiar antarabangsa.



Seiring dengan tema Go Global yang dipegang erat oleh stesen ini, tiga saluran antarabangsa iaitu Darshana TV India, ITV Networks Afrika Selatan dan UBONTV Indonesia juga berganding bahu menjadi rakan penyiar acara ini.



Konsert Rapatkan Saf  juga akan ditayangkan serentak di saluran televisyen utama negara iaitu saluran RTM TV1, Bernama TV, TV IKIM, dan saluran radio IKIM.fm (91.5).



Penyatuan kesemua penyiar utama dalam dan luar negara ini adalah merupakan satu pembaharuan idea dalam menghayati peribadi Rasululullah SAW, ketabahan serta kesungguhan Baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.



Konsert Rapatkan Saf menyajikan persembahan berbentuk islamik dan hiburan moden yang selari dengan era globalisasi buat penonton. Namun pada masa yang sama gabungan kesemua saluran utama dalam menyiarkan konsert ini secara serentak merupakan simbolik terbaik untuk menggambarkan konsep merapatkan saf, berganding bahu dan saling membantu sesama rakan-rakan industri penyiaran negara, barisan artis dan para pekerja dalam parameter syariat.



Objektif penerbitan Konsert Rapatkan Saf ini selain daripada mengingati Baginda Rasulullah, ia berperanan sebagai wadah terbaik dalam menyuntik dakwah melalui bait lagu dan monolog yang bakal dialunkan. Tambah menarik, ia juga mampu menzahirkan manifestasi kesenian islamik sebagai santapan rohani buat para penonton. 



Konsert Rapatkan Saf dilihat bakal menandingi konsert berprestij lain yang pernah dianjurkan sebelum ini. Ia membariskan artis-artis tersohor seperti Ramli Sarip, Lah Ahmad, artis religi Indonesia, Rijal Vertizone, Fikri Yasir, Kumpulan Raihan, Hafiz Hamidun, Wani dan juga penampilan pertama Datuk M. Nasir dan Hazama di TV AlHijrah dengan dendangan lagu-lagu pilihan seperti KepadaMu Kekasih, Maulaya, Sumayyah, Agung, Ya Rasulullah, Mahakarya Cinta, Phoenix Bangkit Dari Abu, Peristiwa Subuh dan lain-lain.


Turut memeriahkan adalah barisan pendakwah Nusantara seperti Habib Ali Zaenal Abidin, Ustaz Syed Kadir Al Joofre, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi , Ustazah Isfadiah Dusuki, PU Rozi Harun, Ustaz Zul Ramli dan Ustaz Luqman Nurhakim.

Konsert Rapatkan Saf yang dihoskan oleh Ustaz Fadzli Aziz dan diterbitkan oleh penerbitan dalaman TV AlHijrah yang diketuai oleh Puan Nurainah Nabeeha Hassan selaku Penerbit Rancangan. Selain itu, TV AlHijrah turut meyiarkan pelbagai rancangan menarik lain sepanjang Disember ini. Antaranya adalah Analisis Finaz Yunus, 3 Minit Ustaz, Masjid ke Masjid, Mimbar, Kalam Hikmah, Mai Ngaji, Negaraku #Table Talk SK, dan Ustaz Pilot.

Jadi, jangan ketinggalan untuk menyaksikan Konsert Rapatkan Saf, pada Jumaat, 1 Disember 2017 tepat jam 9 malam. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini Konsert Rapatkan Saf dan barisan rancangan menarik Disember TV AlHijrah, penonton boleh melayari laman sesawang TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com. Maklumat turut boleh didapati di laman social Facebook dan Instagram TV AlHijrah.








0 comments: