TV AlHijrah Terima Anugerah Rakan Perniagaan Strategik Kali Kedua

TV AlHijrah terus maju mengorak langkah menjadi stesen televisyen Islam yang menggerak potensi dan memperkasakan ekonomi ummah apabila menerima anugerah The BrandLaureate SMEs Best Brand Awards 2018-2019 dalam kategori Anugerah Rakan Perniagaan Strategik buat tahun kedua malam tadi.


Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Dr. A. Bakar Sarpon menerima anugerah tersebut dalam majlis berprestij yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara. 

Dr. A. Bakar Sarpon sewaktu ditemui berkata, “anugerah ini cukup bermakna buat seluruh warga kerja TV AlHijrah yang bekerja keras secara kolektif dalam membantu menaiktaraf masa depan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menguasai pasaran ekonomi domestik dan bersaing di peringkat antarabangsa. Ini dilaksanakan menerusi platform promosi iklan televisyen dengan kos yang berpatutan dan berbaloi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


“Reputasi kami sebagai satu jenama dinamik dan prihatin dalam memacu kebangkitan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tidak dapat dinafikan lagi apabila sedari tahun 2016 lagi hingga kini kami secara berterusan menawarkan ruang promosi di televisyen dengan kos yang jauh lebih jimat berbanding harga pasaran semasa.” katanya.

“Terbaru, kami menawarkan pakej palaburan istimewa bermula RM30,000 sempena Ramadan yang bakal tiba. Apa sahaja produk dan perkhidmatan milik peniaga kecil dan sederhana boleh diiklankan di TV AlHijrah dengan kekerapan yang tinggi setiap hari selama lebih kurang sebulan. Belian pakej ini boleh digandakan tanpa had.” jelas beliau.


“Ini memberi gambaran bahawa TV AlHijrah turut menyahut seruan kerajaan yang mahukan transformasi positif industri ini sehingga ke peringkat antarabangsa.” tambahnya. Selain itu, Dr. A. Bakar Sarpon turut optimis stesen televisyen berkonsepkan Islam ini akan menerbit dan menyiarkan lebih banyak  rancangan-rancangan berimpak tinggi yang menepati selera rakyat Malaysia terutamanya bagi penonton yang berusia 24 hingga 39 tahun.

Beliau turut berharap agar TV AlHijrah terus bersaing dan kekal relevan mendepani arus permodenan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa walaupun mendapat persaingan daripada media-media baru.


The BrandLaureate SMEs Best Brand Awards 2018-2019 yang berlangsung malam tadi memberi pengiktirafan kepada jenama terbaik Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di pasaran tempatan dan global merangkumi sektor-sektor seperti Makanan, Hotel dan Pelancongan, Kecantikan & Kosmetik, Sukan, Kesihatan, Fesyen, Perbankan dan Kewangan dan banyak lagi.







0 comments: