Boustead Properties Hulur Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Banjir | Dunia Penuh Gosip

Boustead Properties Hulur Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Banjir

Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini telah memberi kesan kepada ramai rakyat Malaysia yang mengalami kerosakan hartabenda. Sungguhpun operasi bantuan yang telah dijalankan dengan serta-merta di seluruh negara telah membantu dalam memastikan pemulihan keadaan dengan segera, masih terdapat ramai yang terus menghadapi cabaran hingga ke hari ini disebabkan kekangan kewangan. 

Cabaran hidup mereka telah mendapat perhatian Boustead Properties Berhad (Boustead Properties), yang baru-baru ini menyumbangkan bantuan kewangan berjumlah RM25,000.00 kepada lima keluarga di Hulu Langat dan Kampung Sungai Penchala sebagai usaha untuk membantu mereka membina semula rumah dan perniagaan mereka.  



Khairul Azizi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Boustead Properties Berhad, berkata, “Sebelum ini, ramai kakitangan kami telah menyumbangkan masa dan tenaga sebagai sukarelawan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Dengan itu, kami dapat melihat sendiri kesan banjir ini terhadap keluarga-keluarga ini dan pendapatan mereka. Oleh kerana sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, kami berharap agar bantuan kewangan ini akan meringankan bebanan yang ditanggung oleh lima keluarga ini.

Mengulas selanjutnya, Khairul Azizi Ismail berkata, “Kami akan terus memainkan peranan dalam memberikan sokongan kepada masyarakat. Rakyat Malaysia terpaksa menangani pelbagai kesulitan akibat pandemik sepanjang dua tahun yang lepas di samping banjir kilat yang melanda baru-baru ini. Namun demikian, semangat #KeluargaMalaysia telah memberi kekuatan kepada kita semua untuk menghadapi keadaan yang tidak menentu ini. Dalam peralihan kita ke fasa endemik, kita perlu berusaha untuk memainkan peranan masing-masing bagi menyokong satu sama lain.

Salah seorang penerima, Cik Balqis Khairunnisa binti Tajul Arif, berkata, “Kami benar-benar berterima kasih dengan sokongan dan bantuan yang diberikan oleh Boustead Properties. Sumbangan ini meringankan bebanan yang dipikul sambil kami cuba memulihkan kehidupan.



Menurut seorang lagi penerima, En. Faizol Bin Azmi, “Sumbangan ini adalah sangat bermakna dan saya bersyukur kerana menjadi penerima. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada Boustead Properties kerana menyokong kami dan memberikan bantuan yang sangat diperlukan pada masa yang susah ini. Dengan sumbangan yang saya terima ini, saya akan membeli barang-barang keperluan untuk memulakan semula perniagaan kami kerana inilah satu-satunya sumber pendapatan untuk keluarga saya.

Apabila banjir melanda Malaysia pada bulan Disember 2021, Boustead Properties bekerjasama dengan pertubuhan bukan keuntungan tempatan untuk memberi bantuan kepada 70 keluarga yang terjejas di beberapa kawasan negeri Selangor dan Pahang sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Boustead Cares’. Inisiatif ini membabitkan lebih daripada 50 orang kakitangan, yang lebih mesra dikenali sebagai Squad Bousteador, untuk membantu membersihkan rumah-rumah dan membaiki bumbung rumah yang rosak. Mereka juga mendermakan wang dan barangan keperluan asas, bekalan makanan, ubat-ubatan, set penjana kuasa, bahan serta peralatan pembersihan untuk menyokong kerja-kerja pembersihan.









0 comments: