Pengumuman Pelantikan Pengerusi Dan Ahli Lembaga Pengarah Baharu TV AlHijrah | Dunia Penuh Gosip

Pengumuman Pelantikan Pengerusi Dan Ahli Lembaga Pengarah Baharu TV AlHijrah

Sukacita kami ingin mengumumkan bahawa YBrs. Tuan Haji Khair Ngadiron telah dilantik sebagai Pengerusi baharu AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) menggantikan Dato' Dr. Ab. Halim bin Tamuri.



Tuan Haji Khair Ngadiron merupakan Pengarah di Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Beliau berpengalaman luas dalam industri buku di Malaysia dan luar negara.

Berkelulusan Sarjana Undang-Undang (LLB) (1990) dan Sarjana Undang-Undang Perbandingan (MCL)(1991) , beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah di Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selama 11 tahun.

Sebelum berkhidmat di ITBM, beliau adalah Pensyarah Undang-Undang dan Timbalan Dekan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 17 tahun. Beliau juga pernah dan sedang menyandang beberapa jawatan penting dalam organisasi seperti Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku Kuala Lumpur, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (PENA), Ahli Lembaga Penubuhan Akademik Antarabangsa Pengajian Arab (IAFAS) UMK, Penasihat Kelab Debat Bahasa Melayu, Alumni UIAM dan Ahli Jawatankuasa Pengajian Akademi, Pengajian Melayu Universiti Malaya.

YBrs. Tuan Haji Khair Ngadiron telah dilantik sebagai Pengerusi baharu TV AlHijrah


Sebagai tambahan, TV AlHijrah juga ingin mengumumkan pelantikan enam orang Ahli Lembaga Pengarah baharu iaitu Datuk Hakimah Binti Mohd Yusoff, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Binti Nik Saleh, Encik Dzul Karnain Bin Abdullah, Encik Shamsul Qamar Bin Abd Rani, Encik Azizuddin Bin Ahmad dan Encik Amran Bin Idris. Manakala, dua Ahli Lembaga Pengarah terdahulu yang dikekalkan adalah Dato’ Mohamad S. Ahmad dan Puan Hasliana Kamarudin.

TV AlHijrah mengucapkan tahniah serta mengalu-alukan pelantikan Tuan Haji Khair Ngadiron serta kesemua Ahli Lembaga Pengarah sebagai sebahagian daripada ahli keluarga stesen ini.

TV AlHijrah berkeyakinan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu dilantik ini mempunyai ketokohan, pengalaman, kepakaran dan keupayaan dalam merealisasikan visi dan misi penyiaran stesen ini untuk menyatupadukan ummah dengan ilmu. Usaha ini selari dengan Pelan Transformasi Al-Falah yang diperkenalkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam usaha menjayakan inisiatif kerajaan Malaysia bagi mewujudkan masyarakat Malaysia MADANI.







0 comments: