Dunia Penuh Gosip - Pendakwah Muslimah Dunia Penuh Gosip: Pendakwah Muslimah - All Post
Memaparkan catatan dengan label Pendakwah Muslimah. Papar semua catatan
Pentas Akhir Program Realiti Televisyen Pendakwah Muslimah Musim Kelima yang disiarkan secara langsung di TV AlHijrah dari Auditorium Brainy Bunch Cyberjaya, Sabtu, 19 Oktober 2019, menyaksikan Pendakwah Muslimah Nur Hidayu Binti Mohd Kamil muncul sebagai juara.


Penonton di auditorium mahupun dirumah menjadi saksi kepada tangisan kegembiraan PM Hidayu apabila Amin Idris dan Farah Diana Anuar yang bertindak sebagai pengacara rancangan mengumumkan bahawa beliau diangkat menjadi Pendakwah Muslimah terbaik di kalangan lima finalis yang lain.


PM Hidayu menyampaikan dua tazkirah iaitu tazkirah solo bertajuk Jangan Berlagak Seperti Ahli Syurga dan tazkirah duet bersama PM Annisha dengan judul Sebarkan Dakwah, Suburkan Ukhuwah.

Kemenangan berpihak kepada beliau apabila berjaya mengenepikan lima pendakwah lain dengan pungutan markah tertinggi lantas membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor, RM10,000 sumbangan Manja Kaseh Arjuna Kaseh selaku hadiah misteri, Pakej Umrah, Trofi Kemenangan, Kad Tauliah Mengajar serta hadiah sampingan lain.


Ibu kepada tiga orang cahaya mata yang berasal dari Kuala Lumpur ini  berjaya mengatasi saingan sengit dari Pendakwah Nurul Hanis dan Pendakwah Nur Aqidah yang terpaksa berpuashati dengan kedudukan kedua dan ketiga.

PM Hanis membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM4,000, trofi, kad tauliah mengajar serta hadiah sampingan. Manakala PM Aqidah pula memenangi wang berjumlah RM3,000, trofi, kad tauliah mengajar dan hadiah sampingan.


Sewaktu ditebak tentang perasaan bergelar Juara, PM Hidayu berkata,dia sendiri agak terkejut dan tidak menyangka memandangkan saingan hebat yang turut diberikan oleh lima peserta yang lain.

“Saya menyifatkan kemenangan malam ini sebagai rezeki, kurniaan daripada Allah. Saya yakin jika kita berusaha dan yakin, mentarbiah diri untuk ummah, pasti Allah akan bantu dan buka jalan.” jelas PM Hidayu.


“Saya meletakkan pencarian ilmu dan penggalian pengalaman sebagai tujuan utama saya menyertai pertandingan realiti Pendakwah Muslimah ini. Bergelar juara adalah bonus dan saya yakin ini adalah berkat doa kedua-dua ibu bapa, suami, keluarga dan rakan-rakan dan mentor-mentor yang menyokong dan mengirimkan doa buat saya tanpa henti.” tambah PM Hidayu lagi.

Ujarnya, antara salah satu sebab dia tertarik untuk menyertai program Pendakwah Muslimah yang diterbitkan oleh TV AlHijrah ini adalah disebabkan dia memang cukup tertarik dengan kelebihan dakwah melalui medium elektronik.


“Saya membayangkan, jika pada masa dahulu para asatizah menyampaikan dakwah di majlis-majlis ilmu, masjid-masjid dan kelas agama dengan jumlah mad’u atau penerima dakwah yang terhad. Namun, dengan dakwah menerusi medium televisyen, kita mampu mencapai penerima dakwah yang haterogen dan dalam jumlah yang besar. Doakan saya, saya akan menyumbang sehabis daya buat Ummah.” bicara PM Hidayu panjang lebar.

Zulkarnaen Mokhtar selaku Pengurus Unit Penjenamaan dan Kajian Penonton sewaktu ditemui berkata, “Untuk saingan akhir, keenam-enam finalis telah diberikan tugasan iaitu mendekati permasalahan dakwah, aqidah, pernikahan, akhlak dan ibadah. Seratus peratus markah diberikan oleh juri-juri professional yang hadir pada malam pentas akhir ini bagi menilai hujah yang disampaikan oleh finalis.”


“Jelas sekali, andai berkemahuan, diberikan pendedahan, latihan dan, dibaja dengan Ilmu oleh mentor yang baik, wanita mampu menjadi pendakwah hebat. Setidaknya kepada kumpulan kecil iaitu keluarga mereka sendiri.”

“Kami juga berterima kasih kepada Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Insitut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) yang bertindak selaku rakan kerjasama dan penaja. Tanpa mereka, sukar untuk kita realisasikan rancangan ini.”


Para finalis ini mendapat bimbingan daripada mentor-mentor luar biasa dan hebat seperti Ustaz Mohamad Zarifi Bin Mohamad Daud, Ustazah Isfadiah Binti Mohd Dasuki dan Dr. Rosmawati Binti Mohamad Rasit. Penjurian akhir pula akan diadili oleh Dato' Dr. Hj. Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim, Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh dan Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman.

Pendakwah Muslimah adalah program jalinan kerjasama antara TV AlHijrah dan Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS), Lembaga Zakat Selangor (LZS).


Rancangan ini menyasarkan misi mencari pendakwah terbaik di kalangan wanita dan mengubah fikiran konservatif sesetengah masyarakat mengenai peranan wanita dalam pembangunan Islam.

Seramai 30 orang peserta disenarai pendek dan layak untuk mengikuti modul latihan peringkat pertama yang berlangsung sejak Julai hingga Ogos yang lalu. Hanya enam orang peserta terbaik dipilih untuk mengikuti modul peringkat kedua seterusnya berentap untuk dinobatkan sebagai juara Pendakwah Muslimah.







Detik 11 malam 22 September 2018 lalu, penonton TV AlHijrah menjadi saksi apabila Pendakwah Muslimah Raudhatul Jannah Binti Mohd Rozli mengalirkan airmata kegembiraan saat Syamsul Debat & Farah Diana Anuar mengumumkan bahawa beliau dinobatkan menjadi Juara Pendakwah Muslimah 2018.


Berbekalkan semangat, keyakinan dan ilmu di dada, Pendakwah Muslimah Raudhatul Jannah yang menggunakan tagline 'Dakwah Bilhikmah Pasti Kemah!'  mengungguli dengan pungutan markah keseluruhan tertinggi lantas berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, Pakej Umrah serta trofi kemenangan sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).


Dalam acara kemuncak yang diadakan di Alhijrah Big Studio Cyberjaya, Pendakwah Muslimah Raudhatul Jannah  atau turut dipanggil Pendakwah Muslimah Raudhah itu berjaya mengatasi saingan sengit dari Pendakwah Muslimah Nurul Amirah dan Pendakwah Muslimah Noor Hidayah yang berpuashati dengan kedudukan kedua dan ketiga.


Manakala Pendakwah Muslimah Nora, Pendakwah Muslimah Azizah dan Pendakwah Muslimah Erni pula membawa pulang hadiah saguhati berupa wang tunai RM500 dan trofi sumbangan sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).


Sewaktu ditebak tentang perasaan bergelar Juara, Pendakwah Muslimah Raudhah berkata, dia sendiri agak terkejut dan tidak menyangka akan bergelar Juara memandangkan saingan hebat yang diberikan oleh lima finalis lain.


Pendakwah Muslimah 2018 telah melabuhkan tirai. Acara gemilang ini turut mendapat sokongan barisan selebriti yang hadir seperti Ustazah Isfadiah, Muniff Isa, Mas Muharni, Ustaz Taha Hassan, Hannan Abd Rahman, Harry Zainal, dan ramai lagi. Pentas akhir Pendakwah Muslimah turut dimeriahkan dengan kemunculan Lah Ahmad dan Ikhwan Fatanna yang menyampaikan dua buah lagu sebagai selingan.