Memaparkan catatan dengan label TV AlHijrah. Papar semua catatan
Penutup tahun 2022 yang manis buat TV AlHijrah apabila stesen penyiar berkonsepkan gaya hidup Islam pertama Malaysia ini merangkul pengiktirafan Pesanan Khidmat Awam Terbaik Kategori Penyiaran pada Majlis Anugerah Penarafan Bintang 2021, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).



Anugerah ini adalah antara bukti pencapaian serta komitmen TV AlHijrah dalam bertindak sebagai penyiar bertanggungjawab yang menyampaikan mesej secara terancang yang berkepentingan awam kepada masyarakat.

Hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah pada majlis pengiktirafan tersebut adalah Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat, Saifulizan Sidek. Beliau menerima anugerah yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mantek.



Saifulizan berkata anugerah itu adalah pengiktirafan kepada TV AlHijrah kerana tidak pernah culas menyokong inisiatif kementerian dan agensi kerajaan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai dasar, perkhidmatan, program, aktiviti atau sesuatu isu yang berkepentingan awam.

Anugerah ini juga adalah bukti dedikasi, semangat, dan usaha warga TV AlHijrah mendukung aspirasi pihak kerajaan sekaligus menjalankan amanah sebagai penyiar yang memartabatkan syariah serta mempromosikan nilai-nilai Islam yang turut sama giat dipromosikan oleh agensi-agensi agama di bawah naungan Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar,” jelasnya.



Saifulizan turut berkata, anugerah itu juga satu penghargaan kepada TV AlHijrah atas usaha dan sifat prihatin terhadap keperluan masyarakat melalui kandungan televisyen.

Kita sentiasa berusaha menghasilkan kandungan-kandungan bermanfaat dan diperlukan rakyat terutama dari sudut rohani. Usaha seperti ini pastinya akan diteruskan dan anugerah ini merupakan satu motivasi kepada warga kerja TV AlHijrah,” katanya lanjut.



Anugerah Penarafan Bintang 2021 diadakan bagi meraikan industri telekomunikasi, penyiaran dan industri kurier yang cemerlang dalam memberikan perkhidmatan serta servis terbaik kepada rakyat Malaysia. Anugerah yang dianjurkan dua tahun sekali ini memberi pengiktirafan kepada pemegang lessen di bawah bidang kuasa SKMM.

Turut hadir pada majlis ini adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Dato' Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.










Umat Islam seantero dunia akan meraikan hari keputeraan Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W pada 12 Rabiulawal 1444H bersamaan 8 Oktober 2022 akan datang. Kecintaan dan ketaatan kepada Rasullullah adalah tuntutan agama dah harus dieksperesikan berlandaskan syariat Islam.



Tidak mahu ketinggalan di dalam usaha mendapatkan syafaat Baginda Rasullullah S.A.W, TV AlHijrah akan meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dengan menggunapakai tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran. 

Menerusi tema ini, TV AlHijrah beriltizam untuk bersama-sama Keluarga Malaysia mencintai serta memperingati tentang nilai murni, pengajaran serta dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sepanjang kerasulan Baginda.



Oleh yang demikian, sepuluh program utama akan ditayangkan bersempena sambutan istimewa ini. Program-program tersebut adalah Gema Haflah, Majlis Konvokesyen Khatam My #QuranTime, Hijrah Berselawat, Assalamualaikum Khas, Telefilem Sadaqallahul’azim, Jalinan Kasih, Dakwah Live Istimewa Maulidur Rasul, Akademi Daie Muda YADIM, Peristiwa Maulid, Studio AlHijrah dan Telefilem Sadaqallahul’azim.

Gema Haflah akan memulakan siaran pada Jumaat, 7 Oktober 2022, jam 9 malam dengan menampilkan barisan selebriti jemputan seperti Dato’ Nash, Lufya Omar, Mawi dan Hazwani Helmi. Kesemua mereka akan mengalunkan bacaan surah-surah pilihan seperti surah Al-Kauthar, Al-Mulk, Ar-Rahman, Quraish, Al-Maaun, Al-Fiil, Al-Baqarah dan Surah An-Nas dengan variasi maqam tarannum seperti Bayati, Nahawand, Hijaz, Jiharkah dan Soba.

Penggemar rancangan ladang ilmu My #QuranTime akan diraikan dengan Majlis Siaran Langsung Konvokesyen Khatam Tadabbur dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu, 8 Oktober 2022, jam 11.30 pagi. Majlis ini adalah kemuncak kepada sesi tadabbur 604 helaian Al-Quran yang telah bermula di TV AlHijrah semenjak tahun 2020.



Seterusnya, TV AlHijrah akan menyiarkan rancangan baru berjudul Jalinan Kasih pada jam 8.30 malam. Sepanjang dua episod siaran rancangan ini pada 8 dan 9 Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Bin Haji Ahmad akan turun padang menyantuni, beramah mesra serta melakukan aktiviti kerohanian bersama penghuni Penjara Kajang. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memberikan sokongan moral serta galakan untuk memperbaiki diri di masa hadapan.

Sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad diteruskan dengan rancangan Hijrah Berselawat pada jam 9 malam. Hijrah Berselawat membawakan qasidah-qasidah menarik terutamanya Humko Bulana serta Isyfaq Lana yang dilantunkan oleh Inteam, Faizal Tahir, Zaf VE, Pot Amir dan Mirwana. Penampilan istimewa, Ustaz Don Daniyal pula akan memberikan tausiyah mengenai sirah-sirah kehidupan Baginda Rasulullah.



Pada 9 Oktober, pagi Ahad penonton akan bermula seawal jam 7 pagi dengan rancangan Assalamualaikum Khas bersama Ustazah Muzayyanah Abdullah dan Ustaz Shamsul Hakim. Rancangan bual bicara pagi ini akan berkongsi kisah kepimpinan Rasulullah S.A.W sebagai panduan kehidupan seharian. 

Meneruskan siaran, telefilem Sadaqallahul’azim pula disiarkan pada jam 9 malam. Telefilem yang membariskan barisan pelakon terbaik tanah air seperti Ungku Hariz, Husna Mustaffa, Anna Dahlia, Zaidi Omar, Razak Ahmad dan Ezlynn Arifin berkisar tentang Solihin, seorang peguam yang dikenali ramai kerana banyak terlibat dengan pembelaan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan tokoh-tokoh kenamaan. Namun jauh di sudut hati, Solihin sedar bahawa kemasyhuran dunia tidak memberikan apa-apa jaminan. Hatinya kosong serta berasa kerdil kerana dia tidak tahu membaca Al-Quran. Solihin berbelah bahagi antara populariti dan tuntunan agama. Dia malu untuk belajar mengaji kerana takut popularitinya terjejas.



Dakwah Live akan disiarkan pada Rabu, 12 Oktober, jam 9 malam. Penonton akan bersama-sama Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Wasiril Aswad serta panel jemputan Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari bagi mengupas topik Rasulullah Aku Rindu. Perbincangan ilmiah ini pastinya akan menambah rasa cinta dan rindu buat Baginda.

Malam Khamis penonton akan diserikan dengan sebuah rancangan terbaik untuk tontonan seisi keluarga iaitu Akademi Daie Muda YADIM. Disiarkan bermula 13 Oktober, jam 9 malam, rancangan ini bermatlamat melahirkan ikon yang mampu menjadi tonggak tauladan buat masyarakat. Saksikan 28 orang peserta yang akan berentap secara sehat dalam merebut gelaran Daie Muda YADIM musim keempat.



Pada Sabtu, 15 Oktober, jam 9 malam, Peristiwa Maulid akan disiarkan. Rancangan ini berkonsepkan teater, nyanyian, qasidah dan penceritaan. Program ini akan menceritakan mengenai peristiwa kelahiran Nabi Muhamammad S.A.W sehingga peristiwa kewafatan Baginda. Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi akan menjadi pentausiyah di samping penglibatan artis-artis tanah air seperti, Lah Ahmad, Daqmi, Hafiz Hamidun, Lan Solo dan lain-lain.

Bagi menutup tirai kempen Maulidur Rasul di TV AlHijrah, Studio Hijrah akan disiarkan pada 17 Oktober, Isnin, jam 8.30 malam. Studio Hijrah merupakan sebuah program hiburan islamik yang memaparkan lagu-lagu ketuhanan di Malaysia dengan  genre pelbagai seperti rap, balada, pop, rock dan lain lain. Nyanyian akan disampaikan secara akustik agar lontaran dakwah dapat dibuat dengan lebih berkesan.



Siaran kesemua rancangan istimewa Maulidur Rasul di TV AlHijrah sudah semestinya mampu membantu penonton menghayati hari kelahiran Baginda S.A.W dengan lebih bermakna. Jadi, ayuh sama-sama baja rasa cinta buat Rasulullah di TV AlHijrah.








Bersempena Minggu Al-Quds sedunia yang disambut bermula 25 Februari 2022 hingga 3 Mac 2022, TV AlHijrah membawakan pengisian khas dengan menerbit dan menyiar sebuah forum bertajuk AlQuds Semakin Hampir.



Forum AlQuds Semakin Hampir akan disiarkan, Jumaat, 4 Mac 2022, jam 9 malam hingga 10 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, “Forum ini disiarkan sebagai deklarasi solidariti dalam memperingati Hari Nakbah. Seluruh masyarakat dunia perlu tahu kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat Pelestin akibat konflik Israel-Palestin yang berlanjutan sejak 74 tahun lalu.”

“Selain itu, antara objektif lain penerbitan rancangan ini adalah untuk menyokong usaha-usaha ke arah kesatuan umat Islam yang merentasi sempadan negara mahupun aliran pemikiran. Masyarakat juga boleh mengambil iktibar dalam mengingati detik bencana pencerobohan Israel terhadap Palestin” 

“Ia juga tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Malaysia yang sentiasa berpendirian tegas dalam mempertahankan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.” jelas Namanzee.

Forum Al-Quds membawakan panel yang arif dalam berdiskusi isu Hari Nakbah iaitu Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau akan Abu Talib Husin sebagai hos rancangan.



Antara yang akan dikupas oleh Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah perisitwa Nakbah secara terperinci bermula dari kronologi tercetusnya peristiwa tersebut sehingga bagaimana keadaan penduduk Palestin masa kini. 
 
Paling menarik, panel serta hos rancangan turut berkongsi janji Nabi Muhammad S.A.W mengenai Al-Quds serta kaum Yahudi.

Selain itu, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga memberi pencerahan kepada masyarakat mengapa Hari Nakbah perlu diperingati dalam mempertahankan kedaulatan negara kita, Malaysia.



TV AlHijrah menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyaksikan Forum AlQuds Semakin Hampir. Antara isu-isu lain yang akan dikupas adalah pendedahan mengenai keadaan geo politik antarabangsa berkaitan pembebasan Palestin dan kepentingan Masjid Al-Aqsa.  

Jangan lupa juga untuk menyaksikan program-program lain yang sedang ditayangkan di stesen ini. Antara yang menarik adalah 40 Kalam Junjungan, sebuah tazkirah pendek yang mengupas aspek perawi, matan hadis dan pengajaran daripada kitab 40 hadis Imam Nawawi. Rancangan ini bersiaran pada setiap hari Ahad pada jam 7:30 malam di TV ALHIJRAH.







Slot Qalbu TV AlHijrah konsisten dalam menyebarkan agenda dakwah kepada masyarakat menerusi rancangan-rancangan terbaik pilihannya.



Terbaru, TV AlHijrah menyiarkan drama berjudul Janji Pada Hati. Drama arahan Sham Jr. yang diterbitkan oleh MDAG Marketing Production Sdn. Bhd. ini disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang.

Janji Pada Hati berkisah tentang seorang wanita bernama Dahlia yang amat tabah dalam memelihara rukun kebahagiaan di dalam rumahtangganya.

Dahlia adalah seorang suri rumah sepenuh masa yang amat menyayangi anak tunggalnya Aina. Walau luaran kelihatan bahagia, namun Dahlia sering kali merasakan dirinya terkurung. Tidak seperti suaminya Ezani yang bekerjaya serta senantiasa sibuk dengan kariernya.



Rasa kelompongan yang ada di dalam hati Dahlia tambah buruk apabila dia mengetahui Maira, kekasih lama Ezani akan memulakan kerjasama dengan suaminya di tempat kerja. Maira akan menjadi peguam kepada syarikat Ezani.

Disebabkan itu, Dahlia berpakat dengan Laila, rakan sepejabat Ezani untuk mengintipnya di tempat kerja. Bukan itu sahaja, Laila turut memberi amaran kepada Maira agar menjauhi Ezani kerana dia sudah berkeluarga. Laila turut menasihatkan Ezani agar tidak rapat dengan Maira demi Dahlia.

Sedikit sebanyak nasihat Laila meninggalkan kesan di dalam hati Ezani. Untuk menjernihkan keadaan, Ezani membuat kejutan dengan menghadiahkan jambangan buat Dahlia. Ezani berjanji untuk meluangkan lebih banyak masa dengan Aina, anak mereka.



Walau gembira, Dahlia masih rasa ragu-ragu. Perasaan curiganya bertambah teruk apabila mereka terserempak dengan Maira di pasaraya. Dahlia nampak reaksi Ezani yang terkedu melihat Maira. Bahasa tubuh mereka berdua meyakinkannya bahawa Ezani curang.

Konflik semakin tegang apabila Dahlia terjumpa penyata bank tempahan hotel dan pembelian barangan berjenama daripada kad kredit Ezani. Dahlia meminta kepastian dengan Laila berkenaan hal tersebut dan Laila mendakwa Ezani membelikan barangan tersebut untuk Maira.

Dahlia tekad untuk bersemuka dengan Maira di pejabatnya. Saat melihat kelibat Ezani dan Maira yang kelihatan mesra, hatinya hancur. Dia melulu pulang ke rumah. Malang tidak berbau, kereta yang dipandu Dahlia kemalangan.



Dahlia koma. Ezani mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga isterinya yang terlantar di hospital. Dia juga perlu menjaga Aina.

Takdir Allah Dahlia tersedar dari koma yang Panjang. Namun begitu, segalanya kelihatan amat mengelirukan.

Saat terjaga, Dahlia terkejut apabila terbau nasi goreng kegemarannya yang sering dimasak oleh arwah ibunya. Apabila ke dapur, dia melihat sosok tubuh ibunya Hajah Siti yang telah meninggal dunia. 



Kehidupan Dahlia seperti berputar kembali ke zaman silam. Malahan jeritan ibunya agar dia lekas pergi ke kelas pengajian benar-benar membuatnya keliru. Dahlia terkejut kerana dia masih pelajar di universiti. Dia juga bukan isteri Ezani. Malah, Aina juga tidak pernah wujud sama sekali.

Apakah yang sebenarnya sedang terjadi? Adakah ini semua adalah khayalan Dahlia? Benarkah Dahlia pernah menjadi isteri Ezani? Kesemua persoalan ini akan terjawab sepanjang 13 episod siaran drama penuh warna warni ini.



Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Janji Pada Hati yang membariskan pelakon hebat tanah air seperti Ezzaty Abdullah, Azwan Kombos, Raysa Sofea, Hazwani Helmi dan ramai lagi.








TV AlHijrah membuka tirai 2022 dengan menyiarkan sebuah drama siri 13 episod di Slot Qalbu. Drama terbitan Global Holding Sdn Bhd ini disiarkan pada setiap hari Isnin dan Selasa jam 6 petang.
'Sepi Itu Pasti' membariskan pelakon-pelakon baru seperti Dini Shazman sebagai Zack yang menjadi teraju utama drama ini. Turut bersama adalah Husna Mustaffa sebagai Nadia dan Syafiq Sahli yang memegang watak antagonis bernama Fendi.



Drama ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Zack yang berperang dengan suara hatinya tatkala dia berusaha merubah diri menjadi manusia yang lebih baik. Dia kerap merasakan masyarakat sekeliling membenci dan tidak boleh menerima perubahan dirinya.

Berbeza pula dengan Fendi, seorang pemuda yang amat disenangi oleh masyarakat setempat. Di mata semua, Fendi memiliki akhlak yang cukup baik dan sempurna imannya.



Namun semuanya berubah apabila Fendi cuba dijodohkan dengan seorang gadis bernama Nadia. Percubaan menyatukan Fendi dan Nadia datang dari ayah Nadia sendiri iaitu Pak Baharom. Sikap terlalu mengongkong anak-anak membuatkan Pak Baharom tidak segan silu mendesak Fendi menikahi anaknya dalam tempoh masa enam bulan.

Tanpa siapa sedari, Zack turut menaruh perasaan kepada Nadia. Namun, dia akur bahawa Fendi lebih baik dan layak buat Nadia berbanding dirinya. Cuba mengubati hati sendiri, Zack memutuskan untuk memulakan misi bantuan buat masyarakat setempat yang perlu dibantu.



Zack menyertai misi bantuan yang dinamakan Dapur Kita. Dia keluar masuk kampung menghantar barang pesanan orang kampung. Nama Zack mula meniti dari bibir ke bibir kerana keihklasan dan kesungguhan dia melaksanakan tanggung jawab yang diberikan.

Bagi Zack pula, apa yang dia lakukan adalah usaha untuk membersihkan salah tanggap orang kampung terhadap dirinya. Dia turut berharap agar kebaikan yang dilakukan dapat membersihkan dirinya dari dosa silam.



Takdir merubah segalanya. Nadia ditimpa kemalangan. Dia menjadi mangsa ragut. Peristiwa ini menerbitkan rasa simpati lantas membuatkan Zack semakin ingin mendekati Nadia.

Nadia dan Zack semakin rapat dan ini mengundang cemburu kepada Fendi yang cuba menjauhkan mereka. Fendi merasakan Nadia telah berubah hati dan pertelingkahan terjadi di antara mereka berdua.



Fendi mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya. Niatnya Cuma satu, dia harus memperisterikan Nadia. Lantas dia meminta ibu bapanya mengaturkan segera lamaran dan pertunangan.

Malang menimpa, ibu bapanya telah pun memiliki calon yang sesuai untuk Fendi. Mereka tidak mahu bermenantukan perempuan kampung seperti Nadia. Demi memastikan Nadia tidak dimiliki Zack, Fendi telah melakukan suatu perkara yang telah memeranjatkan semua pihak.



Adakah tindakan terburu-buru Fendi itu membuatkan Nadia setuju untuk menjadi isterinya? Bagaimana pula Zack memujuk hati agar tidak lagi berharap kepada kasih Nadia? Mampukan Zack meneruskan kerja-kerja kebaikannya selepas ini?

Jangan lupa untuk terus bersama drama Sepi Itu Indah bagi mengetahui kesudahan kisah kehidupan Zack. Apa yang pasti, drama terbaru ini sarat dengan pengisian yang mengetengahkan nilai-nilai murni dan budi bahasa secara tersurat mahupun tersirat. 



Selain daripada drama Sepi Itu Pasti, TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain pada bulan ini seperti Bicara Fail Syariah (Setiap Isnin, bermula 10 Januari 2022, jam 9.30 malam) Cinta Ilmu (setiap hari Isnin hingga Rabu, 7:30 malam) dan Analisis (setiap hari Jumaat, 6 petang).







TV AlHijrah terus komited dalam mengorak langkah memperkemaskan visi dan misinya dalam menjadi stesen peneraju utama penyampaian nilai Islam.



Terbaru, TV AlHijrah kini sedang menyiarkan sebuah program berjudul Rasulullah SAW Bersabda. Program ini adalah tajaan Yayasan Maghfirah, sebuah organisasi berdaftar secara rasmi dibawah Bahagian Hal Ehwal Undang–Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.  

Rancangan Rasulullah SAW Bersabda telah bermula siarannya pada 29 November 2021 lalu dan akan terus disiarkan pada setiap hari Isnin jam 8:30 malam, selama 10 episod siaran. Rancangan ulangannya pula akan disiarkan pada setiap Khamis, jam 5 petang.



Seperti yang diketahui umum, hadis berperanan penting sebagai sumber rujukan kedua selepas Al-Quran. Hadis juga berfungsi memperjelaskan Kalam Allah dan dilaksanakan melalui perkataan dan perbuatan Baginda Rasulullah.

Sedar akan peri pentingnya ilmu hadis sebagai sumber hukum kedua, rancangan Rasulullah SAW diterbitkan sebagai usaha mendidik masyarakat untuk menyelami ilmu hadis dengan lebih mendalam.



Secara ringkasnya, Rasulullah SAW Bersabda adalah sebuah rancangan bual bicara rohani yang meletakkan objektif utama untuk memperkenalkan masyarakat dengan ilmu-ilmu hadis.  Rancangan ini turut memberi penekanan kepada syarahan hadis yang dapat memberikan pencerahan yang lebih jelas terhadap permasalahan rakyat Malaysia pada zaman ini.

Dihoskan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, rancangan ini membawa misi besar iaitu membudayakan dakwah serta menggerakkan potensi ummah berpandukan hadis agar kita mampu menjadi khalifah terbaik di muka bumi Allah. Selain itu, ia turut melatih masyarakat untuk mengidolakan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan utama dalam kehidupan seharian.



Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi akan ditemani panel jemputan istimewa seperti Ustaz Zul Ramli Razali, Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, PU Amin, Adam Corrie, Azmi Saat dan ramai lagi bagi membincangkan tajuk-tajuk mingguan seperti Tekanan Kemiskinan, Berhemah Di Media Sosial, Berbuat Baik Kepada Bukan Islam dan pelbagai lagi.

Selain daripada rancangan Rasulullah SAW Bersabda, TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain pada bulan ini seperti Hijrahkan Laguku (Setiap Sabtu, 9 malam), Cinta Ilmu (setiap Isnin hingga Rabu, 7:30 malam), Analisis (setiap Jumaat, 6 petang), Tijarah (setiap Khamis, 5.30 petang), Syariat Tarekat Makrifat (setiap Rabu, jam 9 malam), Biografi Agung (bermula 16 Disember, setiap Khamis jam 8.30 malam) dan Gema Haflah (bermula 31 Disember, Jumaat, 9 malam).







Minggu kedua rancangan realiti hiburan Islamik terbitan TV AlHijrah iaitu Hijrahkan Laguku (HL) yang telah membuka tirai kedua pada malam tadi memberi kejutan apabila Faizal Ismail dan Bell Ngasri yang bertindak selaku hos rancangan mengumumkan kesemua lapan peserta mara ke minggu ketiga.



Keputusan ini dilihat bagaikan memahami kehendak penonton yang masih tidak puas melihat kesemua bintang HL berdakwah menerusi lirik dan melodi lagu.

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna Zulkarnaen Mokhtar berkata tiada penyingkiran bukan tanda selamat. Konsep rancangan ini masih kekal dimana hanya seorang penyanyi bakal bergelar juara HL.



"Minggu ini adalah minggu bonus kepada para peserta. Peluang tidak harus disia-siakan. Mereka perlu kembali pada minggu hadapan dengan lebih baik.

"Kami menjangkakan gaya penyampaian dakwah serta strategi menghijrahkan lagu dan melodi yang lebih mantap pada minggu seterusnya dengan tema berlainan yang pastinya lebih mencabar.



Episod kedua HL juga dilihat sedikit berbeza apabila pihak produksi menampilkan juri tambahan iaitu Hazamin Inteam.

"Minggu pertama HL dilihat sedikit tegang apabila media sosial kami dipenuhi dengan lambakan komen-komen netizen yang mahukan juri lain yang berpengalaman luas  dalam penggubahan lirik lagu ketuhanan selain Fauzi Marzuki.



"Kami yakini kredibiliti Fauzi Marzuki sebagai juri tetap. Namun kami ambil kira juga pandangan penonton yang mahukan penambahbaikan. 

"Minggu kedua dan seterusnya, kita tambah lagi seorang juri jemputan yang berpengalaman dalam rencah lirik lagu dakwah dan ketuhanan," jelas Zulkarnaen.

Bertemakan Growing Up, persembahan minggu kedua malam tadi meninggalkan kesan mendalam apabila separuh daripada artis memilih untuk membuka persembahan mereka dengan bacaan ayat suci Al-Quran serta potongan doa.



Zaf VE melantunkan doa buat ibu bapa. Shahir Zawawi pula membaca potongan ayat dari surah Ar-Rahman. Manakala Dato' Nash serta Rahmad Mega mengalunkan kalam Allah dari surah As-Shams dan Al-Baqarah.

Walau bagaimanapun, kekuatan vokal, lirik serta persembahan mantap Dato' Nash yang menyampaikan lagu Asli menambat hati juri lantas diumumkan sebagai juara persembahan dengan peratusan paling tinggi iaitu 77 peratus.



Juara mingguan membawa pulang wang tunai bernilai tiga ribu ringgit Malaysia. Namun, Dato' Nash menyumbangkan wang kemenangan tersebut kepada salah sebuah badan NGO yang akan dikunjunginya bersama pasukan CSR Hijrah Prihatin Hijrahkan Laguku iaitu Pusat Genius Kurnia.

Sementara itu, Shahir Zawawi yang menyanyikan lagu Kepadamu Kekasih mendapat markah kedua tertinggi (72 peratus) diikuti Iwan Shahman di tempat ketiga dengan lagu Solatlah Dulu (66 peratus).

Kesemua peserta diadili oleh tiga juri iaitu Fauzi Marzuki sebagai juri tetap manakala Hazamin Inteam dan Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Izhar Ariff pula sebagai juri jemputan.

Hijrahkan Laguku yang bersiaran setiap Sabtu, jam 9 malam mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Siaran ulangan HL turut boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.








Selepas sambutan menggalakkan dan respon positif penonton terhadap drama Dia Isteriku yang mengisi Slot Qalbu baru-baru ini, TV AlHijrah terus menambat hati penonton setianya dengan menyiarkan sebuah drama baharu terbitan Side Fx Sdn Bhd berjudul Ustazah Robotik.



Drama arahan Muhammad Muhammad Syuhaimi Zulkefli berjudul Ustazah Robotik ini disiarkan pada setiap hari Isnin dan Selasa, jam 6 petang bermula 8 November yang lalu. Drama 13 episod yang membekalkan mesej-mesej Islamik buat semua lapisan usia ini menggabungkan barisan artis terkenal dengan aura karakter berbeza seperti Puteri Sarah Liyana, Maisara Sufia, Zaki Azeman, Zarina Zainuddin, Esma Daniel dan ramai lagi.

Drama ini berputar sekitar kehidupan Asma yang sangat obses terhadap permainan robot.  Minat mendalam Asma ini adalah hasil pendedahan daripada ayahnya yang merupakan seorang jurutera robotik.



Malang tidak berbau, ayah Asma terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya. Kehilangan, kerinduan dan kekecewaan ibu Alya iaitu Tini terhadap peristiwa malang itu membuatkannya kurang senang terhadap minat Asma kepada robot.

Lantaran itu Asma memberontak dalam diam. Bagi Asma, berdampingan dengan robot seolah-olah ia sebagai penghilang rindu dan penghubung hatinya dengan arwah ayah tercinta. Tewas dengan kehendak Asma, Tini akur dan cuba mendorong minat Asma terhadap robot sehinggalah anak sulungnya itu berjaya menjadi jurutera robotik.



Dalam liku-liku hidupnya untuk mencapai impian, Asma jatuh hati dengan majikannya sendiri iaitu Muaz. Pada masa yang sama, ibu Muaz, Datin Sufinah menyusun rancangan menjodohkan Muaz dengan Ilya, adik Asma. 

Pertemuan tidak sengaja antara Datin Sufinah dan Ilya berlaku dalam satu majlis ilmu. Datin Sufinah jatuh hati saat melihat keayuan, kelembutan, sikap sopan dan peribadi baik Ilya yang berilmu agama.



Datin Sufinah yakin Ilya mampu mengendurkan sikap keras kepala anaknya, Muaz. Namun, Ilya menolak pinangan Datin Sufinah. Puncanya, salah satu robot ciptaan Asma bernama Adam memberitahu Ilya bahawa Asma sudah lama jatuh hati pada Muaz.

Ilya tidak sanggup merampas kebahagian kakaknya yang banyak berkorban mental dan fizikal setelah ayah mereka meninggal dunia.



Berjayakah Ilya menyatukan Asma dengan Muaz? Mampukah Ilya meyakinkan Datin Sufinah bahawa Asma adalah calon menantu terbaik serta ustazah robotik yang paling cocok untuk menjadi isteri Muaz?
Ayuh sama-sama saksikan kesudahan kisah Ustazah Robotik di TV AlHijrah. Drama ini memberikan mesej yang cukup jelas kepada penonton bahawa kita semua selaku khalifah di muka bumi yang Esa harus sentiasa memperkukuhkan pegangan agam, menguatkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar untuk menjadi yang terbaik.

Saksikan Ustazah Robotik setiap Isnin dan Selasa jam 6 petang di slot QALBU, TV AlHijrah.








Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Haji Idris Ahmad melancarkan sambutan Maulidur Rasul serta wajah baharu Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah di dalam rancangan Assalamualaikum hari ini.



Tema Manhaj Rabbani, Negara Harmoni dipilih dalam menterjemahkan lapan rancangan yang memanifestasikan kerinduan umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Sementara itu, Idris berkata kesemua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disarankan untuk saling berganding bahu mempromosikan lima Inisiatif Mantap bagi melengkapkan Keluarga Malaysia.



Gagasan yang merangkumi Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani, Pemantapan Sistem Pendidikan Islam, Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam, Inisiatif Pemantapan Institusi Masjid dan Surau dan Pemantapan Sosio Ekonomi Ummah ini bertepatan dengan apa yang dituntut di dalam ajaran Islam menerusi Maqasid Syariah.

“Empat belas agensi agama diamanahkan untuk melaporkan perjalanan Inisiatif Mantap ini agar perancangan dan pelaksanaan dapat berjalan seiring serta KPI 100 hari dapat dicapai. Setakat ini, saya sangat berpuashati dengan usaha kesemua agensi.

“Semua agensi perlu bekerja keras untuk mencari ‘Maisyah’ iaitu kehidupan, mengabdikan diri kepada Allah SWT serta pada masa yang sama meninggalkan legasi yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.” pesan beliau.



Idris turut menzahirkan harapan agar TV AlHijrah terus mencari kelainan agar stesen ini akan terus kekal menjadi pilihan rakyat.

“Masyarakat memuji siaran TV AlHijrah yang penuh bermaklumat. Maka usaha TV AlHijrah dalam menyampaikan kebaikan Islam kepada masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam harus dilaksanakan secara berterusan”.

Turut hadir pada majllis pelancaran program tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.



Beliau menzahirkan rasa syukur kerana Studio Digital TV AlHijrah telah melalui proses pembaharuan dari segi rekaan studio, set dan logo. Pembaharuan ini seiring dengan penambahbaikan kandungan rancangan yang lebih segar, mendidik, menghibur serta menjawab isu semasa menerusi penyelesaian dari perspektif Islam. 

Namanzee turut memaklumkan bahawa tradisi meraikan hari kebesaran Islam akan diteruskan pada bulan ini menerusi Kempen Maulidur Rasul.

 “Lapan seleksi rancangan istimewa akan dihidangkan kepada penonton bermula 7 Oktober 2021 sehingga 29 Oktober 2021. Manakala, kemuncak siaran yang membawa penonton memperingati sirah dan sunnah Baginda akan berlangsung pada 19 Oktober.



“Dokumentari Mosques Around The World yang memulakan siaran pada 4 Oktober, Isnin hingga Rabu jam 4 petang harus ditonton kerana ia adalah perkongsian maklumat tentang kepelbagaian masjid-masjid seluruh negara serta kajian tentang unsur budaya masjid sesebuah negara. 

Namanzee berkata, penonton juga tidak harus ketinggalan menonton Cinta Ilmu Istimewa Maulidur Rasul pada 18 hingga 20 Oktober, jam 7.30 malam. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Farid Ravi Abdullah, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim serta beberapa panel lain akan membincangkan topik keunggulan Baginda SAW, Perjuangan Rasulullah dan Kelebihan Umat Akhir Zaman.

“Selain itu, kami siarkan Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober, Selasa jam 9 malam. Konsert ini adalah simbolik curahan kasih dan kerinduan terhadap Baginda Nabi. Rancangan ini mengabungkan elemen bacaan Al-Quran, persembahan qhasidah, selawat buat Baginda serta monolog, sajak dan tausiyah. Antara personaliti tanah air yang akan kita tampilkan adalah kumpulan Raihan, Kumpulan Zayne, Daqmi, Naqiu, Ustaz Wadi Annuar, Ustaz Jafri Abu Bakar dan ramai lagi.



Antara rancangan istimewa lain adalah Sambutan Maulidur Rasul pada 18 Oktober jam 9 malam, Siaran Langsung Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia pada 20 Oktober jam 4.30 petang, Di Ambang Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober jam 6 petang, Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan pada 26 Oktober jam 9 malam dan Gema Haflah pada 30 Oktober jam 9 malam.







Slot Qalbu di TV AlHijrah sedang menyiarkan drama bersiri ketiga semenjak ia dilancarkan Jun 2021 lalu. Drama Dia Isteriku telah memulakan tayangannya pada 13 September lalu, setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang.



Drama 13 episod ini adalah kisah duri dalam daging di dalam keluarga Helmi dan Aisyah. Segalanya bermula apabila Elisha, anak kandung Aishah hasil perkahwinan terdahulu bersama Bahar datang tinggal bersama ibunya disebabkan Bahar dihantar bertugas ke Afrika Selatan.

Elisya mengalami sedikit kejutan budaya dan mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri. Manakan tidak, sewaktu tinggal dengan bapanya, hidup dia agak bebas dan dia tidak mempedulikan hukum hakam agama.

Suasana amat berbeza di rumah ibunya. Helmi dan Aishah mementingkan suasana kehidupan Islam dan penuh kasih sayang. Ini membuatkan Elisya rasa terkongkong dan memberontak.



Namun begitu, Helmi dan Aishah tidak pernah berbagi kasih sayang. Sebagaimana mereka mengasihi anak kandung mereka Ikhwan, begitu mendalam juga perhatian dan layanan diberikan kepada Elisya. Namun begitu, didikan dan kasih sayang Helmi disalah tafsir oleh Elisha. Dalam diam dia jatuh cinta dengan bapa tirinya. Dia berusaha berubah mengikut corak hidup sebagai muslimah sejati untuk menarik perhatian Helmi. Bukan itu sahaja, Elisya juga mula bertudung, menjaga solat dan jarang keluar rumah.

Perubahan sikap Elisya itu mengejutkan ramai kawan-kawannya terutamanya kawan baiknya Intan. Mereka tidak menduga Elisya yang selama ini begitu benci hidup terkongkong bertukar menjadi muslimah sejati.

Elisya tanpa segan silu memberitahu Intan bahawa dia berubah disebabkan bapa tirinya. Dia kini terpikat dan jatuh cinta dengan perawakan dan perwatakan Helmi. Keadaan bermula tegang apabila cerita Elisya terpikat dengan bapa tirinya mula tersebar dan menjadi gosip hangat sehingga menjejaskan hubungan Aisyah dan Helmi.



Dugaan demi dugaan berlaku terhadap keluarga Helmi dan Aishah. Kemuncak, tatkala Helmi menjelaskan kepada Elisya bahawa dia menyayangi Elisya seikhlas hati sebagai seorang bapa, Elisya bertindak nekad menjadi duri dalam daging dengan menyebarkan fitnah bahawa Helmi cuba berbuat tidak baik terhadap dirinya.

Aisyah percaya dengan fitnah Elisya. Bahar pula kononnya atas tanggungjawab sebagai bapa membuat laporan polis sehingga menyebabkan Helmi ditahan polis. Helmi tabah dan tetap menafikan segala tuduhan itu. Elisya yang bangga dapat membalas dendam terhadap Helmi secara tidak sengaja memberitahu Intan bahawa sesiapa yang menolak kehendak dan keinginan dirinya pasti akan menerima padah.

Mampukah Helmi membersihkan nama baiknya sekaligus membebaskan dirinya dari tahanan pihak polis? Adakah Aishah sanggup menerima Helmi kembali? Bagaimana pula Bahar berhadapan dengan anak kesayangannya Elisya setelah perkara sebenar terbongkar?



Jangan lupa untuk sama-sama menyaksikan drama Dia Isteriku terbitan Sha’s Media Sdn.Bhd yang diarahkan oleh Mazri Mustafa dan bagi mengetahui kesudahan kisah kisah peritnya fitnah dan manisnya sabar dalam kehidupan berkeluarga. Drama Dia Isteriku dilakonkan barisan pelakon hebat tanahair seperti Rozita Che Wan, Hafidz Roshdi, Shalma Eliana, Dato Fizz Fairuz dan ramai lagi.