Reset Kesihatan Praktikal untuk Tahun Baharu | Dunia Penuh Gosip

Reset Kesihatan Praktikal untuk Tahun Baharu

“Apakah azam tahun baharu anda?” 
“Tahun baharu, amalan baharu!”

Apabila menjelang tahun baharu, ungkapan sebegini sering menjadi sebutan ramai, bersama pelbagai nasihat tentang cara menetapkan matlamat dan membentuk rutin kesejahteraan yang boleh meningkatkan tahap kesihatan kita. Dalam dunia yang tidak pernah kekurangan nasihat kesejahteraan, suplemen yang sedang hangat di laman soal dan rutin ‘wajib buat’, memang mudah untuk rasa keliru dan akhirnya hilang fokus terhadap perkara yang benar-benar menyokong kesejahteraan diri.



Namun, bagaimana jika kita mengambil pendekatan yang sedikit berbeza bagi 2026? Daripada terus mencabar diri untuk melakukan lebih banyak perkara setiap tahun, bagaimana jika kita memilih dengan lebih bijak? 

Dr Vipada Sae-Lao, Ketua Latihan dan Pendidikan Pemakanan – Asia Pasifik, Herbalife, berkata: “Kesejahteraan bukan satu proses yang sama untuk semua. Apa yang berkesan untuk orang lain mungkin tidak sesuai dengan kesihatan badan atau gaya hidup anda.  Dalam artikel ini, matlamat saya adalah ringkas: untuk membantu anda menyemai azam yang bukan sahaja memenuhi keperluan asas anda tetapi juga disesuaikan dengan gaya hidup, tahap kecergasan dan kesibukan anda, agar anda boleh menjalani kehidupan yang lebih sihat dan seimbang.” 

Beralih Kepada Gaya Hidup Berasaskan Pencegahan

Penemuan awal daripada Tinjauan Pemakanan Tambahan Bertanggungjawab Asia Pasifik Herbalife 2025 (2025 Herbalife Asia-Pacific Responsible Supplementation Survey) mendedahkan bahawa penjagaan kesihatan menerusi pencegahan semakin diutamakan oleh rakyat Malaysia, mencerminkan perubahan ketetapan minda ke arah pengurusan kesejahteraan yang proaktif. 



Penekanan terhadap pencegahan dikukuhkan lagi dengan data terbaharu daripada Tinjauan Perhubungan Awam Memperkasakan Kesihatan & Ekonomi APAC 2025 (2025 APAC Health & Economic Empowerment PR Survey), yang mendapati bahawa 61% daripada responden Malaysia menarafkan kesihatan dan kesejahteraan semasa mereka sebagai sangat baik atau lebih baik, manakala 57% meramalkan penambahbaikan berterusan pada masa depan. 

Mengulas mengenai perkembangan ini, Dr. Vipada Sae Lao berkata, “Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Rakyat Malaysia semakin sedar tentang betapa pentingnya pendekatan proaktif demi manfaat kesihatan mereka.”

Jadi, apa yang harus kita lakukan? Bertentangan dengan kepercayaan umum, pelaburan dalam kesihatan diri tidak semestinya melibatkan perubahan ketara.  Malah, pelaburan kesihatan paling bijak ialah menerusi amalan yang konsisten, sihat dan berlandaskan sains bagi memastikan tubuh kekal berdaya tahan.  Pemakanan yang seimbang dan kaya dengan nutrien, melakukan aktiviti fizikal yang anda gemari, tidur lena yang memulihkan badan, minum air yang secukupnya dan kawalan tekanan atau stres yang berkesan adalah unsur-unsur penting untuk mengekalkan kesejahteraan. 

Pencegahan, pada asasnya, adalah usaha memberikan permulaan terbaik kepada diri kita pada masa hadapan.

Tubuh Anda Paling Memahami Keperluannya

Badan anda sihat apabila anda memberikannya apa yang diperlukan, dan bukan sekadar mengikut  trend semasa. 



Mulakan dengan mengamalkan diet yang mencerminkan metabolisme, keperluan pemakanan, matlamat kesihatan dan pilihan kebudayaan unik anda agar ia dapat disesuaikan secara semula jadi dalam rutin harian. Makanan yang berkhasiat merangkumi protein rendah lemak bermutu tinggi, karbohidrat sihat, asid lemak penting, serat, vitamin dan mineral, dan pelbagai jenis antioksidan  yang diperlukan untuk mengekalkan tenaga, memulihkan badan dan mencapai kesejahteraan keseluruhan. Pastikan anda minum air yang secukupnya, menguruskan tekanan dengan strategi praktikal dan menyokong kesihatan usus menerusi makanan yang kaya dengan serat, probiotik dan amalan makan secara sedar. Anggaplah langkah-langkah ini sebagai memberikan apa yang diperlukan oleh badan anda perlukan melalui pemakanan. 

Gabungkan pemakanan dengan pergerakan atau senaman yang anda gemari, iaitu sesuatu yang boleh anda lakukan secara konsisten, kerana senaman seharusnya mencergaskan badan, bukannya meletihkan diri. Beri keutamaan kepada tidur dan rehat berkualiti, yang memainkan peranan amat penting dalam metabolisme, keseimbangan hormon dan pemulihan. 
 
Sokongan berlandaskan Sains untuk Memenuhi Keperluan Anda 

Sambil anda menyesuaikan rutin kesihatan diri, anda perlu mempertimbangkan pemakanan tambahan atau suplemen dengan cara yang sama. Hasil Tinjauan Pemakanan Tambahan Bertanggungjawab Herbalife Asia Pasifik 2025 menyuarakan kebimbangan ramai rakyat Malaysia. Dalam kalangan 1,000 rakyat Malaysia yang ditinjau selidik, 43% mengambil suplemen setiap hari, manakala 63% melaporkan pengambilan lebih daripada satu jenis suplemen kesihatan. Walaupun begitu, 34% berkata bahawa mereka kurang yakin untuk memilih suplemen yang betul. 

Cara terbaik untuk menentukan pengambilan suplemen ialah dengan menjadikannya pelengkap kepada diet anda. Jangan hanya ambil apa yang sedang hangat diperkatakan oleh orang lain. Mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan atau pakar pemakanan berkelayakan untuk membantu anda memilih formula yang bermutu tinggi berlandaskan sains daripada sumber yang dipercayai untuk menyokong tahap tenaga, keimunan dan fungsi harian anda. Suplemen yang dipilih dengan penuh pertimbangan  boleh dijadikan sebahagian daripada rancangan kesejahteraan diri anda.

Menguruskan Tekanan: Faktor Penting Dalam Kesejahteraan Jangka Panjang 

Gaya hidup pantas yang diamalkan oleh sebahagian besar daripada kita sering kali bermakna masa kerja berpanjangan, corak pemakanan tidak tetap, tanggungjawab lebih besar, jangkaan lebih tinggi dan pendedahan digital yang lebih berleluasa. 



Tekanan yang tidak terurus dan berpanjangan memberikan kesan ketara terhadap sistem biologi di dalam badan, termasuk tindak balas imun, fungsi usus, kecekapan metabolisme dan kawalan hormon kortisol.

Amalkan kaedah pengurusan tekanan yang mudah seperti bermeditasi, rehat secara berkala semasa bekerja, mewujudkan rutin menenangkan pada waktu malam, rutin tidur yang konsisten dan mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan. 

Kajian mendapati bahawa hubungan keluarga dan komuniti yang kukuh merupakan penentu penting kebahagiaan dan panjang umur bagi penduduk dalam Zon Biru. Justeru menjalin hubungan peribadi yang erat dan keterlibatan dalam komuniti yang saling memberi sokongan adalah cara yang bermakna untuk mengekalkan komitmen kepada rutin kesejahteraan anda, sambil mengurangkan kesan psikologi tekanan harian. 

Teknologi Harian Yang Membantu Meningkatkan Kesihatan

Akhir sekali, gunakan teknologi untuk memudahkan anda memantau kemajuan anda. Aplikasi yang mudah digunakan boleh membantu menyelaraskan jadual anda yang sibuk.  Sama ada anda menggunakan aplikasi yang menjejak langkah, corak tidur, kandungan sajian dan pengambilan air, atau menggunakan peranti pengurusan diri yang mengukur parameter kesihatan utama yang disyorkan oleh penyedia penjagaan kesihatan anda, pelbagai pilihan praktikal boleh dimanfaatkan dengan hanya satu klik. Apabila digunakan secara konsisten, aplikasi mesra pengguna ini boleh memberikan maklumat jelas, struktur dan dorongan kecil yang menjadikan pilihan sihat lebih mudah dikekalkan dalam jangka panjang.


Selamat Tahun Baharu! Jadikan 2026 tahun yang sihat sejahtera bagi anda.





0 comments: