Majlis pelancaran rasmi Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FE MIRF 2023) pada hari ini dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub yang menyaksikan objektifnya untuk menarik pelaburan sejumlah RM 120 juta kepada para peruncit dan pemberi francais tempatan melalui pameran terbaru yang dijenamakan semula.
Dikenali sebagai pameran Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia (MIRF) sebelum ini, Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA) menjenamakan semula pameran berprestij ini kepada FE MIRF 2023 untuk edisi keenamnya. Tahun ini menandakan peristiwa penting untuk MRCA dengan inisiatif strategiknya bagi meningkatkan industri peruncitan dan francais di Malaysia, menarik para pelabur dari seluruh dunia.
Dengan hampir 400 buah gerai pameran dan lebih 200 pempamer, pameran tersebut menjangkakan kehadiran lebih 15,000 orang pengunjung, termasuk bakal-bakal pelabur, para pemilik perniagaan dan pelanggan. Ia berpotensi untuk menghasilkan peningkatan dalam aktiviti perniagaan, transaksi pempamer dan jualan. Dengan pertumbuhan yang signifikan dalam penyertaan oleh para pelabur dan peruncit luar negara seperti Taiwan, Korea, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom, Vietnam, India dan Australia, FE MIRF 2023 membawa jenama yang kukuh dan mempunyai permintaan tinggi. Ia menjadi platform kepada para pemegang francais dan pelabur tempatan membuat keputusan yang teliti berdasarkan perbandingan sebelah menyebelah terhadap francais-francais antarabangsa dan memperkenalkan jenama-jenama tersebut dalam pasaran Malaysia.
Para pempamer tempatan mempamerkan konsep-konsep francais buatan Malaysia yang inovatif, mempersembahkan peluang yang menarik kepada para pelabur untuk menyertai pertumbuhan jenama-jenama tempatan. Konsep-konsep ini direka khusus bagi memenuhi permintaan dan citarasa unik pasaran Malaysia. Dengan memanfaatkan platform FE MIRF 2023, para pempamer tempatan mempamerkan tawaran terbaik mereka bagi menarik pelaburan yang akan membolehkan perkembangan dan kelangsungan francais mereka.
Di antara peristiwa penting adalah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Tunjang F&B MRCA dan TAZTE by ZCITY, sebuah platform digital F&B dan solusi perniagaan automatik. Acara ini merupakan langkah yang penting demi mencapai matlamat MRCA untuk mendapatkan pelaburan sejumlah RM120 juta. Acara ini melambangkan komitmen MRCA dan TAZTE by ZCITY yang teguh untuk memupuk inovasi, daya saing dan kelestarian dalam industri F&B. Kedua-dua pihak mensasarkan untuk mencipta sebuah ekosistem yang dinamik dan bersemangat yang akan memberi manfaat kepada perniagaan, para pengguna dan ekonomi secara keseluruhan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub berkata, "Malaysia semakin dikenali sebagai hub untuk organisasi antarabangsa yang ingin terlibat dalam perniagaan di rantau Asia Tenggara. Selari dengan visi KPDN iaitu untuk mencapai perdagangan domestik yang progresif dan lestari, penekanan ini akan tertumpu kepada pentadbiran yang cekap dan efektif dalam sektor perdagangan pengedaran sebagai bahagian penting dalam sektor perkhidmatan di Malaysia. Sektor perdagangan pengedaran adalah termasuk peruncitan, jualan langsung, kedai-kedai rantaian, francais dan e-dagang telah menyumbang kepada perubahan perdagangan pengedaran dengan menyediakan kepelbagaian saluran pengedaran produk-produk dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam negara.
"Malaysia terletak di tengah-tengah rantau ASEAN, memberi kelebihan kepada kita untuk berkembang dan mencapai negara-negara jiran dan negara-negara lain. Kita mempunyai banyak sumber-sumber dan pengetahuan untuk memanfaatkannya demi meningkatkan eksport. MIRF pasti menjadi platform persaingan kepada perniagaan-perniagaan untuk berhubung dan saya percaya dalam masa 3 hari ini, Pusat Konvensyen KLCC akan membuahkan hasil dan mengujakan kepada semua," tambah beliau.
Tambahan lagi, FE MIRF 2023 turut manganjurkan perkhidmatan padanan perniagaan untuk mendorong prospek pelaburan. Dengan menganalisa profil para pelabur dan tawaran-tawaran pempamer, mesyuarat khusus akan diaturkan untuk menghubungkan rakan-rakan kongsi yang mempunyai minat yang sama dalam sektor masing-masing. Kaedah ini dapat memastikan perbincangan mengenai pelaburan menjadi lebih fokus dan selari dengan keperluan dan pilihan para pelabur, meningkatkan peluang kejayaan perkongsian dan komitmen pelaburan.
Selain itu, melalui inisiatif penglibatan yang direka secara terperinci, para pengunjung diberi persekitaran yang kondusif untuk menjalin interaksi langsung, menjalinkan hubungan, dan menjelajahi potensi kerjasama. Sesi suai kenal, mesyuarat khas, dan bengkel interaktif mencipta suasana yang kondusif untuk pertukaran yang produktif, membolehkan pemberi francais mempamerkan tawaran dan memberi peluang kepada para pelabur untuk menyatakan minat mereka. Melalui sokongan yang diterima dari kerajaan dan rakan-rakan strategik, MRCA yakin bahawa FE MIRF 2023 akan memainkan peranan yang penting dalam memulihkan ekonomi negara melalui perkembangan dan pertumbuhan sektor francais.
Cik Christine Tan, Pengerusi Penganjuran FE MIRF 2023 berkata, "Perasmian ini menandakan hasil perancangan yang teliti, dedikasi, dan kerjasama antara peneraju industri dan pengusaha, yang memiliki visi yang sama untuk memangkin pertumbuhan, inovasi, dan kemakmuran dalam sektor francais dan peruncitan. FE MIRF 2023 bukan sekadar pameran, malah ianya adalah platform yang bakal memacu perkembangan ekonomi, keusahawanan, dan perkongsian maklumat. Ini adalah tempat di mana perniagaan akan berkembang, dan kerjasama akan terjalin. Selanjutnya, FE MIRF 2023 akan terus menawarkan peluang pelaburan yang tiada tandingan, platform untuk jenama-jenama baru, pertukaran pengetahuan yang berharga, peluang jaringan yang luas dan perakuan industri, memandangkan kami berhasrat untuk menjadi pameran peruncitan dan francais terkemuka di Asia Tenggara."
Pameran ini disokong oleh Penaung Korporat MRCA iaitu Maxis, Fusionex, dan RHB, serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Franchising and Licensing Association (FLA) Singapura, dan Taiwan External Trade Development Council (TAITRA).
Ekspo Francais MIRF (FE MIRF) 2023 juga berbangga untuk bersama Nu Vending Sdn Bhd sebagai Penaja Platinum, POS2U Sdn Bhd sebagai Penaja Emas, Gem Reward Sdn Bhd; SBDG (SEA) Sdn Bhd; Web Bytes Sdn Bhd sebagai Penaja Perak, dan 168 Park Selayang Sdn Bhd dan China Mobile International Sdn Bhd sebagai Penaja Gangsa.
Ekspo Francais MIRF (FE MIRF) 2023 akan dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 7 hingga 9 Julai 2023. Untuk maklumat lanjut tentang Ekspo Francais MIRF (FE MIRF) 2023, sila layari:
https://mirf.my/ atau halaman Facebook https://www.facebook.com/MIRF.MRCA
Ini iniatif yg sgt bagus untuk memperluaskan eknomi negara. Tidak sekadar tertumpu pada satu sektor shj
BalasPadam