Kadar diabetes semakin meningkat di rantau Asia-Pasifik (APAC), dan dijangka menjadikan rantau ini sebagai penyumbang terbesar kepada beban ekonomi global akibat penyakit diabetes menjelang tahun 2030. Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan bahawa 15.6% orang dewasa berumur 18 tahun ke atas hidup dengan diabetes. Lebih membimbangkan, kira-kira dua daripada lima kes masih belum didiagnosis, manakala kelaziman diabetes yang diketahui meningkat secara berterusan kepada 9.7% .
![]() |
| Dr. Alex Teo, Pengarah Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik, Herbalife |
NHMS 2023 turut mendapati bahawa 54.4% orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan obes, yang menjadi satu kebimbangan kerana obesiti ialah faktor risiko utama tetapi boleh diubah untuk diabetes jenis 2 . Pertambahan berat badan yang berlebihan boleh meningkatkan risiko diabetes jenis 2, sekali gus mencetuskan kesan berantai yang membawa kepada rintangan insulin, iaitu keadaan di mana tubuh tidak lagi bertindak balas secara berkesan terhadap insulin, lalu menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.
Menurut Dr. Alex Teo, Pengarah Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik, Herbalife, “risiko ini semakin meningkat disebabkan oleh gaya hidup bandar pesat dengan rutin yang serba sibuk, penuh tekanan dan bersifat sendetari. Waktu bekerja yang panjang serta kemudahan mendapatkan makanan segera sering mendorong kepada tabiat pemakanan tidak sihat atau “stress-eating”, di mana snek dan hidangan manis sering dianggap sebagai jalan mudah untuk melegakan tekanan.”
Dr. Alex Teo juga menekankan kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak, dengan menyatakan bahawa seorang daripada tiga kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun di Malaysia kini mempunyai berat badan berlebihan atau obes . Jelas beliau lagi, obesiti pada usia muda membuka ruang kepada pelbagai cabaran kesihatan sepanjang hayat, termasuk diabetes jenis 2 serta penyakit kronik lain.
Ia juga penting untuk kita sedari bahawa sesetengah individu kelihatan mempunyai berat badan normal, tetapi sebenarnya membawa lebihan lemak dalam badan, satu keadaan yang dikenali sebagai “TOFI” (thin outside, fat inside). Ini adalah perkara biasa di kalangan orang Asia, serta individu yang mengambil protein secara tidak mencukupi dan menjalani gaya hidup tidak aktif. Diabetes jenis 2 juga boleh berlaku tanpa sebarang gejala pada peringkat awal, yang bermaksud seseorang mungkin mempunyai paras gula darah yang tinggi tanpa sedar.
Menangani “diabesiti” — iaitu keadaan di mana seseorang individu mengalami diabetes dan obesiti secara serentak — perlu bermula dengan usaha mengatasi punca asasnya, seperti pemakanan tidak seimbang dan kurang aktiviti fizikal, sebelum ia membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius. Dengan mengamalkan pilihan gaya hidup yang lebih sihat secara berperingkat dan berterusan setiap hari, termasuk penurunan berat badan sederhana, individu boleh meningkatkan kepekaan tubuh terhadap insulin serta mengurangkan risiko menghidap diabetes.
Makan dengan Bijak: Perubahan Kecil dalam Pemakanan Boleh Membawa Perbezaan Besar
Pemakanan memainkan peranan penting dalam pencegahan dan pengurusan diabetes jenis 2.
Makanan dengan indeks glisemik (GI) tinggi, seperti roti putih dan snek manis, boleh menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dengan cepat seterusnya membawa kepada rintangan insulin. Mengurangkan pengambilan minuman bergula seperti teh buih atau “bubble tea” dapat membantu mengawal pengambilan gula berlebihan dan meningkatkan kawalan paras gula dalam darah. Sebagai contoh, mutiara tapioka dalam minuman teh buih yang popular menambah kalori dan meningkatkan indeks glisemik, sekali gus menyumbang kepada obesiti, memburukkan diabetes dan menjejaskan kawalan tekanan darah. Sebaliknya, pilihan yang lebih sihat seperti bijirin penuh serta buah-buahan dan sayur-sayuran kaya serat dapat membantu menstabilkan paras gula darah dengan melambatkan penyerapan gula, di samping memberikan rasa kenyang lebih lama dan menyokong sistem penghadaman.
Dengan memberi tumpuan kepada pengambilan makanan semula jadi yang kaya dengan nutrien serta mengurangkan makanan diproses, individu dapat mengawal diabetes dengan lebih berkesan, di samping mempertingkat tahap kesihatan menyeluruh dan fungsi metabolik tubuh.
Menyokong pemakanan dengan suplemen yang tepat
Protein, asid lemak omega-3 dan magnesium merupakan nutrien penting yang membantu dalam pengurusan berat badan serta menyokong kesihatan metabolik, khususnya bagi individu yang berisiko menghidap diabetes jenis 2.
Protein membantu mengawal selera makan dengan meningkatkan rasa kenyang serta merangsang metabolisme, kerana proses pencernaannya memerlukan lebih banyak tenaga dan membantu membakar lebih banyak kalori. Asid lemak omega-3, yang terdapat dalam ikan seperti salmon, pula berperanan mengurangkan keradangan, meningkatkan kepekaan terhadap insulin, serta mengurangkan risiko penyakit berkaitan obesiti. Magnesium pula menyokong fungsi insulin dan metabolisme glukosa, sekali gus meningkatkan kepekaan terhadap insulin dan membantu mengawal paras gula dalam darah. Ia juga mengekalkan tekanan darah yang sihat dan menyokong fungsi otot, menjadikan tubuh lebih mudah untuk kekal aktif serta menguruskan berat badan.
Amalkan gaya hidup lebih sihat
Pilihan gaya hidup yang sihat juga memainkan peranan penting dalam mengurus dan mencegah diabetes jenis 2. Aktiviti fizikal secara berkala, seperti 150 minit senaman sederhana setiap minggu, membantu mengawal berat badan dan meningkatkan kepekaan terhadap insulin — dua faktor utama dalam pencegahan serta pengurusan diabetes. Sekiranya sukar mencari masa untuk bersenam semasa hari bekerja, alternatif mudah seperti melakukan yoga di meja kerja (desk yoga) atau berjalan seketika sebelum dan selepas makan juga mampu memberi kesan positif terhadap kestabilan paras gula dalam darah. Langkah-langkah kecil ini bukan sahaja menguatkan tubuh badan, tetapi turut meningkatkan tahap tenaga, kesejahteraan menyeluruh serta menyokong matlamat kesihatan jangka panjang.
Tidur yang tidak mencukupi dan tekanan kronik boleh mengganggu fungsi metabolik serta meningkatkan risiko menghidap diabetes. Oleh itu, memberi keutamaan kepada rehat yang mencukupi dan pengurusan tekanan amat mustahak bagi mengekalkan keseimbangan kesihatan tubuh. Kaedah pengurangan tekanan yang praktikal seperti meditasi dan latihan pernafasan dalam dapat membantu mengawal hormon tekanan, sekali gus meningkatkan keseimbangan metabolik dan menyokong kesejahteraan menyeluruh.
Mengurus kesihatan mungkin dirasakan mencabar di tengah-tengah tuntutan gaya hidup yang sibuk. Namun, perubahan kecil tetapi konsisten dalam rutin harian, disertai dengan langkah pencegahan dan pengesanan awal, merupakan antara faktor utama yang dapat membantu dalam usaha mencegah diabetes.




0 comments: