TV AlHijrah meneruskan komitmennya sebagai stesen penyiaran Islam terulung negara dengan mempersembahkan telefilem terbaharu berjudul Bisikan Qarin, yang bakal menemui penonton pada Ahad, 9 November 2025, jam 9.00 malam. Diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Ayie Mustafa, karya ini bukan sekadar kisah seram, tetapi satu naskhah dakwah yang membawa mesej mendalam tentang pergelutan antara logik, kepercayaan, dan kekuatan iman.
Menariknya, Bisikan Qarin merupakan telefilem pertama yang akan ditayangkan secara eksklusif di aplikasi penstriman AlHijrah Plus (AH+) bermula 6 November 2025, tiga hari lebih awal sebelum siaran di TV AlHijrah. Langkah ini menjadi sebahagian daripada strategi baharu stesen untuk memperluas capaian dakwah digital serta memperkenalkan kandungan Islamik berkualiti tinggi kepada penonton melalui platform mudah alih. Penonton digalakkan untuk memuat turun aplikasi AH+ bagi menikmati tayangan awal Bisikan Qarin dan pelbagai telefilem eksklusif lain yang bakal menyusul mulai Disember ini sebelum siaran di kaca televisyen.
Mengisahkan Dr. Hilal dan keluarganya yang berpindah ke sebuah rumah lama di kampung, Bisikan Qarin membentangkan kisah bagaimana gangguan ghaib mampu menjerumuskan manusia kepada kekeliruan akidah jika tidak berpaksikan ilmu dan keyakinan kepada Allah SWT. Isterinya, Puan Husna, mula terpengaruh dengan cerita pembantu rumah yang mendakwa rumah mereka diganggu makhluk halus namun kebenaran sebenar yang terbongkar akhirnya menjadi ibarat kepada tipisnya batas antara iman dan ilusi.
Menurut Zulkarnaen Mokhtar, Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, karya ini mencerminkan pendirian tegas stesen terhadap pematuhan syariah dan nilai dakwah dalam setiap kandungan yang diterbitkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa penerbitan telefilem ini seiring dengan misi dakwah TV AlHijrah untuk mengimbangi hiburan dan pendidikan rohani bagi mendekatkan masyarakat kepada Islam melalui jalan yang kreatif.
Zulkarnaen turut menekankan bahawa TV AlHijrah akan terus memperkasa industri kreatif Islamik dengan membuka ruang kepada penggiat seni yang mampu mengolah mesej dakwah melalui karya berkualiti tinggi.
Beliau menambah, Bisikan Qarin mengajak penonton menilai kembali makna ketenangan dan ketakutan dari sudut spiritual bahawa setiap kegusaran hati hanya akan reda apabila jiwa berpaut kepada Allah SWT.
Sesi pra-tonton bersama media turut diserikan dengan perkongsian khas oleh Eksekutif Kanan Unit Pematuhan Syariah, Syed Ali Alattas bin Syed Hassan yang mengupas mesej dakwah serta pematuhan syariah dalam karya tersebut. Beliau menjelaskan bahawa produksi berunsur seram perlu ditangani secara berhati-hati agar tidak menimbulkan kekeliruan akidah atau ketaksuban terhadap unsur ghaib.
Beliau menambah bahawa pendekatan TV AlHijrah wajar menjadi contoh kepada stesen lain dalam memartabatkan kandungan yang menepati adab dakwah dan sensitiviti syariah.
Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Nadiya Nisaa, Intan Ladyana, Fezrul Khan dan Rashidah Jaafar, Bisikan Qarin menonjolkan keseimbangan antara kepercayaan, iman dan kasih sayang keluarga dalam menghadapi ujian hidup. Ia juga menyentuh isu kebergantungan masyarakat terhadap amalan khurafat dan menyeru penonton kembali kepada Al-Quran dan sunnah sebagai benteng menghadapi cabaran spiritual zaman moden.
Bisikan Qarin adalah bukti bahawa karya seram boleh menjadi wahana tazkirah yang menyeru manusia kembali kepada Allah di tengah-tengah kekeliruan dan ketakutan duniawi.
Luangkan waktu anda pada Ahad, 9 November 2025, jam 9.00 malam di TV AlHijrah untuk menyaksikan Bisikan Qarin, sebuah kisah yang menegur lembut hati kita agar kembali berpaut kepada keimanan, bukan ketakutan.
.png)
.png)
0 comments: