Resorts World Genting Meraikan Anak Yatim Dan Warga Emas Dalam Majlis Berbuka Puasa | Dunia Penuh Gosip

Resorts World Genting Meraikan Anak Yatim Dan Warga Emas Dalam Majlis Berbuka Puasa

Bersempena bulan Ramadan yang mulia, Resorts World Genting baru-baru ini tidak ketinggalan untuk menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama-sama anak-anak yatim dan warga emas yang kurang bernasib baik. Majlis berbuka itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik khas buat kanak-kanak dan warga emas bersempena dengan musim perayaan dengan meraikan mereka untuk merasai pengalaman terbaharu yang terdapat di Resorts World Genting.


Seramai 158 orang daripada tiga rumah anak yatim (Dar Asnaf Al-Fateh Gombak, Rumah Kasih Nurul Hasanah, Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin) berserta 12 orang warga emas dari Pusat Jagaan Warga Emas Husna Arrashid di bawa melalui Gunung Ulu Kali bagi menikmati permandangan indah hutan hujan sebelum tiba ke puncak. Setibanya di Hotel Genting Grand, kesemua mereka disambut mesra oleh kakitangan Resorts World Genting. Turut bersama-sama menyambut kedatangan mereka adalah Puan Seri Cecilia Lim, isteri kepada Pengerusi Genting Malaysia Berhad dan CEO, Tan Sri Lim Kok Thay, Dato’ Edward Hollaway, Naib Presiden Eksekutif Leisure dan Hospitaliti dan Katherine Chew, Naib Presiden Perhubungan Awam dan Komunikasi.

Senyuman jelas terpancar daripada wajah anak-anak yatim dan warga emas yang disambut mesra oleh semua kakitangan Resorts World Genting sambil menikmati cuaca sejuk. Puan Seri Cecilia Lim dalam ucapannya berkata:

Pertama sekali saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang diraikan kerana sudi hadir ke majlis berbuka puasa pada hari yang cukup istimewa ini. Bulan Ramadan merupakan bulan yang suci buat rakan-rakan beragama Islam yang menjalani ibadah puasa. Bulan ini juga merupakan salah satu masa buat kami menghulurkan tangan dan juga sebahagian daripada cara Resorts World Genting berbakti kepada masyarakat.


Kemesraan antara para tetamu yang diraikan dan wakil pihak Kumpulan Genting seperti kawan, ketika mereka semua dibawa melawati kawasan atrium pusat beli-belah SkyAvenue. Kesemua mereka turut menyaksikan buat pertama kali ‘Batman Experience’ di pentas SkySymphony. Ia merupakan persembahan meraikan 80 tahun adiwira ikonik tersebut menerusi paparan skrin 360 berserta pertunjukan bebola win yang bergerak seiring bersama-sama muzik yang dimainkan.

Selepas selesai menyaksikan pertunjukan tersebut, mereka kemudian dibawa ke Snow World untuk satu lagi pengalaman baharu. Snow World yang terletak di World Plaza memnjanjikan para tetamu pengalaman merasai musim sejuk mempersonakan pada suhu sejuk -6°C. Ketika di situ mereka disambut mesra para kakitangan sambil mengenakan sarung tangan, kasut but dan jaket sejuk. Mereka diberikan satu taklimat ringkas ketika di pintu masuk sebelum dibenarkan masuk menikmati musim sejuk. Kelihatan anak-anak yatim begitu teruja dengan salji dan semua tarikan ilusi 3D. Kedengaran juga tawa riang gembira sesama mereka ketika melungsur dengan tobogan dan membaling bola salji antara satu sama lain.


Setelah puas merasai salji buat kali pertama, kumpulan itu kemudian dibawa bersiar-siar di pusat beli-belah SkyAvenue sebelum ke Adventureland yang terletak di Aras 4 untuk menyaksikan dinosaur dan perkara pelik. Ketika berada di Pusat Penyelidikan Jurassic, mereka dibawa mengembara merentas masa ke zaman ketika dinosaur menguasai bumi. Ada dalam kalangan mereka kelihatan takut dan ada juga yang berani untuk mendekati dinosaur yang dipamerkan. Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke dunia pelik Ripley's Believe it or Not untuk melihat barang-barang paling pelik dan aneh di dunia. Di situ mereka juga berkesempatan bermain-main dengan paparan interaktif disulami gelak tawa yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Sesudah persembahan yang luar biasa IMAGINATRICKS, mereka kemudian keluar untuk menghirup udara sejuk kawasan pergunungan sambil melihat permandangan langit yang bertukar senja. Menghampiri masa berbuka puasa, mereka semua dibawa menaiki kereta kabel Awana Skyway di SkyAvenue sambil melihat panorama indah ketika perjalanan turun. Setelah tiba di Hotel Awana, mereka terus dibawa ke Rajawali Coffee House dengan lebih 100 juadah menanti untuk berbuka. Puan Seri Cecilia Lim, Dato’ Edward Holloway dan Katherine Chew turut kelihatan bagi menyambut mereka.


Apabila azan Maghrib berkumandang, para tetamu mula menikmati juadah bufet bertemakan pasar malam yang disediakan. Terdapat pelbagai gerai yang menyediakan menu makanan dan minuman bercitarasa tempatan yang terdiri daripada pilihan Ayam Percik hingga ke Murtabak, Nasi Beriani ke Kambing Golek, makanan laut segar dan pelbagai pilihan kuih tradisional. Kakitangan Kumpulan Genting yang terlibat turut kelihatan membantu para tetamu bagi memastikan setiap hidangan bufet Buka Puasa yang disediakan dapat dirasai oleh mereka.

Selepas makan anak-anak yatim dan warga emas ini diberikan satu lagi kejutan. Setiap seorang daripada mereka menerima hamper berupa barang keperluan dapur untuk dibawa pulang. Setiap anak-anak yatim turut menerima beg hadiah yang mengandungi set alat tulis serta peket Duit Raya. Tidak dilupakan juga buat warga emas, mereka turut menerima beg hadiah mengandungi barangan kemudahan harian diri.


Selepas selesai semuanya, kini tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Pasukan Resorts World Genting  mengambil peluang mengucapkan selamat tinggal kepada setiap tetamu dan mengharapkan mereka bergembira pada bulan Ramadan serta pada Hari Raya Aidilfitri nanti dengan ucapan akan berjumpa lagi. Bulan Ramadan adalah bulan penuh keberkatan dan penganjuran Majlis Berbuka Puasa ini bakal menjadi salah satu hari istimewa buat anak-anak yatim dan warga emas untuk dikenang.







0 comments: