Rancangan RAMADAN Di TV ALHIJRAH Dengan Tema Ramadan Menyuci Jiwa | Dunia Penuh Gosip

Rancangan RAMADAN Di TV ALHIJRAH Dengan Tema Ramadan Menyuci Jiwa

Menjalani ibadah puasa sewaktu diduga dengan ujian wabak Covid-19 bukanlah alasan untuk umat Islam seantero dunia bermurung durja, lemah serta kalah kepada ujian yang diturunkan oleh Allah SWT.


Umat Islam yang beriman kepada Rukun Islam dan Rukun Iman seharusnya menjadikan pelaksanaan ibadah puasa 1441H saat diserang virus sekecil zarah ini sebagai ruang untuk menambah ketakwaan, keimanan dan nilai integriti di dalam diri.

Oleh yang demikian, TV AlHijrah menyeru seluruh umat Islam terutamanya penonton setia stesen ini untuk menghayati dan menjalani ibadah puasa secara bijaksana dengan sudut pandangan berbeza namun penuh kebaikan mengikut acuan Islam.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris, “TV AlHijrah meraikan kedatangan Ramadan 1441H kali ini dengan mengangkat tema Ramadan Menyuci Hati sebagai kempen istimewa sepanjang sebulan berpuasa”.

“Tema ini membawa maksud yang jelas iaitu mengajak penonton membudayakan penghayatan ibadat berpuasa mengikut sunnah Baginda Rasulullah SAW seperti besederhana dalam setiap perbuatan, mengelakkan pembaziran, melipatgandakan ibadah dan banyak lagi.”


“Paling istimewa, menerusi tema ini, kita didik nurani dan melatih empati diri penonton untuk lebih peka kepada nasib golongan yang kurang berkemampuan terutamanya mereka yang sangat terkesan dari sudut ekonomi dan psikososial dek penangan pandemik global ini.” katanya.

“Kita mahu semua yang menonton TV AlHijrah pada Ramadan kali ini beroleh manfaat serta menanam semangat dan iltizam untuk mempertingkatkan amalan hingga ke hari terakhir Ramadan seterusnya mengekalkannya sepanjang kehidupan.”


“Ini adalah peluang terbaik untuk refleksi diri. Jangan jadikan keterbatasan berpuasa pada saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai alasan untuk tidak mengejar markah penuh ibadah ini. Kita diciptakan sebagai sebaik-baik kejadian. Kita adalah umat Nabi Muhammad SAW. Kita harus menjadi juara.”

Perencanaan kempen Ramadan Menyuci Hati ini dilaksanakan di dwi platform iaitu di platform televisyen dan di platform digital. 12 rancangan baru sajikan secara segar buat penonton di rumah. Kesemua rancangan ini menyeimbangkan empat kompenen penting di dalam diri manusia iaitu qalb (hati), al-ruh (ruh), al-nafs (nafsu), al-aql (fikiran).


“Kita yakin, TV AlHijrah akan menjadi stesen pilihan utama rakyat Malaysia sepanjang Ramadan ini dek nadi penyiarannya yang mampu memberikan makanan jiwa buat penonton. Lihat sahaja, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, TV AlHijrah menjadi pilihan utama penonton untuk kandungan Islam dengan syer saluran 2 kali ganda di hadapan saluran-saluran Islamik yang lain. Malahan laman Facebook TVAH dilayari oleh 10.6 juta pengguna pada bulan ini iaitu 7 kali ganda melebihi jumlah pengikut sedia ada.”

“Tontonlah rancangan kami. Ia pasti mampu menenangkan, menghilangkan rasa gusar serta mendekatkan seluruh penonton stesen ini dengan Allah SWT.” Dalam keterbatasan PKP, TV AlHijrah berjaya menyediakan sebanyak 92 jam program khusus untuk kandungan istimewa ramadan yang meliputi program kerohanian, bual bicara, majalah dan travelog.


Antara program-program tersebut adalah seperti rancangan QuranTime, Ihya’ Ramadan, Tazkirah Jumaat, Tausiyah Ustazah Asma, Munajat, Kembara Sufi Jejak Anbiya, Assalamualaikum Istimewa Ramadan, Ngaji On The Go: Ustaz & Artis Lelaki, Ngaji On The Go: Ustazah & Qariah, Tadarus 30 Juzuk, E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat.

Disamping program-program ramadan ini, TV AlHijrah juga sedang menyusun dan merangka strategi bagi kempen musim haji yang akan datang. Kerjasama dari pihak-pihak korporat yang berminat untuk menaja pada kempen musim haji hadapan amatlah dialu-alukan. Jadi, jangan lupa untuk menjadikan TV AlHijrah sebagai ladang ilmu anda pada bulan ramadan ini. Banyak perkongsian bermanfaat untuk semua lapisan umur telah disediakan.







0 comments: