Pemenang Cabaran Reka Bentuk Arca Mutiara Hills Diraikan Di Majlis Penyampaian Hadiah | Dunia Penuh Gosip

Pemenang Cabaran Reka Bentuk Arca Mutiara Hills Diraikan Di Majlis Penyampaian Hadiah

Juara dan dua pemenang utama Cabaran Reka Bentuk Arca Mutiara Hills 2023, telah diberi penghormatan hari ini di majlis penyampaian hadiah untuk meraikan usaha mereka yang berteraskan inovatif dan kelestarian dalam mencipta arca mercu tanda bandar Mutiara Hills.  Dianjurkan oleh Mutiara Spaces, sebuah jenama Boustead Properties Berhad, majlis ini diadakan dalam suasana riang dan mesra bersempena rumah terbuka Hari Raya Mutiara Hills, di Galeri Jualan bandar tersebut di Semenyih.



Hadiah utama wang tunai RM8,000 dimenangi oleh Syamirul Alif Bin Shaharudin dan Mohd Ali Kouli, pelajar seni bina tahun kedua Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Reka bentuk mereka yang dinamakan Unison Sculpture (Arca Perpaduan) telah menarik perhatian para juri kerana ciri-ciri ringkas dan mewah yang menggabungkan pelbagai aspek alam dan ukiran moden. Arca ini dianggarkan mencapai ketinggian 10 meter, bersamaan dengan ketinggian bangunan tiga tingkat apabila siap dibina. Arca ini akan dilengkapi  dengan ciri panel solar aktif dan  pengumpulan air hujan yang menyumbang kepada usaha menghijaukan persekitaran di bandar ini. 
 
Apabila ditanya bagaimana wang hadiah akan digunakan, mereka menjawab, “Kami berbangga dan bersyukur kerana dipilih sebagai juara pertandingan ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada penyelia kami, Ar. Zalena, dan Dr. Noriati Taib, atas bimbingan dan sokongan tidak berbelah bagi mereka.  Berbekalkan hadiah wang tunai RM8,000, kami bercadang untuk menyertai pertandingan seni reka dan seni bina moden di dalam negara dan peringkat antarabangsa. Peluang menarik ini akan membolehkan kami mengasah kemahiran dan kreativiti kami dan kami yakin ini akan membuka laluan untuk mencapai mercu kejayaan lebih tinggi pada masa depan.” 
 
Sementara itu, para pemenang hadiah kedua dan ketiga, Mohd Pirdaus Beddu dan Siti Sarah Binti Mohammed Saidi daripada USM Pulau Pinang dan Nur Izzah Kamilia Binti Mohd Khalil Akmal daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing menerima hadiah wang tunai RM 3,000 dan RM 2,000.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Properties, Khairul Azizi Ismail, “Majlis pada hari ini diadakan untuk memberikan penghargaan dan mengiktiraf kreativiti dan dedikasi para pemenang. Kami juga meraikan masa depan yang cerah bagi bakat-bakat muda di Malaysia dan bagaimana mereka memainkan peranan dalam membentuk persekitaran yang membolehkan masyarakat berkembang maju.” 

Mencungkil bakat muda dan menyemai ketetapan minda yang lestari adalah kunci kepada agenda untuk menjadi pemaju mesra alam yang berhemat dengan tekad mencipta ruang yang boleh memupuk dan meningkatkan kualiti kehidupan. Kami berharap untuk menjalin lebih banyak inisiatif berasaskan kelestarian seperti ini bersama universiti-universiti.” 

Sebagai sebahagian daripada hadiah kemenangan, pasukan juara diberi peluang unik untuk menyertai program bakat industri Mutiara Spaces, yang menawarkan pengalaman sebenar bekerja kepada pelajar.  Mereka akan dibimbing oleh pasukan pembangunan projek dalam penciptaan arca, yang melibatkan tugasan seperti penghasilan lukisan terperinci, proses dan dokumentasi tender, kejuruteraan nilai, pembinaan dan proses pemasangan. Program pendedahan industri ini dijangka bermula pada bulan Jun tahun ini selama 20 minggu, termasuk selepas selesai pembinaan.

Tambahan lagi, program ini akan menjadi wadah untuk menjalin hubungan dan melibatkan ahli profesional di Boustead Properties, yang membolehkan mereka meneroka laluan kerjaya yang potensi tinggi dan memperoleh ilmu yang bermanfaat. 



Cabaran Reka Bentuk Arca Mutiara Hills 2023 menerima hampir 72 penyertaan daripada 12 universiti di seluruh Malaysia. Cabaran tersebut, yang bertumpukan kelestarian dan inovasi, menjemput pelajar universiti tempatan untuk mengemukakan idea reka bentuk masing-masing sejajar dengan tema "Sinergi antara Alam dan Bangunan Demi Masyarakat Masa Depan.” 

Arca yang menang bakal menjadi mercu tanda yang tersergam di tengah-tengah Mutiara Hills, sebuah projek bandar bersepadu pintar terbaharu oleh pemaju ini yang terletak di Semenyih.







0 comments: