Rancangan DENGAR Tuntut Strategik Holistik Bantu Masyarakat

Kejayaan dan kekuatan sesebuah masyarakat di dunia amat bergantung kepada keupaayan mereka mendengar dan melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan sumber yang berwibawa.



Ini kerana, komunikasi tidak hanya tertumpu kepada mulut yang berbicara tetapi juga kepada sepasang telinga yang sentiasa tersedia untuk mendengar dan memahami dengan rasional.


Oleh itu, buat pertama kalinya TV AlHijrah tampil menerbitkan sebuah rancangan baharu dengan judul DENGAR yang lari daripada kebiasaan stesen ini yang cukup terkenal dengan DNA menyampaikan ilmu yang memerlukan keupayaan berbicara berbanding mendengar.



DENGAR adalah sebuah program semi-realiti yang mendengar permasalahan individu-individu yang tular di media sosial lantas memberikan bantuan serta mencari solusi terbaik buat permasalahan tersebut. DENGAR disiarkan secara langsung bermula 4 Mac 2021, setiap Khamis, 13 episod selama satu jam secara langsung.


Dengan tagline Mendengar Masyarakat, tim penerbitan DENGAR akan segera turun padang setiap kali menerima aduan atau kisah kesusahan yang dikongsikan netizen menerusi emel rasmi program DENGAR. Tujuan turun padang adalah tidak lain tidak bukan untuk memastikan kesahihan serta menilai ruang penyelesaian serta saluran terbaik untuk memberikan bantuan.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris, “Masyarakat pada hari ini menjadi sangat selektif dalam meminjamkan pendengaran. Kemahiran mendengar selalu diabaikan di dalam komunikasi yang berkesan. Obsesi kita terhadap isu-isu yang kita pilih untuk lihat, beri perhatian dan solusi menyebabkan gambaran permasalahan secara besar tersasar malah gagal difahami secara menyeluruh.


“Allah menciptakan manusia sempurna dengan dua pasang kaki, tangan, mata dan telinga. Namun Allah ciptakan kita semua dengan satu mulut sahaja. Maka kurangkan bercakap namun lebihkan mendengar dan mengambil tindakan.


“Ini yang kita cuba terapkan di dalam rancangan DENGAR. Kita percaya bahawa mendengar itu sendiri adalah syifa’, penyembuh dan rawatan buat yang memerlukan. Apatah lagi selepas itu kita susulkan pula dengan tindakan lanjutan yang membawa kepada penyelesaian permasalahan tersebut.” jelas Namanzee.



“Program DENGAR ini adalah hasil cetusan idea dan inspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menuntut penglibatan dan kerjasama semua pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat. Ini adalah gerak kerja bersifat 360 darjah. Bermula dengan aduan yang kami terima daripada netizen, krew DENGAR akan turun padang meninjau dan menjalin hubungan awal dengan responden yang sedang berada dalam musibah.


“Kerja tim penerbitan tidak habis di situ. Mereka kemudiannya perlu membuat kajian lanjut serta berhubung dengan agensi-agensi dan pihak-pihak yang terlibat dalam mencari solusi terbaik. Kemudiannya, kita akan jemput responden ke studio digital TV AlHijrah untuk sesi perkongsian.


“Kita selit pula elemen kejutan buat responden. Di studio, responden akan menerima bantuan yang diperlukan samada dari pihak penaja atau agensi-agensi yang berkenaan. Bantuan pula tidak tertumpu kepada material semata, ia termasuk sokongan emosi dan psikologi”, jelas Namanzee lanjut.



DENGAR mempertaruhkan dua nama besar negara dalam bidang pengacaraan iaitu Wan Kamarudin Wan Ibrahim selaku hos di studio dan Hazeman Huzir sebagai wartawan lokasi.






0 comments: