Sepi Itu Pasti- Drama Baru Slot Qalbu TV AlHijrah | Dunia Penuh Gosip

Sepi Itu Pasti- Drama Baru Slot Qalbu TV AlHijrah

TV AlHijrah membuka tirai 2022 dengan menyiarkan sebuah drama siri 13 episod di Slot Qalbu. Drama terbitan Global Holding Sdn Bhd ini disiarkan pada setiap hari Isnin dan Selasa jam 6 petang.
'Sepi Itu Pasti' membariskan pelakon-pelakon baru seperti Dini Shazman sebagai Zack yang menjadi teraju utama drama ini. Turut bersama adalah Husna Mustaffa sebagai Nadia dan Syafiq Sahli yang memegang watak antagonis bernama Fendi.



Drama ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Zack yang berperang dengan suara hatinya tatkala dia berusaha merubah diri menjadi manusia yang lebih baik. Dia kerap merasakan masyarakat sekeliling membenci dan tidak boleh menerima perubahan dirinya.

Berbeza pula dengan Fendi, seorang pemuda yang amat disenangi oleh masyarakat setempat. Di mata semua, Fendi memiliki akhlak yang cukup baik dan sempurna imannya.



Namun semuanya berubah apabila Fendi cuba dijodohkan dengan seorang gadis bernama Nadia. Percubaan menyatukan Fendi dan Nadia datang dari ayah Nadia sendiri iaitu Pak Baharom. Sikap terlalu mengongkong anak-anak membuatkan Pak Baharom tidak segan silu mendesak Fendi menikahi anaknya dalam tempoh masa enam bulan.

Tanpa siapa sedari, Zack turut menaruh perasaan kepada Nadia. Namun, dia akur bahawa Fendi lebih baik dan layak buat Nadia berbanding dirinya. Cuba mengubati hati sendiri, Zack memutuskan untuk memulakan misi bantuan buat masyarakat setempat yang perlu dibantu.



Zack menyertai misi bantuan yang dinamakan Dapur Kita. Dia keluar masuk kampung menghantar barang pesanan orang kampung. Nama Zack mula meniti dari bibir ke bibir kerana keihklasan dan kesungguhan dia melaksanakan tanggung jawab yang diberikan.

Bagi Zack pula, apa yang dia lakukan adalah usaha untuk membersihkan salah tanggap orang kampung terhadap dirinya. Dia turut berharap agar kebaikan yang dilakukan dapat membersihkan dirinya dari dosa silam.



Takdir merubah segalanya. Nadia ditimpa kemalangan. Dia menjadi mangsa ragut. Peristiwa ini menerbitkan rasa simpati lantas membuatkan Zack semakin ingin mendekati Nadia.

Nadia dan Zack semakin rapat dan ini mengundang cemburu kepada Fendi yang cuba menjauhkan mereka. Fendi merasakan Nadia telah berubah hati dan pertelingkahan terjadi di antara mereka berdua.



Fendi mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya. Niatnya Cuma satu, dia harus memperisterikan Nadia. Lantas dia meminta ibu bapanya mengaturkan segera lamaran dan pertunangan.

Malang menimpa, ibu bapanya telah pun memiliki calon yang sesuai untuk Fendi. Mereka tidak mahu bermenantukan perempuan kampung seperti Nadia. Demi memastikan Nadia tidak dimiliki Zack, Fendi telah melakukan suatu perkara yang telah memeranjatkan semua pihak.



Adakah tindakan terburu-buru Fendi itu membuatkan Nadia setuju untuk menjadi isterinya? Bagaimana pula Zack memujuk hati agar tidak lagi berharap kepada kasih Nadia? Mampukan Zack meneruskan kerja-kerja kebaikannya selepas ini?

Jangan lupa untuk terus bersama drama Sepi Itu Indah bagi mengetahui kesudahan kisah kehidupan Zack. Apa yang pasti, drama terbaru ini sarat dengan pengisian yang mengetengahkan nilai-nilai murni dan budi bahasa secara tersurat mahupun tersirat. 



Selain daripada drama Sepi Itu Pasti, TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain pada bulan ini seperti Bicara Fail Syariah (Setiap Isnin, bermula 10 Januari 2022, jam 9.30 malam) Cinta Ilmu (setiap hari Isnin hingga Rabu, 7:30 malam) dan Analisis (setiap hari Jumaat, 6 petang).







0 comments: